1. Semalam, telah tular seluruh negara suatu tuduhan tidak benar dan petikan di luar konteks berhubung penggunaan istilah "kafir". Saya menerima berita ini semasa dalam perjalanan urusan kerja dan pergerakan dari Kuching (Sarawak) dan kemudiannya perjalanan pulang ke Kuala Lumpur semalam.
2. Telah tersebar satu poster memaparkan gambar saya dengan "caption" yang dipetik di luar konteks. Poster ini disengajakan penghasilannya untuk mencipta polemik bagi mengherotkan makna asal daripada keratan video tular, yang memaparkan saya sedang berucap dengan menyebutkan bahawa saya tidak membenarkan anak-anak saya mengungkapkan istilah "kafir" di rumah.
3. Keratan video ini diambil dan dimuatnaik di media sosial daripada suatu pertemuan tertutup dengan kumpulan tertentu. Kemudiannya keratan video ini diambil oleh kelompok lain dan ditularkan dengan tafsiran terseleweng dan di luar konteks.
4. Dalam rakaman video tersebut (acara tertutup), saya menyinggung perihal penyebaran sentimen kebencian, sikap ghuluw (melampau) dan gejala takfiri dalam kalangan segelintir masyarakat, sehinggakan menuduh saya dengan tuduhan fitnah, antaranya seperti telahan bahawa hidup saya tidak berkat kerana saya bekerja untuk orang kafir.
5. Sentimen ini menular sehingga sampai kepada anak-anak di sekolah, hasil interaksi dengan orang lebih dewasa yang menyebarkan sentimen tidak benar dan fitnah ini, dengan pendekatan melampau (ghuluw).
6. Saya nyatakan dengan maksud jelas, bahawa saya tidak membenarkan anak-anak saya menyebut istilah "kafir" yang disalahfahami dengan mempunyai konotasi kebencian terhadap warga non-Muslim yang hidup bersama-sama dalam negara tercinta.
7. Isu sebutan "kafir" atau "non-Muslim" bukanlah tindakan saya melarang penggunaan perkataan dalam al-Quran, apatah lagi menafikan istilah yang digunakan dalam al-Quran.
8. Ia adalah suatu isu memilih panggilan bersesuaian dalam kehidupan seharian. Malah, Almarhum Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawi dan juga Shaykh Prof Dr. Ibrahim al-Hudhud (mantan rektor Universiti Al-Azhar) mengakui panggilan "ghayru Muslim" (non-Muslim) untuk digunakan termasuklah dalam penggunaan panggilan sosial.
9. Hakikatnya, langsung tidak timbul isu menghalang penggunaan istilah dalam al-Quran, malah tiada penafian istilah daripada al-Quran sebagaimana didakwa pihak-pihak tertentu.
10. Pastinya saya sayangkan agama dan prinsip-prinsip Islam merupakan pegangan dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Tiada timbul isu saya terseleweng daripada agama, justeru tuduhan jahat, melampau, dan bersifat menghina, serta takfiri tidak terlepas daripada radar pemerhatian untuk tindakan lanjut di sisi lunas undang-undang kerana ia jelas melanggar prinsip akhlak dan karamah insaniah.
11. Dalam konteks bernegara, dalam sebuah negara bangsa Malaysia yang hari ini boleh juga dikategorikan sebagai 'Dar al-Da'wah', warga bukan Islam (non-Muslim) juga sesuai disebut sebagai "muwatinun" (warganegara) sebagaimana disinggung oleh Dr Fahmi Huwaidi dalam bukunya ‘Muwatinun la Dhimmiyun’. Untuk berlaku adil, pastinya saya punya kecintaan yang tinggi kepada kaum Muslimin, namun terus berpegang kepada prinsip keadilan dalam ta'amul sesama insan sesuai dengan prinsip "li ta'arafu".
12. Saya sendiri tidak pernah berhasrat untuk mengomentari isu tersebut. Keratan video yang tular telah diambil di luar konsensus dan juga diselewengkan konteksnya. Malah, sesiapa yang mendengar ucapan dalam video tersebut dapat menilai konteks sebenar yang saya hasratkan.
13. Ternyata, ia adalah suatu percubaan jahat yang ingin mencalarkan imej dan kredibiliti saya, seterusnya berniat mencetuskan kekecohan dalam isu berkait "3R" dengan melakukan pemesongan makna dan menyebabkan saya ditohmah dengan ujaran kebencian, tuduhan tidak benar dan fitnah, malah diancam keselamatan.
14. Rakan-rakan telah menasihatkan agar laporan polis dibuat atas faktor keselamatan, malah kumpulan peguam menyarankan agar tindakan undang-undang dan sivil dikenakan kepada mereka yang terlibat.
15. Pihak peguam juga sedang dalam proses mengumpulkan bukti-bukti menerusi media sosial yang pelbagai termasuklah dalam bentuk hantaran, kongsian, komentar dan lain-lain medium. Kelihatan banyak pengguna media sosial telah bertindak di luar kawalan termasuk terlalu melampau dalam bereaksi.
16. Bahawa saya juga memohon maaf sekiranya ada mengguris perasaan mana-mana pihak, atas kesalahfahaman, keterlanjuran kata dan khilaf yang datang daripada kelemahan diri saya.
17. Namun saya tidak kompromi soal fitnah dan tuduhan jahat, serta kesengajaan penyelewengan konteks, lebih-lebih lagi ancaman keselamatan terhadap diri saya dan keluarga.
18. Hakikatnya, ia adalah suatu salah faham dan kesengajaan penyelewengan konteks sebagaimana dinyatakan sebelum ini.
19. Buat akhirnya, saya menyeru diri saya dan rakan-rakan untuk sama-sama memenuhi tuntutan menggiatkan amal dalam 10 malam terakhir Ramadan, dengan menjauhi perkara dosa dan kemungkaran, meningkatkan amal ibadah dan amal kebajikan.
20. Maaf zahir dan batin. Allah Maha Mengetahui.
"Fa ṣabrun jamīl, wallāhul-musta'ānu 'alā mā taṣifụn"
("...maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan")
(Surah Yusuf: ayat 18)
-Fadhlina Sidek-
Ketua Wanita KEADILAN