1. Pakatan Harapan Johor menjunjung kasih titah DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini yang telah memperkenan supaya Dewan Negeri Johor bersidang pada 12 Ogos 2021. PH Johor turut menjunjung kasih atas perkenan Tuanku Sultan Johor untuk berangkat bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat pada tarikh tersebut yang akan diadakan di Kota Iskandar.
2. PH Johor siap sedia menyumbang tenaga dan buah fikiran demi kepentingan rakyat terutamanya mengenai pelan tindakan bagi membantu mereka yang terjejas akibat wabak COVID-19 serta menyusun pelan pemulihan ekonomi Negeri ini.
3. PH Johor juga menginsafi dan konsisten dengan pandangan bahawa Dewan Negeri dan Parlimen perlu bersidang dengan segera untuk menjalankan fungsi-fungsi serta peranannya lebih-lebih lagi pada saat rakyat berhadapan kesukaran serta kekecewaan dalam berhadapan masalah penularan Covid-19 yang sehingga hari ini masih belum dapat diselesaikan. Pada masa yang sama, prestasi vaksinasi untuk rakyat di negeri Johor setakat ini juga amat membimbangkan iaitu pada kadar 14.6% sahaja.
4. Sekali lagi, PH Johor menjunjung kasih dan merafak sembah titah serta keperihatinan yang dizahirkan DYMM Tuanku Sultan Johor.
YB Aminolhuda bin Hassan
Ketua Pembangkang Dewan Negeri (DUN) Johor
Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Johor
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor
YB Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Johor
YB Liew Chin Tong
Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor