Seruan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perbanyakkan penggunaan Bahasa Melayu telahpun menunjukkan kegagalan kerajaan sendiri untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa korporat dan bahasa industri selepas negara ini dikuasai lebih 60 tahun oleh kelompok elit UMNO/BN yang sama.
Kerajaan “Keluarga Malaysia” adalah kesinambungan daripada kerajaan UMNO/BN yang telah memerintah Malaysia sejak merdeka dan isu Bahasa Melayu selalunya digunakan sebagai umpan politik untuk memainkan sentimen perkauman semata-mata.
Isu begini hanya ditimbulkan apabila menjelang pilihan raya untuk menggamit sokongan teras Melayu, tanpa mempedulikan kesan negatif iaitu prejudis antara kaum dan kesenjangan elit dan rakyat kebanyakan. Itu bukanlah ruh atau semangat Bahasa Melayu diangkat sebagai Bahasa Kebangsaan.
KEADILAN dan tokoh seperti Anwar Ibrahim adalah pihak yang paling konsisten dan istiqamah di dalam memperjuangkan teras bahasa kebangsaan di semua peringkat. Inilah perjuangan nasionalis sejati sejak sebelum tanahair merdeka lagi, yang diwarisi di dalam perjuangan Reformasi.
Daripada menuding jari sesama kita, saya rasa lebih kritikal untuk melaksanakan beberapa Langkah berikut untuk memantapkan Bahasa Melayu:
1.Memperkasakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) khususnya Jabatan Pembinaan dan Pengembangan Bahasa dan Sastera supaya keindahan Bahasa Melayu dapat dinikmati oleh khalayak orang ramai. Karya-karya klasik antarabangsa harus diterjemahkan secara berterusan. Usaha-usaha seperti penterjemahan ”Mimpi di Mahligai Merah” oleh Yayasan Karyawan bersama Universiti Malaya harus terus diperkembangkan.
2.Memantapkan penterjemahan buku ilmiah/industri/komersil terkini kepada Bahasa Melayu seperti Bansho Shirabesho atau Institut Penterjemahan Buku Asing (ばんしょしらべしょ) yang ditubuhkan sejak Zaman Tokugawa tahun 1855.
3.Memperbanyakkan program memupuk minat membaca di perpustakaan-perpustakaan di peringkat negara, negeri dan tempatan.
Tanpa kejujuran elit politik, termasuk Perdana Menteri atau para menteri, maka selamanya Bahasa Kebangsaan kita akan dilihat sebagai “bahasa kelas kedua” dibuminya sendiri. Ia bukanlah salah orang Melayu, Cina, India atau mana-mana kaum, tetapi dosa akibat ketidakjujuran elit politik penguasa yang menjadi Bahasa Melayu bukan sebagai perjuangan, tetapi sebagai api sentimen perkauman.
YB Lee Chean Chung
Bendahari Agung KEADILAN