Carian
May 16, 2021

Perutusan Hari Guru

Perkataan gu-ru yang kita sebut hari ini mempunyai nilai falsafah yang berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu “Gu bermaksud kegelapan dan Ru bermaksud yang menyelamatkan seseorang daripada kegelapan.”

Secara semantiknya, perkataan guru merujuk kepada insan yang mencerahkan, yang memberi cahaya, ilmu, petunjuk, teladan dan hikmah, malah seorang guru jugalah yang menabur makna dalam kehidupan murid-muridnya.

Seorang penyair Arab, Asy-Syauqi pernah menuturkan suatu syair yang sangat indah tentang guru. Kata Al- Syauqi: “Bangunlah dan sambutlah seorang guru, lalu berikanlah penghormatan terhadapnya. Percayalah, hampir-hampir sahaja seorang guru itu menjadi seorang Rasul.”

Tinggi sekali darjat seorang guru sehingga bagi Al-Syauqi, hampir-hampir sekali seorang guru itu menjadi seorang Rasul. Begitulah berharganya seorang guru di hati kita semua.

Sesungguhnya, guru adalah nadi penggerak utama yang sentiasa berkorban tenaga dan masa hanya kerana mahu memastikan setiap daripada kita tidak mendewasa dalam kejahilan.

Sepertimana yang telah dipotretkan oleh Sasterawan Negara Usman Awang tentang guru,

“Dialah ibu dialah bapa juga sahabat Alur kesetiaan mengalirkan nasihat Pemimpin yang ditauliahkan segala umat Seribu tahun katanya menjadi hikmat”

Para guru seperti mana yang disebutkan pepatah, “Insan yang mencipta keabadian, kerana mereka tidak pernah boleh memberitahu di mana pengajaran mereka berhenti.”

Hal ini mengenangkan kita kepada pesanan Almarhum Prof Diraja Ungku Aziz juga pernah berpesan, iaitu:

“Kita harus kembali ke akal fikir, merujuk kepada kebijaksanaan dan mencari segala kepandaian untuk berhadapan dengan cabaran. Kita harus menyusur akar bangsa, mencari ke dalam semak dan belukar rahsia kejayaan dan kekuatan anak bangsa dalam menghadapi cabaran zaman.”Justeru, guru adalah penyusur, peneroka, pembina asas kejayaan bangsa. Tanpa mereka, nusa ini akan goyah, watan ini akan rebah.

Di kala pandemik ini, cabaran menjadi seorang guru juga semakin getir. Norma baharu memaksa para guru menjadi lebih kreatif, bertindak pro-aktif dan mengusahakan segala pendekatan di luar kerangka keselesaan dan konvensional demi memandaikan anak-anak bangsa. Hakikatnya, para guru adalah tonggak pendidikan negara, dan merekalah harapan kita untuk mendidik anak bangsa sekaligus mencorakkan masa depan negara. Jika mereka hidup dengan tekanan dan bebanan, hasil kemenjadian murid yang kita mahukan pasti tidak akan dapat dicapai.

Kembalikanlah kegembiraan dan kasih sayang dalam kalangan para guru yang pernah mereka kecapi dahulu walaupun singkat, kerana kegembiraan mereka adalah sinar kejayaan negara dan generasi mendatang.

Dengan rendah hati kami mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ kepada semua warga pendidik walau di mana anda berada. Kalian adalah insan istimewa kerana telah menyuburkan jiwa-jiwa yang merdeka. Guru bukan sahaja mendidik, malah menumbuhkan jati diri anak didik hingga mampu mendepani kehidupan dengan dengan berani.
‘Guru Penyubur Jiwa Merdeka’

YB Dr Maszlee Malik, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan
YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
YB Teo Nie Ching, Parti Tindakan Demokratik (DAP)
YB Datuk Dr Hasan Baharom, Parti Amanah Negara (AMANAH)

Related Posts
crossmenuchevron-up