Carian
June 1, 2021

PH Johor: Gerakkan Trak Vaksinasi Di Kawasan Johor

1. Berdasarkan kenyataan dikeluarkan oleh Khairy Jamaluddin berhubung pengoperasian 30 trak vaksinasi bergerak di sekitar Kuala Lumpur, Pakatan Harapan (PH) Johor mendesak agar perkara yang sama turut digerakkan di Johor. Pusat Pengambilan Vaksin (PPV) bergerak seperti ini adalah amat membantu khususnya melibatkan kawasan-kawasan luar bandar di negeri ini serta kemudahan capaian pengambilan suntikan vaksin oleh warga emas dimana pergerakan mereka amat terbatas.
Rujuk https://m.malaysiakini.com/news/576939

2. Pada masa yang sama, PH Johor berpandangan Klinik Kesihatan atau Klinik Desa juga boleh diaktifkan menjadi PPV sementara bagi tujuan tersebut.

3. PH Johor berpandangan, angka statistik perkembangan Program Imunisasi Covid-19 bagi negeri Johor adalah membimbangkan. Sehingga 31 Mei 2021, jumlah pendaftaran vaksinasi di Johor adalah pada kadar 52.6% manakala angka yang sudah divaksin sekadar 6.4% sahaja.

4. Sebagai cadangan tambahan, bagi kawasan majoriti Melayu contohnya di Felda, Masjid boleh dipertimbangkan untuk dijadikan PPV. Ini selari dengan peranan masjid sebagai sebuah pusat yang bukan semata-mata untuk aktiviti ibadah khusus seperti solat berjamaah 5 waktu sahaja, tapi termasuk menjalankan aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada ummah. Pada saat pandemik ini, Masjid boleh dipertimbangkan bagi kegunaan sebagai PPV sepertimana yang dijalankan di UK.
Rujuk
https://www.google.com/amp/s/www.aljazeera.com/amp/news/2021/2/8/in-the-uk-muslims-feel-comforted-receiving-vaccines-at-mosques
5. Pada masa yang sama, rumah-rumah ibadat yang lain seperti Tokong atau Kuil juga boleh dipertimbangkan untuk berfungsi sebagai PPV berdasarkan keperluan majoriti rakyat setempat dari kalangan kaum Tionghua dan juga India.

6. Selain itu, cadangan-cadangan alternatif lain seperti penggunaan IPTA dan IPTS di Johor yang pernah diangkat menerusi mesyuarat dalam talian yang di pengerusikan oleh YAB Dato' MB pada 27 Mei lalu juga mesti diperhalusi segera.

7. Pun begitu, PH Johor menyedari bahawa kesemua cadangan ini adalah tertakluk kepada data dan perkembangan semasa serta penilaian risiko bagi mempercepat proses vaksinasi untuk mencapai 'herd immunity' dalam kalangan rakyat Johor.

YB AMINOLHUDA HASSAN
Ketua Pembangkang Dewan Negeri (DUN) Johor
Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Johor
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor

YB SYED IBRAHIM SYED NOH
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Johor

LIEW CHIN TONG
Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor

Related Posts
crossmenuchevron-up