Carian
September 3, 2021

Penuhi Konsep ‘Keluarga Malaysia’, Tolak Diskriminasi Bagi Kemasukan MRSM

Perdana Menteri baharu telah memperkenalkan konsep ‘Keluarga Malaysia’, namun terbaru, kerajaan mengumumkan syarat kemasukan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sesi 2022 terkini yang menghadkan kemasukan calon kepada sekolah kebangsaan/sekolah menengah kebangsaan sahaja. Ini bermakna bukan sahaja calon-calon lepasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), pelajar lepasan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) juga tidak layak untuk memasuki MRSM.

Dalam satu hantaran di halaman Facebook Majlis Amanah Rakyat, ramai ibu bapa yang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap syarat terbaru terutamanya, kebanyakan mereka datang daripada latar belakang keluarga berpendapatan rendah.

Kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke MRSM bukanlah sesuatu yang asing, malah ia telah berlaku sejal awal penubuhannya. Namun demikian, ia hanya tidak diumumkan secara rasmi. Sejak tahun 2002, kerajaan juga secara rasmi telah memperuntukkan 10% quota kuota kemasukan bukan Bumiputera ke MRSM.

Dalam kehangatan ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 64, kerajaan mengambil langkah mundur kebelakang dalam menjalin harmoni hubungan antara kaum dan juga latar sosio ekonomi. Ia adalah sama sekali bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang meraikan Malaysia yang berbagai kaum. Menafikan hak mereka untuk memasuki MRSM adalah diskriminasi terang terangan yang dilakukan oleh kerajaan.

MRSM sudah pun mempunyai mekanisme saringan yang tersendiri iaitu Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM), oleh itu kriteria terbaru yang diperkenalkan bukanlah sesuatu yang rasional kerana hanya pelajar yang berjaya dalam saringan akan dapat masuk ke MRSM berdasarkan merit telahpun digunapakai.

Berbanding pelajar yang datang daripada keluarga yang berkemampuan,mereka tentulah mempunyai lebih banyak pilihan untuk memasuki sekolah yang berkualiti sesuai dengan perjalanan akademik dan unjuran pekerjaan yang diidamkan. Bagi mereka yang kurang berkemampuan pula, ini akan menyukarkan pilihan mereka yang telah sedia terhad. Langkah ini bukan sahaja mendiskriminasi pelajar bukan Bumiputera, namun juga pelajar Bumiputera yang bersekolah di selain daripada sekolah kebangsaan.

Jika hasrat kerajaan adalah untuk menggalakkan lebih ramai pelajar bukan Bumiputera untuk bersekolah di sekolah kebangsaan, tindakan ini tentu sekali terburu buru dan separuh masak. Ini kerana mekanisme awal seperti meningkatkan mutu dan kualiti sekolah kebangsaan dari segi fasiliti, integrasi kaum, silibus matapelajaran, pengajaran, pembelajaran, pengajaran bahasa ibunda, tidak sepenuhnya diimplementasikan. Elemen ini jika dilaksanakan dengan baik sudah tentu menjadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan nombor satu ibu bapa tanpa mengira kaum dan latar sosio ekonomi.

Oleh itu, saya menyeru Yang Berhormat Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan pengurusan tertinggi MARA agar menarikbalik syarat kemasukan terbaru dan membuka ruang yang inklusif supaya pelajar pelbagai aliran seperti SJKC, SJKT, SABK dan SRAI mendapat akses kemasukan ke MRSM. Tindakan ini adalah selari dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri baru baru ini.

Sivamalar Genapathy
Ahli Majlis Tertinggi, Wanita Keadilan

Related Posts
crossmenuchevron-up