Saya percaya para guru hanya mahukan yang terbaik untuk masa hadapan anak-anak kita. Sebagai seorang bapa, saya sering melihat guru-guru berkorban untuk memastikan anak-anak saya mendapat pendidikan yang terbaik di sekolah.
Kita baru dikejutkan dengan berita dari Cikgu Mohd Fadli Salleh yang menerima surat tindakan tatatertib dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana beliau dikatakan telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang dianggap telah melanggar tatakelakuan.
Bagi pertuduhan pertama, Mohd Fadli telah membuat hantaran di media sosial pada 26 November 2021 berhubung jadual waktu dan mata pelajaran yang diajar yang terlalu padat di sekolah rendah.
Untuk pertuduhan kedua, Mohd Fadli telah memuat naik hantaran di platform yang sama pada 30 November 2021 mengenai subjek tidak realistik yang diajar pada murid Tahun 1 di sekolah rendah. Pertuduhan ketiga, Mohd Fadli pada 29 November 2021 dalam sesi Facebook live mengatakan banyak silibus mengarut diajar di sekolah.
Buat masa ini, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan memberi tempoh selama 21 hari kepada Mohd Fadli untuk mengemukakan representasinya. Jika beliau gagal berbuat demikian, Cikgu Mohd Fadli dianggap tidak mahu membela diri dan tindakan akan dikenakan berdasarkan keterangan yang sedia ada.
Saya percaya kritikan-kritikan yang dilontarkan oleh Cikgu Mohd Fadli bukanlah kritikan yang tidak berasas, sekiranya kita bertanya secara rawak kepada guru-guru (tanpa sebarang tekanan), sudah tentu ramai guru akan mengemukakan pandangan yang sama. Kementerian Pendidikan Malaysia seharusnya lebih terbuku dalam menerima kritikan-kritikan yang dilontarkan oleh para guru. Pada guru adalah mereka yang melaksanakan dasar-dasar yang dibuat oleh KPM, sudah tentu mereka lebih mengerti tentang apa yang berlaku di lapangan (sekolah).
Moga Cikgu Mohd Fadli akan mengemukakan representasi dan diadili dengan telus oleh KPM. Saya dikhabar beliau juga akan membawa hal ini ke Mahkamah. Solidariti untuk Cikgu Mohd Fadli!
NIK NAZMI NIK AHMAD
NAIB PRESIDEN
PARTI KEADILAN RAKYAT