July 15, 2025

Perarakan Demi KEADILAN

Saya turut bersama-sama Majlis Peguam Malaysia berarak bagi mempertahankan salah satu tiang utama demokrasi kita - kebebasan badan kehakiman.

Saya pernah bersuara ketika Kerajaan PN mencabul demokrasi dengan menutup Dewan Rakyat. Saya juga bersuara ketika Tun Mahathir tak tunai janji semasa jadi PM7. Saya perlu bersuara hari ini supaya Kerajaan MADANI kekal pertahan institusi kehakiman.

Saya hadir sebagai rakyat Malaysia yang prihatin untuk mendengar dan menyaksikan sendiri, serta menzahirkan solidariti terhadap kebimbangan yang dibangkitkan oleh Badan Peguam.

Dalam sebuah demokrasi yang berfungsi, pemisahan kuasa antara badan kehakiman, eksekutif dan legislatif wujud untuk memastikan tiada satu pun cabang kuasa yang bebas bertindak tanpa akauntabiliti. Prinsip semak dan imbang ini bukan sekadar teori, ia adalah asas yang melindungi kebebasan rakyat.

Badan kehakiman yang bebas merupakan benteng terakhir yang menghalang penyalahgunaan kuasa oleh eksekutif, kabinet dan kerajaan secara keseluruhan.

Malah, badan kehakiman juga berperanan menegur Parlimen sekiranya undang-undang yang diperkenalkan bersifat menindas atau bertentangan dengan Perlembagaan.

Namun, sistem ini hanya boleh berfungsi apabila badan kehakiman bebas sepenuhnya daripada campur tangan - sama ada dari dalam atau luar.

Sehubungan itu, sesiapa yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara; Presiden Mahkamah Rayuan, Ketua Hakim Malaya dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak mestilah bukan sahaja berlandaskan kebolehan dan kelayakan semata-mata, tetapi juga memiliki tahap integriti moral yang tinggi dalam menjalankan amanah tersebut.

Ketika ini, terdapat dakwaan campur tangan dalam badan kehakiman. Ini dikuatkan lagi dengan laporan polis yang telah dibuat dan dakwaan kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Dakwaan ini perlu disiasat dengan telus bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman negara.

Siasatan boleh dimulakan di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan melalui penubuhan tribunal bebas yang dianggotai sekurang-kurangnya lima orang hakim kanan.

Langkah ini penting bukan sekadar untuk mencari kebenaran, tetapi untuk mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

Langkah ini akan membantu memperkukuh kepercayaan umum terhadap sistem dan institusi negara kita.

Sejarah telah mengajar kita, daripada pemecatan Tun Salleh Abas hinggalah kepada pendedahan skandal VK Lingam - bahawa penyalahgunaan kuasa mampu merosakkan asas keadilan. Namun, insiden-insiden inilah juga yang telah membakar semangat untuk memastikan kebebasan badan kehakiman terus dipertahankan.

Hari ini, kita mengamalkan hak untuk berhimpun secara aman, hak yang dijamin oleh Perlembagaan dan didukung oleh Perdana Menteri.

Dengan semangat reformasi dan keadilan yang menjadi teras perjuangan KEADILAN, kita perlu menambah baik struktur sedia ada, dalam usaha menjadikannya lebih telus dan bertanggungjawab.

𝐍𝐔𝐑𝐔𝐋 𝐈𝐙𝐙𝐀𝐇 𝐀𝐍𝐖𝐀𝐑

Related Posts
crossmenuchevron-up