Selepas saya mendedahkan bagaimana Sapura membayar RM983 juta kepada pengarah eksekutif sepanjang tempoh Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, dia cuba mencuci tangan dengan memberi alasan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan tidak ada kuasa dalam urusan syarikat swasta.
Katanya, Sapura hanya menjadi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada tahun 2019, oleh itu dia tidak berkuasa untuk campur tangan walaupun keputusan-keputusan Sapura membayar sedemikian rupa kepada pengarah eksekutif merugikan pelaburan PNB sebagai pemegang saham minoriti.
Sebagai Menteri Kewangan ketika itu, berhubung isu kewangan Sapura secara keseluruhannya, Najib mempunyai dua tanggungjawab dan tugasan yang jelas:
1. Pertama – untuk memastikan pasaran modal negara (iaitu pasaran saham) berkembang sihat dan berupaya menarik minat pelaburan dalam dan luar negara, baik dari kalangan pelabur institusi atau pelabur perseorangan.
2. Kedua – untuk memastikan pelaburan PNB di dalam Sapura dan transaksi kewangan Sapura dengan badan korporat lain yang berkepentingan rakyat (seperti bank-bank, PETRONAS dan lain-lain) memberikan nilai pulangan terbaik kepada rakyat.
TUGAS MENGAWAL SELIA PASARAN MODAL
Keupayaan pasaran modal negara (seperti yang dikendalikan Bursa Malaysia) menarik pelabur bergantung kepada kepercayaan pelabur bahawa hak dan kepentingan mereka akan dilindungi. Sebahagian besar pelabur (dari dalam dan luar negara) akan menjadi pemegang saham minoriti dalam syarikat-syarikat di pasaran saham negara.
Sekiranya kerajaan dan badan yang mengawal selia pasaran modal tidak memastikan hak pemegang saham minoriti dijaga, mudahlah syarikat-syarikat mengambil wang dari pelabur awam dan seterusnya membelanjakan wang itu seolah-olah keseluruhan dana itu dari poket mereka (sedangkan hanya ~40% dari pemegang saham majoriti, selebihnya dari pemegang-pemegang saham minoriti).
Untuk memastikan pemegang saham majoriti tidak boleh membelanjakan wang syarikat sehingga berlaku tidak adil kepada pemegang saham minoriti, ada dua peruntukan undang-undang yang digubal, iaitu:
i. Akta Syarikat 2016
ii. Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007
Dalam kedua-dua akta ini, kuasa dan tanggungjawab diperuntukkan khusus kepada Menteri Kewangan untuk memastikan hak pemegang saham minoriti terjaga demi menjamin perkembangan sihat pasaran modal negara.
Selain dari kuasa khusus kepada Menteri Kewangan untuk melindungi hak pemegang saham minoriti, akta-akta ini juga memperuntukkan keadaan-keadaan seorang pemegang saham minoriti dikira telah dianiayai oleh pemegang saham majoriti, contohnya:
- Penyalahgunaan harta syarikat oleh pemegang saham majoriti
- Keuntungan dialihkan dan dibayar kepada pemegang saham majoriti sehingga menidakkan bayaran dividen kepada pemegang saham minoriti
- Kegagalan membayar dividen yang secukupnya kepada pemegang saham minoriti
Dalam isu pembayaran RM983 juta kepada pengarah eksekutif yang mewakili pemegang saham majoriti dalam keadaan kepentingan pemegang saham minoriti terabai, alasan bahawa keputusan-keputusan itu adalah hak syarikat swasta semata-mata adalah alasan kurang cerdik dari Najib.
Sapura bukanlah syarikat swasta biasa, ia adalah syarikat awam yang mengambil wang dari rakyat biasa yang menjadi pemegang saham minoriti. Tindak-tanduknya tertakluk kepada akta-akta tertentu untuk menjaga kepentingan awam yang menjadi pemegang saham minoriti.
Sebagai Menteri Kewangan yang bertanggungjawab mengawal selia pasaran modal dan melindungi hak rakyat biasa yang menjadi pemegang saham minoriti, Najib cuai sehingga menyebabkan sedemikian bayaran kepada pengarah eksekutif sedangkan dia ada kuasa untuk memperbetulkan keadaan di bawah akta-akta tertentu.
AMANAH MENJAGA PELABURAN PNB
Selain dari tugas am sebagai Menteri Kewangan untuk mengawal selia pasaran modal, Najib juga bertanggungjawab memastikan pelaburan PNB di dalam Sapura memberi pulangan terbaik kepada rakyat.
Tanggungjawab itu datang dari dua perspektif:
1. Pertama – sebagai Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra yang memiliki PNB. Dia bertanggungjawab memastikan portfolio pelaburan PNB memberi pulangan yang terbaik kepada rakyat.
2. Kedua – sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang bertanggungjawab memastikan pelaburan GLIC (seperti PNB) dan GLC mengikut Program Transformasi GLC 2005-2015.
Secara khusus, Perkara 3.2.4 dalam Manual Transformasi GLC 2005-2015 menetapkan bahawa GLIC (termasuk PNB) perlu menghantar laporan setiap tiga bulan kepada Jawatankuasa Transformasi GLC (PCG) yang dipengerusikan Najib sendiri untuk menilai portfolio pelaburan mereka.
Ini bermakna, walaupun Sapura bukan dikira GLC semasa Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dia bertanggungjawab sebagai pemegang amanah PNB untuk membantah sebarang urusan yang merugikan PNB.
Lebih dari itu, kawal selia portfolio pelaburan PNB (termasuk pelaburan bukan majoriti seperti pelaburan di dalam Sapura) tertakluk pula kepada Program Transformasi GLC yang dipengerusikan beliau sendiri.
Najib boleh cuba menipu rakyat dengan alasan-asalan mudah yang diberikan oleh admin media sosialnya, tetapi dia tidak boleh lari dari rekod cuainya yang diketahui dunia.
Sebab itu, gesaan Najib supaya Kerajaan Persekutuan menyelamatkan Sapura menggunakan wang rakyat perlu disanggah untuk menunjukkan wajah sebenarnya Najib kepada pengundi atas pagar.
RAFIZI RAMLI