Carian
February 26, 2021

Menyokong Hasrat Seri Paduka Baginda Agar Peranan Parlimen Dapat Dikembalikan

Menjunjung kasih ke atas DYMM Yang di-Pertuan Agong di atas penzahiran Titah Baginda bahawasanya Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat.

Patik yang mewakili rakyat jelata di kawasan parlimen Merbok sedari awal merasakan bahawa Parlimen mestilah terus memainkan peranannya dalam apa jua keadaan demi memastikan berlakunya proses semak dan imbang dalam sebuah kerajaan Demokrasi Berpelembagaan, apatah lagi dalam mendepani realiti cabaran pandemik Covid-19 yang sangat rumit untuk disantuni dari pelbagai sudut.

Kehidupan rakyat yang semakin terbeban, ekonomi yang makin mencengkam, Peningkatan perilaku keganasan serta kematian akibat tekanan perasaan, memerlukan langkah-langkah segera bagi mengatasinya. Akta-akta penting bagi menyelamatkan golongan rentan khususnya terkait wanita, kanak-kanak, warga emas dan OKU perlu dimuktamadkan.

Sistem Pendidikan yang makin tergugat & tidak relevan hari ini, wajar diubahsuai bagi mendepani tantangan zaman dan kalis masa depan.

Perancangan terjadual kerajaan bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) tidak wajar dilengahkan, ianya mestilah dibentangkan dan dibahaskan.

Ampun Tuanku. Kami amat menyokong hasrat Seri Paduka Baginda agar peranan Parlimen dapat dikembalikan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.

YB Nurin Aina
Ahli Parlimen Merbok
Pembantu Jurucakap Parlimen (KEADILAN)
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Related Posts
crossmenuchevron-up