Carian
September 24, 2022

Rakyat Perlu Sistem Pendidikan Yang Berkualiti, Bukan Universiti Wanita

Selepas 3 tahun menerajui Menteri Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Noraini Ahmad memberi idea menubuhkan sebuah universiti khas untuk wanita, jelas Menteri UMNO itutidak faham isu pokok dan cabaran yang dihadapi sistem pengajian tinggi negara.

Jelasnya masalah utama pendidikan tertiari di Malaysia adalah masalah institusi dan bukannya isu jantina. Usahlah Noraini memberikan cadangan populis untuk membina imej beliau sebagai seorang pembela nasib golongan wanita. Padahal ianya langsung tidak membantu dalam menyelesaikan masalah generasi muda negara.

Nisbah jumlah pelajar wanita memasuki menara gading di Malaysia yang lebih tinggi berbanding pelajar lelaki telah menjadi suatu norma dalam beberapa dekad ini. Maka, cadangan KPT terbukti sangat tidak kena pada tempatnya.

Banyak isu yang membelenggui institusi pengajian tinggi tempatan termasuk prasarana pendidikan, kebajikan mahasiswa, kurikulum yang kurang menepati keperluan pasaran pekerjaan, peluang pekerjaan graduan dan sebagainya, di mana setiap satunya memerlukan perhatian dan tindakan segera kerajaan.

Indeks Jurang Gender Malaysia(MGGI) yang diumumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia(DOSM) turut menunjukkan bahawa kategori pencapaian pendidikan merupakan antara sektor di mana pencapaian wanita telah mengatasi lelaki, berbanding dengan bidang lain yang golongan wanita masih jauh ketinggalan seperti peluang dan penyerta ekonomi dan penguasaan politik.

Sebaliknya baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan hasil kaji selidik Jabatan Pe­rangkaan yang mendedahkan kira-kira 390,000 atau 72.1‰ lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran. Jadi tiada gunanya kerajaan terus menggandakan jumlah universiti dalam negara selagi isu kualiti pendidikan dan peluang pekerjaan gagal diperbaiki untuk memberikan keyakinan kepada anak muda bagi melanjutkan pelajaran.

Menteri perlu bersikap ikhlas dan pragmatik dalam menangani isu-isu pendidikan. Perlu ingat bahawa Malaysia tidak memerlukan universiti yang lebih banyak, kita hanya perlukan universiti yang lebih baik.

Sandrea Ng
Pengarah Komunikasi KEADILAN Perak
ADUN Teja

Related Posts
crossmenuchevron-up