Carian
May 10, 2023

PENGUMUMAN HALA TUJU PEMBANGUNAN DAN DASAR PERDAGANGAN TENAGA BOLEH BAHARU

Dalam usaha menstrukturkan semula ekonomi negara ke arah ekonomi bernilai tinggi, kerajaan telah meletakkan peralihan kepada ekonomi hijau sebagai salah satu sasaran utama penstrukturan ekonomi negara. Peralihan ini akan mewujudkan peluang pekerjaan bergaji tinggi dan merancakkan penyertaan pelaburan dalam dan luar negara, di samping menjamin kelangsungan tenaga negara.

Sementara dasar ke arah ini adalah jelas (seperti yang terkandung di dalam Dasar Tenaga Negara 2022 – 2040), kerajaan berpandangan perkembangan dan penyertaan dalam sektor berkait tenaga hijau yang meliputi keseluruhan rantaian nilai (dari industri tenaga boleh baharu, penstoran tenaga, teknologi nyah karbon, teknologi tenaga baru seperti hidrogen dan seumpamanya) perlu dipesatkan pada kadar yang lebih segera.

Untuk itu, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) telah bekerjasama untuk menambah baik kerangka dasar dan kawal selia yang melibatkan ekonomi hijau untuk mempermudah dan menggalakkan pelaburan dan penyertaan sektor awam dan swasta.

9 Mei 2023.

Secara khususnya, kedua-dua kementerian telah meneliti proses sedia ada untuk memastikan dasar dan peraturan sedia ada tidak memperlahankan keperluan negara beralih kepada ekonomi hijau, seterusnya menjadi negara contoh di rantau ini.

Satu Memorandum khusus mengenai hala taju pembangunan dan perdagangan tenaga boleh baharu telah dibangunkan dan dibentangkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri pada 3 Mei 2023 sebagai susulan kepada pelbagai sesi libat urus dengan agensi kawal selia dan industri tenaga.

Ekoran itu, Mesyuarat Jemaah Menteri semasa menimbang Memorandum daripada Menteri Ekonomi mengenai Hala Tuju Pembangunan dan Dasar Perdagangan Tenaga Boleh Baharu pada 3 Mei 2023 telah bersetuju supaya:

1. kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) ditingkatkan bagi mewujudkan peluang pertumbuhan ekonomi baharu dengan merancakkan industri TBB negara di samping memastikan jaminan bekalan tenaga;

2. pelaksanaan pembangunan TBB diperluaskan berdasarkan konsep sistem kendiri (self-contained system) bagi menggalakkan pelaburan di sepanjang rantaian nilai industri TBB dan mempelbagaikan program TBB yang berasaskan prinsip willing buyer willing seller bagi menggalakkan penglibatan syarikat korporat;

3. supaya pemasangan sistem solar di bangunan Kerajaan dipercepat dan dipertingkat melalui penyediaan peruntukan pembangunan bagi memberi manfaat secara terus dari segi penjimatan bil elektrik kepada kementerian dan agensi-agensi Kerajaan; dan

4. dasar perdagangan TBB merentas sempadan akan dilaksanakan melalui kaedah sistem pasaran tenaga elektrik (electricity exchange system), yang akan dibangun dan ditetapkan oleh Kerajaan.

Keputusan Jemaah Menteri dijangka akan mempunyai kesan segera kepada pertumbuhan industri TBB kerana melibatkan beberapa perubahan dasar yang ditetapkan oleh pentadbiran sebelum ini, seperti berikut:

(a) Keputusan kerajaan membatalkan halangan perdagangan TBB merentas sempadan (sebelum ini) dijangka akan memanfaatkan syarikat-syarikat Malaysia dalam industri TBB untuk membina kapasiti penjanaan TBB pada skala yang lebih besar dengan mengambil peluang permintaan terhadap TBB yang tinggi dari Singapura;

(b) Peluasan pelaksanaan TBB melalui sistem kendiri (self-contained system) akan merintis jalan ke arah perkembangan taman-taman industri dan kediaman yang memaksimumkan potensi solar dilengkapi kemudahan penstoran tenaga (battery storage) yang mengurangkan pergantungan kepada penjanaan elektrik menggunakan bahan fosil;

(c) Penetapan sasaran baru kapasiti dan campuran tenaga (energy capacity and mix) yang menggandakan peralihan kepada TBB agar meningkat banyak sebelas (11) kali ganda dari tahun 2023 ke 2050 dijangka akan meredakan kos elektrik rakyat dalam tempoh masa jangka panjang (apabila penjanaan tenaga elektrik beralih kepada TBB yang tidak menggunakan bahan api asas);

(d) Pengwujudan sistem pasaran tenaga elektrik untuk melaksanakan perdagangan TBB rentas sempadan akan meletakkan Malaysia di depan sebagai pusat TBB serantau; dan

(e) Sejumlah RM50 juta diperuntukkan segera untuk memasang infrastruktur solar di bumbung dan kemudahan kerajaan di seluruh negara dalam tempoh enam bulan sebelum akhir tahun ini, sementara peruntukan yang lebih besar akan diberikan bagi tujuan ini dalam perbelanjaan pembangunan yang akan datang. 

Selain mempercepatkan industri TBB, langkah ini juga adalah pelaburan jangka panjang kerajaan untuk mengurang bil elektrik di bangunan dan kemudahan milik kerajaan.

Sehubungan itu, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap sektor bekalan elektrik negara akan melaksanakan dasar-dasar ini. 

Mekanisme sistem pasaran tenaga elektrik rentas sempadan (cross-border electricity exchange system) akan diumumkan oleh NRECC dan agensi kawal selia terbabit.

Dengan perkembangan ini, kapasiti TBB dalam sistem pembekalan elektrik dijangka akan ditingkatkan kepada kira-kira 70% menjelang tahun 2050 bagi mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada negara ini, selain menarik syarikat- syarikat multinasional, khususnya syarikat-syarikat RE100 untuk beroperasi di negara ini.

Peningkatan kapasiti TBB ini juga akan membolehkan lebihan kapasiti yang dijana, didagangkan merentas sempadan dengan negara jiran di rantau ini berdasarkan mekanisme yang akan ditetapkan Kerajaan melalui sistem pasaran tenaga elektrik rentas sempadan (cross-border electricity exchange system).

Unjuran peningkatan kapasiti yang ditetapkan ini adalah selaras hasil tinjauan Laporan Malaysia Energy Transition Outlook mengenai unjuran laluan sistem tenaga rendah karbon, dan akan dirangkumkan dalam Pelan Perancangan dan Pembangunan Bekalan Elektrik Negara.

Anggaran pelaburan yang diperlukan bagi peningkatan kapasiti TBB baharu ini adalah berjumlah RM637 bilion sehingga tahun 2050, yang merangkumi pelaburan dalam sumber penjanaan TBB, pengukuhan infrastruktur grid termasuk sambung tara, integrasi sistem penstoran tenaga dan kos operasi sistem rangkaian grid.

Kementerian Ekonomi dan NRECC akan terus mengumumkan pelbagai insentif dan inisiatif ke arah mempercepatkan pelaksanaan sasaran peralihan kepada ekonomi hijau ini dari semasa ke semasa, termasuklah usaha-usaha untuk meningkatkan pemasangan kemudahan solar di rumah-rumah kediaman untuk mengurangkan bebanan bil elektrik rakyat bagi jangka masa panjang.

RAFIZI RAMLI

MENTERI EKONOMI

Related Posts
crossmenuchevron-up