Saya mengalu-alukan penerbitan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Dewan Rakyat mengenai polemik kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion. Projek ini merupakan salah satu perolehan pertahanan terbesar untuk peralatan baharu dalam sejarah Malaysia.
Reaksi marah banyak pihak dengan penemuan laporan PAC adalah berasas, termasuklah kerajaan yang telah membelanjakan sekurang-kurangnya RM6.083 bilion untuk kontrak yang dirundingkan secara langsung, walaupun pada hakikatnya tidak satu pun daripada lima LCS telah siap untuk dihantar dan digunakan oleh syarikat yang dipilih untuk melaksanakannya, BNS.
Laporan PAC mencerminkan—dan membuktikan—isu berkaitan projek LCS yang sebelum ini dibangkitkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri Dewan Rakyat yang telah saya pengerusikan dari Disember 2019 hingga Disember 2020 mempunyai asas yang kukuh.
Saya telah memulakan siasatan mengenai projek itu memandangkan ia mengambil masa yang terlalu lama untuk disempurnakan.
Jawatankuasa Siasatan Khas Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Awam (JKSTUPKK) telah menekankan kepada kami pelbagai masalah dan penyelewengan yang melanda projek itu, yang kini telah disahkan PAC.
Laporan semasa telah menggariskan beberapa anomali lain yang pernah saya bangkitkan sebelum ini, terutamanya pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sebagai pengguna akhir LCS. Mereka tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS dalam projek itu.
TLDM telah bersetuju untuk menggunakan reka bentuk Sigma, tetapi ini telah ditolak oleh Menteri Pertahanan ketika itu, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas permintaan BNS tanpa merujuk kepada TLDM pada tahun 2011. Sebaliknya, reka bentuk kelas Gowind telah diterima pakai walaupun Tentera Laut menyatakan kekecewaan mereka terhadap keputusan itu.
Mantan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, yang mempengerusikan JKSTUPKK ketika itu, memberitahu jawatankuasa saya sesuatu yang tidak akan saya lupakan:
“Seolah-olah anda membeli permainan, kita boleh menunggu, relaks... Jadi, melainkan jika kuasa luar datang dan mendesak perkara itu, mereka akan mengambil seberapa banyak masa yang mereka mahu. Terdapat kekurangan bertindak segera...tiada siapa yang nampaknya mahu bertanggungjawab. Tiada siapa mahu uruskan.”
Malangnya saya tidak dapat mengeluarkan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas saya memandangkan pertukaran Kerajaan ekoran Langkah Sheraton.
Sebagai perbandingan, Mesir telah memesan empat kapal kelas Gowind pada tahun 2013 dan yang pertama daripada ini telah ditauliahkan pada tahun 2017. Negara jiran kita Indonesia menempah empat kapal kelas Sigma pada tahun 2010—yang pertama telah ditauliahkan pada tahun 2017 dan yang kedua pada tahun 2018. Malaysia membuat tempahan pada tahun 2011 dan masih belum menerima satu pun.
Laporan PAC juga mendapati usaha yang tidak mencukupi telah dilakukan oleh kerajaan pada masa itu terhadap keadaan kewangan BNS dan terdapat kelemahan kritikal dalam pengurusan dalamannya.
Apa yang mengecewakan ialah kerajaan sekarang nampaknya menganggap skandal ini seolah-olah ia adalah sesuatu yang tidak berkaitan langsung dengan mereka, sedangkan hakikatnya beberapa pemimpinnya berada dalam Kabinet semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika penyelewengan berlaku.
Sekurang-kurangnya, mereka harus berterus terang tentang apa yang berlaku dalam isu ini.
Memang benar beberapa individu telah ditangkap oleh SPRM dan selepas ini sudah akan lebih ramai.
Malangnya, belum ada pihak yang didakwa atas skandal tersebut.
BN - dan kerajaan hibrid yang ada pada hari ini - yang bertanggungjawab atas kegagalan ini.
Saya akan bercakap lebih lanjut tentang masa depan LCS. Sebelum itu, saya ingin membuat kesimpulan buat masa ini dengan mengatakan bahawa pihak yang bertanggungjawab tidak seharusnya menyalahkan rakyat. Sebaliknya, mereka harus bertanggungjawab atas kegagalan yang telah didedahkan oleh PAC.
Mereka yang terbukti melakukan kesalahan mesti dibawa ke muka pengadilan.
Situasi ini bukan sahaja memalukan negara, ia juga memperlihatkan kita akan menghadapi kesukaran untuk mempertahan negara akibat ahli-ahli politik menyeleweng wang rakyat.
Kerajaan berjanji untuk menyiasat isu LCS ini secara telus. Tetapi kita telah melihat pelbagai projek perolehan ketenteraan yang berakhir dengan penyelewengan dan kelewatan, sehinggakan menjadi kebiasaan. Biasanya, individu-individu biasa yang menjadi korban sedangkan mereka yang bertanggungjawab dari segi politik dan profesional dilepaskan begitu sahaja.
Kegagalan dan kecuaian ini adalah satu pengkhianatan kepada perajurit dan rakyat negara ini.
NIK NAZMI NIK AHMAD
NAIB PRESIDEN KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA