Carian
April 1, 2022

Penyelesaian Aliran Tunai Sapura: Yakin Dengan Tenaga Profesional

Kontroversi mengenai kemelut aliran tunai yang dialami Sapura Energy Berhad menjadi isu nasional apabila Dato’ Seri Najib Tun Razak cuba mendesak Kerajaan Persekutuan (melalui institusi rakyat seperti Khazanah Nasional Berhad, PETRONAS dan Permodalan Nasional Berhad) menyelamatkan syarikat itu (sama ada dengan menyuntik dana rakyat atau mengambil alih syarikat tersebut menggunakan dana rakyat).

Alasan yang diberikan ialah kehilangan kerja sehingga 10,000 orang dan kerugian yang bakal ditanggung PNB. Saya akan membuktikan perkara ini dibesar-besarkan demi permainan Najib dalam ulasan-ulasan yang seterusnya. Saya juga akan menunjukkan bagaimana jawapan Najib bahawa dia tidak ada tanggungjawab mengenai bayaran kepada pengarah eksekutif Sapura (semasa dia menjadi Menteri Kewangan) kerana itu urusan syarikat swasta, adalah alasan semata-mata.

Hari ini, saya ingin menjawab keangkuhan Najib kononnya dia sedang berusaha mencari jalan penyelesaian untuk mengelakkan rakyat hilang pekerjaan.

Untuk memahami jalan penyelesaian yang menguntungkan rakyat, pekerja Sapura dan pemegang saham, perlulah kita memahami latar belakang masalah aliran tunai yang dihadapi Sapura sekarang. Sebab itu, untuk berlaku adil kepada semua pihak, sewajarnya mereka yang ingin mengutarakan penyelesaian wajarlah mengkaji seberapa banyak maklumat operasi dan kewangan yang ada untuk mengenal pasti punca kepada kedudukan aliran tunai Sapura sekarang.

Berdasarkan ribuan muka surat dari laporan-laporan kewangan yang diaudit, laporan analisis pasaran saham, laporan industri minyak dan gas, saya menyimpulkan kemelut di Sapura berpunca dari perkara-perkara berikut:

• Sebagai syarikat awam yang disenaraikan, prestasi Sapura sebelum ini bergantung kepada harga sahamnya. Lebih tinggi harga saham, lebih ramai yang ingin membeli sahamnya. Lebih ramai yang membelinya, lebih rancak urusan jual beli sahamnya di pasaran saham.

• Apabila gaji dan bonus pengarah eksekutif bergantung kepada paras harga saham Sapura, sudah tentu motivasi pengurusan Sapura sebelum ini untuk menaikkan harga saham secepat mungkin. Lebih tinggi harga saham, lebih besar bayaran gaji dan bonus. Sebab itu gaji dan bonus pengarah eksekutif (seperti yang saya tunjukkan semalam) mencecah sehingga ratusan ribu ringgit setiap hari.

• Ini mendorong Sapura untuk membida projek-projek pada harga yang lebih rendah atau pun tanpa mengukur kemampuannya menyiapkan projek-projek ini mengikut ketetapan kontrak supaya Sapura boleh mengumumkan ia terus memenangi bidaan projek di seluruh dunia. Lebih banyak projek yang diumumkan, lebih tinggi harga sahamnya.

• Untuk membiayai projek-projek yang dimenangi ini, Sapura terus mengambil hutang dengan pelbagai pihak.

• Apabila ini berterusan dan sebahagian dari dana yang dikutip digunakan pula untuk membayar gaji dan bonus pengarah eksekutif yang terlampau tinggi, sampai satu ketika apabila aliran tunai yang dibayar dari projek-projek tidak cukup untuk menampung kos.

• Pada masa yang sama, pemiutang yang memberikan pinjaman kepada Sapura menuntut bayaran hutang dan faedah.

Ini yang dialami oleh Sapura sekarang akibat keghairahan pengurusan lama mengejar kenaikan harga saham kerana mereka mendapat laba dari kenaikan itu. Ini bukan masalah yang unik kepada Sapura. Beratus-ratus syarikat gergasi di seluruh dunia telah melalui krisis aliran tunai sebegini sejak 50 tahun yang lepas. Jika Najib seorang yang membaca dan mahir dalam pengurusan kewangan, sepatutnya dia pun tahu.

Oleh kerana krisis yang dialami Sapura ini bukanlah unik, kita juga tahu jalan penyelesaian yang telah diambil oleh syarikat-syarikat lain di seluruh dunia yang telah berjaya memulihkan syarikat-syarikat berkenaan.

Di bawah kepimpinan baru Sapura yang dibarisi tokoh-tokoh profesional ternama negara, saya yakin mereka sedang berusaha yang terbaik mungkin untuk memulihkan Sapura tanpa mengheret dana rakyat seperti yang didesak oleh Najib.
Pengerusi Lembaga Pengarah Sapura yang baru adalah Tan Sri Dato’ Seri Shamsul Azhar Abbas. Beliau merupakan bekas Presiden/CEO PETRONAS yang telah mengemudi industri minyak dan gas negara sejak tahun 1980an.

Ketua Pegawai Eksekutif Sapura yang baru adalah Datuk Mohd Anuar Taib. Sebelum Sapura, beliau adalah Pengerusi Shell Malaysia sebelum memimpin perniagaan huluan minyak dan gas PETRONAS sebagai Naib Presiden Eksekutif.

Ahli Lembaga Pengarah Kanan Sapura yang baru adalah Tan Sri Dato’ Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor. Beliau adalah bekas CEO Shell bagi rantau ini sebelum menjadi Pengerusi Maybank dan Pengerusi Felda.

Pengalaman ketiga-tiga tokoh industri minyak dan gas negara ini melebihi 100 tahun. Mereka lebih cerdik dan mempunyai kepakaran dalam bidang mereka berbanding Najib. Mereka tidak pernah mendakwa mereka bodoh sehingga boleh ditipu berbilion ringgit oleh seorang budak bernama Jho Low.

Lebih penting, mereka terkenal sebagai tokoh-tokoh yang profesional dan jujur. Mereka menerima permintaan PNB untuk memulihkan Sapura kerana mereka adalah patriot sedangkan mereka boleh bersara sahaja, berbanding dengan Najib yang tidak mahu bersara walaupun telah dijatuhkan hukuman penjara kerana merompak dana pencen rakyat.
Saya telah menerima pandangan tokoh-tokoh pakar dari industri minyak dan gas negara dan mengikuti dengan tindakan-tindakan yang telah diambil pengurusan baru Sapura. Secara umumnya, berikut ialah tindakan-tindakan yang wajar diambil untuk memulihkan Sapura:

• Menjalankan rasionalisasi projek dan portfolio untuk menghentikan sebarang operasi atau projek yang membazir, tidak menguntungkan atau tidak mampu disiapkan. Contohnya, menghentikan penglibatan dalam projek-projek yang mengheret kedudukan kewangan Sapura.

• Merundingkan dengan pemiutang Sapura (termasuk vendor-vendor) untuk menstrukturkan kembali pembayaran hutang. Ini termasuklah mendapatkan persetujuan bersama bahawa pemiutang perlu memberi diskaun kepada Sapura kerana lebih baik mereka mendapat sebahagian sahaja dari hutang (daripada tidak mendapat apa-apa).

• Menyemak kembali struktur gaji dan upah eksekutif kanan untuk mengelakkan pembayaran melampaui batas seperti yang berlaku sebelum ini.

• Menumpukan sumber kewangan dan tenaga kerja kepada projek-projek yang memberi pulangan yang baik untuk mengukuhkan aliran tunai.

• Mencari pelabur baru melalui penerbitan saham baru (pada harga yang lebih rendah), sama ada dalam bentuk saham ekuiti atau waran berbentuk pinjaman untuk mengukuhkan aliran tunai.

Hampir semua dari langkah-langkah ini telah pun dilaksanakan oleh pengurusan baru Sapura:

• 10 Mac 2022 – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi pelepasan kepada Kumpulan Sapura di bawah Seksyen 366 dan 368 Akta Syarikat yang membolehkan Sapura merundingkan menstrukturkan kembali pembayaran hutangnya kepada pemiutang dan vendor.

• 4 Februari 2022 – Sapura mengumumkan ia akan menarik diri dari projek Yunneng Wind Power di Taiwan yang bermasalah dan ada kesan kepada prestasi kewangannya.

• 8 Disember 2021 – Sapura mengumumkan operasi minyak dan gasnya masih kekal dengan pengeluaran harian 34,000 tong minyak. Ia juga memberi fokus kepada 59 projeknya di seluruh dunia mengikut pelan rasionalisasi operasi yang diberi nama “Pelan Reset”.

• 8 Disember 2021 – Sapura mengumumkan satu pasukan khas diketuai CEO dan 5 ahli Lembaga Pengarah dengan dibantu penasihat kewangan dari PriceWaterhouseCoopers (PwC) dan Rothschild & Co untuk menggubal pelan pemulihan.

Tenaga profesional yang dipimpin oleh tokoh-tokoh nasional yang berkepakaran ini wajar diberi ruang menjalankan amanah mereka tanpa perlu ada gangguan politik atau campur tangan. Lebih teruk lagi, perangai licik Najib yang ingin mempolitikkan isu aliran tunai Sapura demi meraih sokongan rakyat sebenarnya tidak membantu usaha mereka.

Saya menyeru rakyat Malaysia meletakkan harapan kita di bahu tokoh-tokoh ini, bukannya Najib yang rekod pengurusannya telah memiskin negara dan menyusahkan rakyat.

RAFIZI RAMLI

Related Posts
crossmenuchevron-up