Carian
July 5, 2022

Pemilihan Parti: MASA UNTUK BEKERJA

Keputusan terkini Pemilihan KEADILAN yang diumumkan semalam, sementara tidak banyak mengubah keputusan asal di peringkat pimpinan kanan pusat, menimbulkan tanda tanya bagaimana keputusan Ketua Wanita boleh bertukar di saat akhir dengan margin hanya 32 undi (0.09%, mungkin margin paling kecil dalam dunia untuk sebuah parti utama sebuah negara).

Saya juga dihubungi oleh pimpinan akar umbi di seluruh negara yang terkejut dengan pelbagai pertukaran di peringkat cabang. Ada yang telah diumumkan menang tiba-tiba kalah. Ada cabang yang undi fizikal (yang melibatkan ratusan ahli keluar mengundi) dibuang semua undi dan hanya tinggal undi atas talian.

Sementara kita hanya boleh tahu sejauh mana keputusan berubah di seluruh negara selepas beberapa hari (apabila analisis keseluruhan siap), yang jelas keputusan yang diubah secara tidak konsisten begini telah mencemarkan pemilihan baru-baru ini.

Sejak dari awal lagi, saya telah membuat pendirian kepada Dr Zaleha Mustafa (Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, JPP) dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Presiden Dipilih) bahawa tuntutan mengadakan audit digital ini hanyalah permainan segelintir anggota parti yang kalah dalam pemilihan baru-baru ini. Malangnya, mereka ini rapat dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan merasakan mereka boleh mempengaruhi keputusan untuk memastikan saya tidak disahkan sebagai Timbalan Presiden.

Saya telah menjelaskan secara dalaman pandangan saya bahawa motif sesetengah pihak seperti Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak terus mempersoalkan pemilihan parti adalah serampang dua mata, iaitu:

Pertama, untuk cuba mengubah keputusan supaya saya dan beberapa orang lain yang menang bersama saya tidak disahkan oleh Kongres Nasional.

Kedua, untuk membina persepsi kononnya kemenangan saya dengan jurang yang besar ialah disebabkan manipulasi besar-besaran.

Hakikatnya, mereka tidak boleh menerima kenyataan bahawa sentimen akar umbi sangat berbeza dengan bacaan mereka yang berlegar sekitar Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini.
Sebaik mengumumkan bertanding jawatan Timbalan Presiden, saya terus membuat satu kaji selidik terperinci untuk memahami sentimen dan kehendak anggota parti akar umbi. Kaji selidik itu juga menyelami pandangan pengundi terhadap KEADILAN.

Dapatan kaji selidik adalah jelas. Sokongan kepada saya di kalangan anggota akar umbi adalah 85% berbanding saingan saya. Isu-isu yang saya bawa adalah selari dengan kehendak anggota akar umbi. Sebab itu keputusan pemilihan juga mirip kepada sentimen akar umbi: saya menang dengan ~60% undi popular dan 75% dari semua cabang di seluruh negara.

Selepas keputusan diubah akibat audit digital, ia masih tidak boleh mengubah sebahagian besar keputusan pemilihan kerana sentimen akar umbi telah diterjemahkan semasa pemilihan.

Malangnya, kumpulan yang kalah tidak boleh menerima kekalahan. Mereka terus mengasak dan mengelilingi Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan pemilihan semula atau setidak-tidaknya membuat audit digital untuk mencapai hasrat mereka. Saya telah menyatakan pendirian bahawa parti akan terperangkap dengan permainan politik segelintir sedangkan majoriti parti telah membuat keputusan yang diterima dengan baik oleh rakyat umumnya.

Berlatarbelakangkan ini, saya cukup simpati dengan keadaan Saudari Rodziah Ismail yang keputusannya sebagai Ketua Wanita bertukar di saat-saat akhir. Kami telah berbincang dan saya terharu dengan pendirian beliau bahawa parti mesti bergerak ke hadapan dan tidak terheret dengan permainan politik kelompok yang kalah.

Oleh itu, berikut adalah pendirian saya:

1) Kongres Nasional parti tidak boleh ditangguhkan lagi untuk melayan karenah segelintir calon yang kalah memandangkan pilihanraya umum boleh dipanggil bila-bila masa. Keutamaan saya sebagai Timbalan Presiden ialah untuk mempersiapkan pimpinan dan jentera parti untuk berdepan dengan lawan dalam PRU15.

2) Sementara kita meneruskan agenda pengukuhan parti ke arah PRU15, segala ruang dalam parti perlu dibuka untuk membolehkan isu-isu yang ditimbulkan akibat pertukaran keputusan di saat akhir ini terus disemak. Antara langkah utama saya sebagai Timbalan Presiden ialah untuk meneliti keseluruhan proses audit digital yang telah mengakibatkan kecelaruan yang berlaku untuk memberi keadilan yang sewajarnya kepada semua pihak.

3) Sebagai Timbalan Presiden, saya akan mengusahakan supaya satu tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti berniat mensabotaj parti dengan terus-menerus mengkritik pemilihan bertujuan melengahkan kepimpinan baru KEADILAN mengambil tempat.

Sebagai sebuah parti, kita tidak ada banyak masa untuk kembali ke landasan asal perjuangan kita iaitu membela rakyat ke arah membentuk sebuah masyarakat pelbagai kaum yang saling menghormati, lebih berdaya dan menjamin kehidupan yang lebih baik kepada semua.

Saya dan rakan-rakan yang selama ini berdiam diri dengan segala karenah dari kumpulan-kumpulan yang berkepentingan peribadi ini akan mempercepatkan lagi kempen #AyuhMalaysia untuk membentangkan visi KEADILAN untuk masa depan yang lebih baik.

Saya seru seluruh anggota KEADILAN supaya tidak lagi menghiraukan kekecohan yang cuba ditimbulkan oleh segelintir kelompok yang kalah ini dan bekerja untuk kita meyakinkan kembali rakyat bahawa KEADILAN adalah pilihan terbaik rakyat.

RAFIZI RAMLI
Timbalan Presiden (Dipilih)

Related Posts
crossmenuchevron-up