Carian
March 24, 2021

Pusat Asuhan Untuk Anak-anak Petugas Barisan Hadapan Mesti Diberi Keutmaan

Kami telah menerima banyak aduan berkaitan kesukaran petugas-petugas barisan hadapan (“frontliners”) untuk anak-anak mereka dijaga oleh pusat asuhan kanak-kanak semasa bertugas.

Ada pusat-pusat asuhan kanak-kanak yang enggan menerima dan menjaga anak-anak kepada petugas-petugas barisan hadapan, terutama petugas-petugas dari Kementerian Kesihatan yang berdepan terus dengan pesakit atau potensi pesakit COVID-19.

Isu ini serius untuk kita pertimbangkan kedua-dua belah pihak iaitu pengusaha pusat asuhan dan petugas-petugas barisan hadapan yang juga merupakan ibu bapa kepada kanak-kanak yang terbabit.

Memang timbul kekhuatiran risiko jangkitan COVID-19 ini, bukan hanya kepada mereka tetapi juga terhadap anak-anak asuhan yang lain. Manakala petugas-petugas barisan hadapan ini pula sedang mempertaruhkan kesihatan dan nyawa mereka untuk seluruh penduduk dan negara tetapi mempunyai masalah dengan penjagaan anak-anak mereka semasa mereka bertugas.

Petugas-petugas barisan hadapan ini perlu dibantu dan dipermudahkan urusan keluarga mereka, menjadi tanggungjawab kerajaan pada hari ini untuk memikirkan penyelesaiannya.

Ketika Pakatan Harapan di Putrajaya sebelum ini, telah digariskan dan disediakan satu peruntukan bagi penyediaan taska di tempat kerja khususnya di premis-premis kerajaan.

Bahkan dalam Belanjawan 2021 yang dibentang pada November 2020, peruntukan telah ditingkatkan kepada RM30 juta daripada RM10 juta.

Dalam suasana kini dengan pandemik COVID-19 yang belum nampak bila penghujungnya, saya menggesa supaya perlaksanaan peruntukan ini diberi keutamaan (“priority”) dan disegerakan (“urgency”) terutama di Kementerian Kesihatan dan kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan lain yang mempunyai ramai petugas barisan hadapan yang mempunyai anak-anak yang memerlukan khidmat pusat asuhan. Saya berharap pusat asuhan di premis kerajaan yang terlibat ini dapat dimulakan dengan secepat mungkin.

Saya juga ingin mencadangkan agar pusat asuhan swasta membantu dengan mengamalkan langkah-langkah SOP yang ketat. Sebagai contoh, ibubapa memastikan anak-anak mereka tidak ada simptom dan suhu badan wajib diperiksa, tangan kerap dicuci atau disanitasi sebelum dan semasa berada dalam pusat asuhan tersebut.

Seruan saya, bantulah petugas-petugas barisan hadapan yang telah membantu kita.

Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail
Ahli Parlimen Pandan

Related Posts
crossmenuchevron-up