Carian
May 18, 2021

Rakyat Tuntut Rina Jelaskan Perkembangan Semasa Pemvaksinan COVID-19 Melibatkan Warga Emas Di Seluruh Negara

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang diterajui Menteri YB Dato Seri Rina Harun dan Timbalan Menteri YB Dato Siti Zailah bertanggungjawab membela nasib 3.5juta warga emas khususnya di 1700 buah Pusat Penjagaan Warga Emas.

Namun, KPWKM pada 17 Mei 2021 berkata seramai 48,564 warga emas dikemukakan oleh KPWKM kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menerima vaksin COVID-19. Anggaran tersebut sebenarnya hanya mengulangi kenyataan Rina pada 24 Februari yang meminta MOSTI meberikan keutamaan kepada senarai tersebut. KPWKM sepatutnya meberikan status kemas kini perkembangan jumlah pemvaksinan kumpulan warga emas ini selepas satu bulan Program Imunisasi Fasa 2 dilaksanakan.

Pada masa sama, KPWKM hanya dapat memastikan 48,564 daripada jumlah 3.5juta warga emas di negara (angka daripada Jabatan Perangkaan Malaysia 2020) iaitu hanya 1.38% berdaftar dengan Program Imunisasi Covid-19 dengan status penerimaan suntikan yang masih tidak tertentu.

Persatuan pengendali rumah jagaan orang tua menerusi setiausahaya, Muntoh Fong sebelum ini mendedahkan bahawa terdapat 1700 buah Pusat Penjagaan Warga Emas di seluruh negara. Maksudnya, KPWKM cuma memantau 22% daripada pusat penjagaan warga emas di seluruh negara kerana hanya 382 daripada 1700 buah Pusat penjagaan warga emas berdaftar dengan kementerian.

Persoalan saya adalah, siapakah yang akan memantau dan membantu mereka yang tidak berdaftar bawah KPWKM?

Saya juga merujuk kepada kenyataan Rina pada 24 April bahawa 9,916 warga emas di seluruh negara telah menerima suntikan vaksin dalam 9 hari sejak 16 April. Dengan kadar yang begitu, mustahil kita boleh mencapai 80% warga emas di negara ini menerima suntikan vaksin dalam 4 bulan. Apakah tindakan susulan akan diambil bagi mencapai matlamat itu?

Saya memohon penjelasan daripada Rina dalam 48 jam tentang isu ini. Beliau perlu membuktikan bahawa KPWKM di bawah pimpinan beliau sentiasa memantau situasi semasa berkaitan Program Imunisasi Covid-19 kepada Fasa Kedua kumpulan sasar kementerian dan membuktikan beliau tidak menjadikan jawatan Menteri sebagai pekerjaan sampingan. Jika tidak, Rina gagal teruk sebagai seorang Menteri.

Loh Ker Chean
Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up