Carian
July 24, 2021

Pembukaan Sekolah Mesti Dikendalikan Dengan Baik

Malaysia sekali lagi akan menghadapi gelombang Covid-19 jika Perikatan Nasional (PN) tidak membatalkan cadangan pembukaan sekolah September 2021 dan terus menolak untuk mempertimbangkan pandangan dan kritikan yang membina.

Hal ini akan membahayakan nyawa pelajar, guru dan keluarga mereka. Membuka semula sekolah tak akan membantu pelajar mengejar hal-hal yang mereka telah ketinggalan sekiranya tiada perancangan yang rapi.

Ada beberapa hal yang kita perlukan perhatikan sebelum membuka semula sekolah, antaranya;

Pertama sekali, kita perlu memberikan vaksin kepada semua guru dan termasuk kakitangan bukan mengajar yang mampu secara fizikal untuk divaksinkan. Semua mereka - tanpa alasan.

Sekurang-kurangnya, mereka yang berinteraksi dengan pelajar perlu diutamakan.

Seterusnya, sekolah mesti diberi masa untuk menyiapkan dan membuat prosedur penjarakan sosial yang betul.

Sebagai contoh, pengudaraan di bilik darjah harus dipastikan baik.

Sekolah di kawasan yang teruk terjejas oleh Covid-19 atau dengan kepadatan yang tinggi harus diberi lebih banyak masa dan sokongan oleh Kementerian Pendidikan.
Masih ada ketidakpastian mengenai bagaimana pembukaan semula sekolah akan dilaksanakan. Seperti biasa, kerajaan dan Menteri Pendidikan, Dr. Mohd Radzi Jidin lebih memilih untuk berdiam diri tanpa memberi gambaran kepada ibu bapa dan pelajar.

Sudah tentu membuka semua sekolah sekali gus akan menjadi masalah yang besar. Sebaliknya, seperti yang dinyatakan, sekolah zon merah dan sekolah di kawasan kepadatan tinggi harus diberi lebih banyak masa dan keanjalan, termasuk membenarkan tarikh / minggu ganti untuk kehadiran pelajar.

Penyelesaian terbaik adalah melaksanakan pembelajaran dalam bentuk hibrid.

Infrastruktur pembelajaran digital tidak boleh dilupakan walaupun pembelajaran fizikal telah kembali. Kita perlu memastikan kita dapat melaksanakan kelas hibrid secara berkesan.

Salah satu persoalan yang penting, mana peranti untuk pelajar B40? Kerajaan harus pastikan Didik TV tidak mengalami nasib sama seperti TV Pendidikan.

Saya berpandangan pelajar yang tidak mempunyai persekitaran rumah yang kondusif dan / atau akses internet yang mudah harus diberi keutamaan untuk pembelajaran fizikal.
Ini memerlukan KPM mempunyai pengetahuan terperinci dan data mengenai keluarga para pelajar.

Pembelajaran hibrid dan infrastruktur digital yang mantap akan memastikan sekolah-sekolah kita bersedia, sekiranya kita terpaksa menutup sekali sekolah. Ia juga sudah tiba masanya untuk sistem pendidikan kita menggunakan lebih banyak teknologi canggih, termasuk dalam kurikulum. Pandemik Covid-19 adalah peluang untuk melakukan ini, kerajaan telah mensia-siakan peluang lebih dari satu tahun.

Kita mesti melabur lebih banyak pada guru. Mengajar tak akan seperti dahulu lagi. Pembantu guru diperlukan; ini dapat membantu mengurus pembelajaran atas talian dan hibrid.

Mereka dapat memastikan jumlah pelajar setiap kelas tidak terlalu ramai, syarat penting untuk belajar secara fizikal semasa pandemik.

Mengambil pembantu guru adalah penyelesaian segera bagi masalah siswazah menganggur sekali gus mengurangkan beban guru.

Kita juga memerlukan penjagaan anak-anak guru.

Birokrasi yang tidak perlu mesti dibuang. Kita wajib singkirkan mesyuarat yang tidak perlu yang memaksa pengetua, guru atau pentadbiran untuk berkumpul, walaupun ketika perjumpaan fizikal dibenarkan nanti. Ini adalah "pengorbanan" yang patut dibuat kerana mereka berurusan dengan "khazanah negara" yang terpenting setiap hari: anak-anak bangsa.

Selain itu, melepaskan bebanan sekolah dan guru dari syarat pentadbiran Pentaksiran Berasaskan Sekolah. Sukar untuk kita mendapatkan data yang tepat, terutamanya dengan kehadiran 50% -60% sekiranya sistem hibrid digunapakai.

Adalah wajar agar kurikulum dari setiap peringkat umur dikaji semula untuk memberi tumpuan kepada kemahiran dan pengetahuan teras yang diperlukan oleh pelajar untuk meneruskan dan merangkumi kemahiran dalam kehidupan.

Saya berulang kali meminta kajian jangka panjang dan mendalam dilakukan terhadap kesan pandemik Covid-19 terhadap pelajar, bukan hanya dari sudut kesihatan tetapi juga dari sudut pendidikan dan sosio-ekonomi.

Sebenarnya, kita mungkin memerlukan sesuatu yang lebih mendesak: Malaysia memerlukan pasukan petugas untuk mengkaji kesan Covid-19 terhadap pengembangan kemahiran, pengetahuan dan kesihatan mental pelajar di sekolah rendah dan menengah. Ia akan membantu proses merancang tindakan untuk mengurangkan kesan akibat pandemik Covid-19.

Itulah sebabnya mengapa saya dan rakan-rakan dalam Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan mendesak agar pendidikan dimasukkan dalam "Sidang Khas Parlimen."
Keengganan kerajaan untuk membincangkannya ketika banyak nyawa yang dipertaruhkan merupakan tanda bahawa keutamaan pemerintah PN salah tempat.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
JURUCAKAP PARLIMEN KEADILAN BAGI PENDIDIKAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Related Posts
crossmenuchevron-up