Baru-baru ini, saya difahamkan bahawa hanya 2,764 unit tablet dariapda 350,000 unit tablet yang dijanjikan telah diserahkan kepada golongan mahasiswa. Dahulunya pengagihan ini telah dijanjikan oleh kerajaan untuk dilaksanakan sebelum 30 September 2022
Namun kurang daripada 1% unit tablet telah diagihkan kepada golongan mahasiswa dan ini adalah satu angka yang sangat tidak memuaskan. Persoalan saya di sini, berapa ramai mahasiswa di negeri Johor telah diberikan peranti siswa tersebut setakat ini?
Selaku ADUN Bukit Batu dan juga Jurucakap Pendidikan Pakatan Harapan Johor, saya memohon kepada kerajaan persekutuan untuk mengeluarkan data terbuka mengenai pengagihan yang telah dilakukan mengikut negeri dan perlu kemaskini data tersebut dari semasa ke semasa.
Menteri Besar Johor, YAB Datuk Onn Hafiz dan juga Exco Pendidikan YB Cik Norlizah binti Noh perlu memberi penekanan khas terhadap isu ini kerana negeri kita mempunyai 35,000 mahasiswa B40 dalam anggaran. Sudah pastinya, mereka terkesan daripada peralihan pendidikan digital pasca pandemik Covid-19 dan juga kos sara hidup yang meningkat secara mendadak.
Kedua-dua pihak ini perlu bertindak secara pantas untuk memastikan bantuan kerajaan persekutuan diterima dalam kadar yang terancang dan segera bagi mahasiswa-mahasiswa B40 yang lahir di negeri Johor. Ini adalah tanggungjawab mereka dan mereka perlu menunaikan tanggungjawab mereka supaya kebajikan mahasiswa dijaga. Mohon segerakan bantuan kerajaan persekutuan untuk sampai di tangan penerima mahasiswa Johor kerana kerajaan memainkan peranan penting dalam pelaksanaan inisiatif kerajaan juga.
Bukan itu sahaja, selain daripada mengadakan perbincangan politik setiap masa, ahli-ahli politik perlu memberikan perhatian kepada isu-isu kebajikan rakyat kita. Hanya dengan pengumuman inisiatif sahaja tidak memberikan apa-apa perubahan, inisiatif bersama dengan perancangan yang rapi akan membuahkan hasil.
Saya harap YAB Datuk Onn Hafiz selaku Menteri Besar Johor akan menasihati YB Annuar Musa dalam isu ini dengan segerakan pengagihan bantuan Peranti Siswa seperti yang dijanjikan kepada rakyat terutamanya kepada mahasiswa di negeri Johor.
YB Arthur Chiong Sen Sern
ADUN Bukit Batu
Jurucakap Pendidikan Pakatan Harapan Johor
Pengarah Strategi Keadilan Majlis Pimpinan Keadilan Johor