Carian
July 4, 2021

Pekerja Kontrak MySTEP Diberhentikan Tanpa Penjelasan, Di Mana Menteri Bertanggunjawab?

Menurut laporan MalaysiaKini yang bertajuk ‘Bekas pekerja kontrak ‘Personal MySTEP’ rayu diberi bantuan’, pekerja kontrak ‘Personal MySTEP’ di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Selangor telah ditamatkan kontrak dan diberhentikan tanpa sebarang bantuan susulan selepas hanya dua bulan setengah bekerja.

Belanjawan 2021 lalu telah memperuntukkan RM700 juta bagi inisiatif MySTEP bertujuan untuk membuka 50,000 peluang pekerjaan jangka pendek yang disediakan di sektor awam dan swasta. Sebanyak 35,000 peluang pekerjaan dijangka disediakan di sektor awam, manakala 15,000 lagi disediakan di GLC serta rakan strategik mereka.

Menurut Laporan LAKSANA Ke-49 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), kerajaan mencapai 49.8 peratus sasaran keseluruhan MySTEP bagi tahun 2021.

Kami mempersoalkan tindakan kerajaan memberhentikan mereka ditengah pandemik yang semakin teruk di Malaysia walhal kerajaan berbangga dengan penciptaan pekerjaan. Namun sebaliknya yang terjadi apabila mereka diberhentikan tanpa sebarang penjelasan. Dalam keadaan masyarakat memerlukan perhatian kerajaan untuk kelangsungan hidup seharian, penyakit sosial yang semakin teruk, adalah menjadi kehairanan bagaimana staf kontrak JKM boleh dihentikan.

Ternyata tiada koordinasi yang baik dengan skop tugasan yang jelas oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Kebajikan Masyrakat dibawah Datuk Seri Rina Harun. JKM sepatutnya menjadi ‘frontliner’ dalam mendepani wabak pandemik dan sosial, maka sudah tentulah pekerja kontrak sangat diperlukan di saat ini di pelbagai peringkat perkhidmatan, namun sebaliknya yang terjadi.

Pemberhentian ini juga mengundang pelbagai persoalan lain, bagaimana mereka diberhentikan dengan alasan peruntukan tidak mencukupi walhal setakat ini inisiatif ini hanya memenuhi ruang kurang 50 peratus. Jika masyarakat tidak boleh bergantung kepada jabatan yang seharusnya mengambil berat tentang kebajikan dan kesejahteraan mereka, kepada siapakah mereka akan mengadu nasib?

Terkini juga, The Economist telah mengeluarkan indeks yang menunjukkan Malaysia akan menjadi negara terakhir kembali kehidupan normal dibandingkan dengan 50 negara yang lain. Ditambah dengan Perintah Kawalan Pergerakan Daerah yang diumumkan kerajaan, keadaan tidak semakin baik kepada rakyat Malaysia, terutamanya kepada mereka yang kehilangan punca pendapatan.

Oleh itu, saya menggesa Datuk Seri Rina Harun untuk menjawab persoalan ini dan menyelesaikan isu ini dengan kadar segera.

Persoalan seterusnya adalah, adakah perkara ini berlaku kepada pekerja kontrak MySTEP di JKM sahaja atau di Jabatan - Jabatan lain juga? Menteri Kewangan, Tengku Zafrul juga perlu menjelaskan adakah benar peruntukan MySTEP tidak mencukupi untuk menggaji pekerja seperti yang diperuntukkan oleh Belanjawan 2021.

Sivamalar Genapathy
Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Wanita Keadilan.

Related Posts
crossmenuchevron-up