Majlis Setiausaha Pakatan Harapan kesal dengan alasan-alasan yang diberi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan, tentang mengapa Jemaah Menteri tidak menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang.
Antara alasan utama yang diberi termasuklah undang-undang yang tidak perlu diluluskan Parlimen sewaktu darurat berkuatkuasa, dan ramainya Ahli Parlimen yang berisiko tinggi menjangkiti COVID-19 sekiranya Parlimen bersidang.
Kesemua alasan yang diberi adalah lemah, dangkal dan tidak menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda pada 24 Februari lalu yang menyatakan Parlimen boleh bersidang sewaktu darurat berkuatkuasa.
Kekeliruan SOP COVID-19, kemarahan rakyat tentang isu “Antara Dua Darjat” dalam penguatkuasaan, bantuan kerajaan yang tidak sampai atau tidak mencukupi, dan banyak masalah lain adalah sebab utama mengapa Parlimen mesti bersidang segera.
Sebagai institusi ulung demokrasi negara kita, Parlimen turut berfungsi sebagai tempat proses semak imbang pengurusan kerajaan dilakukan. Tanpa Parlimen termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, proses semak imbang tersebut telah ‘dimatikan’.
Dalam isu jangkitan COVID-19 di kalangan Ahli-Ahli Parlimen, YB Menteri tidak menyatakan kepada media bahawa, berdasarkan bukti dan data, sepanjang 55 hari Parlimen bersidang pada tahun 2020, tiada seorang Ahli Parlimen pun yang menjangkiti COVID-19 di Parlimen itu sendiri, dan tiada satu pun kluster COVID-19 yang dibuktikan terhasil akibat persidangan Parlimen. Perlu diingatkan bahawa pada waktu itu, belum seorang Ahli Parlimen pun yang telah menerima vaksin.
Malah fakta ini membuktikan bahawa langkah-langkah dan SOP yang diambil bagi perjalanan sidang Parlimen pada 2020 berkesan, dan Parlimen boleh bersidang sekarang tanpa lengah.
Majlis Setiausaha tidak boleh menerima alasan-alasan YB Menteri. Pada ketika Perintah Kawalan Pergerakan tamat dan diganti dengan PKP Pemulihan atau PKP Bersyarat, pada ketika lebih banyak sektor ekonomi dibenar beroperasi, dan pada ketika pihak Eksekutif serta Kehakiman boleh berfungsi, tiada alasan lagi untuk Parlimen tidak bersidang sesegera mungkin.
Oleh itu, Jemaah Menteri perlu menjunjung kasih di atas titah nasihat Seri Paduka Baginda tersebut, serta menasihati Tuanku untuk memanggil sidang Parlimen segera.
YB DS Saifuddin Nasution
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
YB Datuk Dr Hatta Ramli
Parti Amanah Negara (AMANAH)
YB Loke Siew Fook
Parti Tindakan Demokratik (DAP)