
Saya berpendapat bahawa perbahasan Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui yang mengesyorkan supaya mewujudkan Portfolio Menteri Agama Bukan Islam adalah sekadar satu cadangan.
Cadangan tersebut adalah di bawah hak beliau untuk bersuara sebagai wakil rakyat. Maka semua pihak tidak perlulah melompat-melompat untuk memungut mata politik masing-masing.
Cuma saya juga akur bahawa kita perlu meneliti ruang antara cadangan yang “boleh dibuat” dan “wajar dibuat”.
Bagi saya cadangan tersebut tidak wajar dilaksanakan atas tiga sebab.
Pertama, Kerajaan Madani tengah giat mengurangkan saiz kabinet. Sebelum ini, jumlah menteri dan timbalan menteri telah dikurangkan daripada 70 orang (Kabinet Ismail Sabri) kepada 60 orang. Penambahan anggota kabinet akan menghantar isyarat negatif bahawa Kerajaan Madani tidak serius menurunkan defisit kerajaan yang dilambak sejak kerajaan terdahulu.
Kedua, perbincangan urusan antara agama akan mengambil keberatan yang lebih dalam mesyuarat kabinet. Isu-isu kritikal lain seperti peningkatan gaji dan ekonomi rakyat, keselamatan negara dan pelaburan terpaksa saling bersaing dalam tempoh mesyuarat kabinet yang sudah terhad sekarang.
Ketiga, perpaduan rakyat dan negara adalah urusan terpenting mana-mana kerajaan untuk memastikan tanah airnya stabil, sedia menghadapi cabaran semasa dan terus membangunkan negara bangsa. Berbanding dengan pendekatan sekarang yang pasif dan responsif, Kementerian Perpaduan perlu menjadi lebih kompeten dan memainkan peranan yang lebih utama dan proaktif. Melalui penubuhan jawatankuasa rentas kaum, agama dan sempadan, banyak isu-isu sebenarnya sudah dapat diselesaikan, bahkan persefahaman dan perpaduan rakyat juga dapat diperkukuhkan.
Lagipun, walaupun kerajaan bersilih ganti, puluhan juta rakyat berbilang kaum kita sudah hidup bersama secara sejahtera, sentosa dan aman selama hampir 70 tahun. Ini adalah bukti utuh bahawa sebenarnya kebijaksanaan rakyat adalah lebih tinggi untuk saling hormat menghormati di samping bangga dengan tradisi masing-masing.
Lee Chean Chung
Ahli Parlimen Petaling Jaya
Pengarah Komunikasi Nasional KEADILAN