Carian
March 29, 2022

Membawa Sepokok Tumbuhan Untuk Mempertikaikan Projek #LadangHutan

Pemangku Raja Pahang menitahkan bahawa kawasan hutan simpan kekal telah ditambah lebih 7000 hektar menjadikan jumlah kira-kira 1.6 juta hektar hutan simpanan kekal (HSK) di Pahang. Saya ucapkan tahniah kepada Kerajaan Pahang kerana gigih menambahkan keluasan HSK di Pahang.

Namun saya ingin menekankan di sini bahawa, bukan semua HSK adalah hutan rimba atapun hutan dara seperti yang dianggapkan oleh rakyat. Daripada 1.6 juta hektar HSK, hanya 646 ribu hektar diwartakan sebagai hutan perlindungan.

Malahan, dari tahun 2012 hingga 2020, Kerajaan Negeri Pahang telahpun meluluskan 73,360 hektar hutan simpanan untuk ditebang dan dijadikan ladang hutan. Ladang hutan ini kebiasaannya akan dibersihkan melalui kaedah cuci mangkuk (clear felling) dan kemudian ditanam dengan pokok getah Timber Latex Clone atau pokok batai (Falcataria muluccana, Paraserianthes falcataria).

Walau bagaimanapun di Pahang, daripada 73 ribu hektar ladang hutan yang diluluskan oleh kerajaan negeri, hanya 3,971 hektar ataupun 5% yang ditanam semula. Baki 70 ribu hektar hutan yang dibersihkan dan pokoknya ditebang, sekarang menjadi terbiar. Pembalak nampaknya lebih berminat dengan pembalakan dan hanya 5% sahaja ladang hutan yang ditanam semula.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Abdul Khalim Abu Samah juga mengesahkan bahawa projek ladang hutan sering digunakan sebagai alasan untuk menghalalkan projek pembalakan cuci mangkuk. Lebih-lebih lagi sehingga hari ini, projek Ladang hutan ini telah mengakibatkan keluasan hutan yang amat besar termusnah, tetapi tidak ternampak hasil komersil. Apakah komen kerajaan?

Isu ini serius. Persoalannya, mengapakah perkara-perkara yang jelas memperlekehkan integriti Kerajaan Negeri ini boleh berlaku?

AHLI-AHLI DEWAN YANG MULIA, manusia hidup atas muka bumi yang dikelilingi dengan pelbagai flora dan fauna. Manusia akan mati sekiranya ekosistem persekitaran kita hilang, akan tetapi sekiranya manusia pupus, bumi kita sebenarnya akan menjadi lebih seimbang dan hijau.

TELITILAH TUMBUHAN YANG SAYA PEGANG PADA PAGI INI. Ianya unik, ianya adalah hasil evolusi turun-temurun yang berlangsung selama ratusan juta tahun. Kita wajar sayang setiap tumbuh-tumbuhan seperti mana kita sayang rumah kita. Kalau kita ambil hasil hutan untuk kehidupan, ambilah dengan sifat rendah diri, dengan pengurusan manusia yang baik dan bertanggungjawab.

Balik kepada projek ladang hutan. Mengapakah selepas 70 ribu hektar hutan ditebang dan dimusnahkan di Pahang, pengusaha yang tidak menanam semula hutan ini dilepas dan dibebaskan? Biarpun apa alasan yang diberi, korporat-korporat tidak beretika ini adalah PEMBUNUH – PEMBUNUH flora dan fauna tercinta yang sepatutnya dipelihara mengikut Titah Pemangku Raja, dan juga PEMBUNUH masa depan anak-anak kita apabila krisis perubahan iklim menjadi lebih parah.

Apakah tindakan kerajaan terhadap mereka?

SAYA SYORKAN SUPAYA memberhentikan projek ladang hutan segera, menjalankan siasatan yang menyeluruh dan membentangkan kertas putih di dewan yang mulia ini. Kertas putih ini juga harus menyiasat hubungan pembukaan ladang hutan ini dengan banjir yang semakin teruk di Pahang.

Kepada pengusaha yang tidak beretika, saya MENGESYORKAN SUPAYA KITA USAHA KE ARAH MENGGUBAL UNDANG-UNDANG SUPAYA MENJATUHKAN HUKUMAN PENJARA SEUMUR HIDUP TERHADAP PEMBUNUH HUTAN INI!

Lee Chean Chung
ADUN Semambu

Related Posts
crossmenuchevron-up