Kebelakangan ini kerajaan PAS-UMNO-BERSATU cuba mengalih perhatian dari isu sebenar yang menimbulkan kemarahan rakyat. Mesin propaganda PAS-UMNO-BERSATU yang diketuai Dato’ Seri Najib Razak cuba meyakinkan rakyat bahawa tiada penyelewengan berlaku, hanyalah kelewatan projek.
Sehingga kini, Najib sendiri belum menjawab soalan-soalan pokok yang saya utarakan sejak saya mendedahkan butiran projek LCS yang mengesahkan ada penyelewengan:
1. Kenapa reka bentuk dan kelas kapal LCS diubah di saat akhir dari yang telah diluluskan, iaitu dari kelas Sigma (Belanda) kepada kelas Gowind (Perancis)?
2. Siapa yang lebih berkuasa dari Menteri Pertahanan ketika itu (Zahid Hamidi) yang boleh mempengaruhi keputusan?
3. Kenapa kontraktor utama (Boustead Naval Shipyard, BNS) melantik subkontraktor berlapis-lapis, adakah untuk menyembunyikan penglibatan DCNS yang ada reputasi dan skandal terdahulu berkait dengan Najib?
4. Kenapa kos untuk dua pakej utama naik harga dua kali ganda (dari RM397 juta kepada RM1.2 bilion) apabila melalui dua lapisan subkontraktor?
Kesemua ini melibatkan dua bentuk keputusan utama.
Pertama, keputusan teknikal berhubung pilihan reka bentuk dan teknologi kapal perang (yang berubah dari kelas Sigma kepada kelas Gowind).
Kedua, keputusan kewangan, peruntukan dan pembayaran yang sepatutnya tertakluk kepada semua Pekeliling Perbendaharaan yang mengawal selia urusan tuntutan dari kontraktor dan subkontraktor.
Umum mengetahui bahawa keseluruhan tadbir urus kewangan negara dipandu dan dikawal oleh satu set Pekeliling Perbendaharaan, yang pada prinsipnya menekankan perkara-perkara berikut:
1. Kontraktor perlu dilantik dari kalangan pembekal yang paling layak berdasarkan keupayaan teknikal dan pada harga yang terbaik kepada kerajaan
2. Kontraktor perlu mempunyai kekuatan kewangan dan aliran tunai sendiri untuk menjalankan kontrak
3. Bayaran hanya boleh dibuat mengikut kemajuan projek dan dibayar secara berpatutan mengikut peratusan projek dilaksanakan, seperti yang dipersetujui mengikut dokumen kontrak yang dimeterai dengan kerajaan
Maklumat dalaman mengenai urusan tuntutan dan bayaran berhubung projek LCS menunjukkan kesemua perkara (1) hingga (3) yang saya sebut telah dilanggar. Ada bukti yang menunjukkan sama ada kontrak kerajaan dengan BNS tidak mengikut peraturan kewangan Pekeliling Perbendaharaan, atau pun pembayaran dibuat tanpa mengikut kemajuan projek yang melanggar Pekeliling Perbendaharaan.
Bayaran-bayaran besar dikendalikan oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan. Peruntukan disediakan oleh Kementerian Kewangan. Menteri Kewangan semasa projek LCS ini diluluskan dan bayaran-bayaran awal dibuat adalah Najib.
Sebelum ini, kita tahu bahawa sebanyak RM400 juta dari bayaran pendahuluan projek LCS untuk membayar hutang lapuk BNS. Perkara ini sepatutnya melanggar peraturan kewangan mengikut Pekeliling Perbendaharaan, iaitu bayaran pendahuluan sesuatu projek hanya boleh digunakan untuk projek itu. Jika kita membuat pinjaman sekali pun, bank hanya akan membenarkan pinjaman dikeluarkan bagi tujuan pinjaman itu diluluskan.
Hari ini, saya ingin mendedahkan satu lagi pembayaran yang tidak mengikut prinsip-prinsip di dalam Pekeliling Perbendaharaan.
Kertas siasatan dalaman projek LCS menunjukkan bahawa subkontraktor lapisan kedua (Contraves Electrodynamics Sdn Bhd, atau CED) membuat tuntutan sebanyak RM178 juta sebagai yuran memulakan kerja (“mobilisation fee”) pada hari yang sama ia dilantik, sedangkan pada ketika itu subkontraktor ini ditubuhkan 45 hari sebelum itu.
The Vibes sebelum ini melaporkan CED ditubuhkan pada 23 Februari 2012, iaitu 45 hari sebelum ia dilantik sebagai subkontraktor lapisan kedua untuk pakej utama bernilai RM1.2 bilion.
https://www.thevibes.com/.../company-set-up-mere-45-days...
Rentetan peristiwa mengenai bayaran yang melanggar prinsip urus tadbir Pekeliling Perbendaharaan adalah seperti berikut:
9 April 2012 – BNS melantik Contraves Advanced Devices (CAD) sebagai subkontraktor bagi dua pakej utama bernilai RM1.2 bilion
9 April 2012 – CAD melantik CED, sebuah syarikat yang baru berusia 45 hari sebagai subkontraktor bagi dua pakej yang dianugerahkan oleh BNS
9 April 2012 – CED membuat tuntutan sebanyak RM178 juta sebagai yuran memulakan kerja pada hari yang sama ia dilantik sebagai kontraktor lapisan kedua
Transaksi-transaksi sebegini merupakan satu penyelewengan yang melanggar peraturan pembayaran Kementerian Kewangan.
Sebagai Menteri Kewangan pada ketika itu, Najib mesti menjawab bagaimana sebuah subkontraktor yang hanya berusia 45 hari boleh membuat tuntutan berjumlah RM178 juta dari projek pertahanan utama negara? Penyelewengan-penyelewengan beginilah yang menyebabkan BNS akhirnya tidak mempunyai dana (walaupun telah dibayar kerajaan) dan projek tergendala sehingga tidak ada satu kapal pun siap hingga ke hari ini.
RAFIZI RAMLI