1.Adalah amat mendukacitakan dan berasa kesal selepas mengambil maklum mengenai seorang warga emas dipercayai pesakit Covid-19 yang mengakhiri hayatnya di atas lantai di Hospital Lama Sungai Petani negeri Kedah berdasarkan media laporan hari ini.
2.Saya mendesak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat agar mengawalkan tarikh pembentangan Rang Undang – Undang (RUU) Warga Emas kepada September 2021 atau selewat – lewatnya akhir tahun ini, bukan pada tahun 2022 seperti yang dijadualkan dalam Pelan Strategi KPWKM 2021 – 2025.
3.Kewujudan Akta Warga Emas menjadi lebih mendesak demi melindungi warga emas yang merupakan golongan rentan berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19 daripada penderaan dan pengabaian, serta bagi mengelakkan kematian warga emas akibat pengabaian oleh penjaga dalam kita berusaha memerangi pandemik Covid-19.
4.Oleh itu, saya mencadangkan supaya Menteri mempertimbangkan dua perkara berikut supaya dimasukkan ke dalam RUU Warga Emas.
5.Pertama, Institusi – institusi atau individu wajib mempunyai akauntabiliti ke atas warga emas bagi memastikan golongan warga emas adalah selamat daripada penderaan dan pengabaian di bawah penjagaan Institusi dan individu.
6.Kedua, penderaan atau pengabaian yang dilakukan terhadap warga emas boleh ditafsirkan sebagai suatu kesalahan jenayah di sisi undang - undang sekiranya disabitkan kesalahan.
7.Adalah penting hak asasi warga emas dilindungi supaya mereka boleh hidup dengan bermaruah, selamat, tanpa pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi khususnya dalam tempoh pandemik Covid-19.
8.Saya juga berharap agar siasatan yang dijalankan oleh Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Othman Warijo boleh membersihkan nama Frontliners di Kedah dengan bukti dan saksi sekiranya kisah sebenar bukan seperti yang didakwa, dan keadilan ditegakkan bagi mangsa sekiranya pendakwaan oleh warganet adalah benar.
Loh Ker Chean
Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN