Carian
September 5, 2022

TINDAKAN KERAJAAN UMNO/BN MENYEMBUNYIKAN HUTANG DI BAWAH TNB DAN PETRONAS ADALAH TIDAK BERTANGGUNGJAWAB

Saya mengambil maklum bahawa akaun belum terima (receivables) Petronas Dagangan (PetDag) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telahpun meningkat secara mendadak beberapa bulan ini.

Dari Januari hingga Jun 2022, bayaran belum terima PetDag telahpun meningkat sebanyak 295%, iaitu daripada RM3.49 bilion kepada RM10.3 bilion.

Dalam tempoh yang sama, bayaran belum terima TNB juga naik mendadak daripada RM8.62 bilion kepada RM19.17 bilion, dan bersamaan dengan peningkatan RM1.76 bilion sebulan secara purata. Akaun belum terima ini telahpun mencapai tahap yang sama dengan hasilnya daripada March hingga Jun 2022, iaitu RM19.14 bilion. Untuk menampung kos operasi yang kian bertambah, TNB terpaksa membuat hutang jangka masa pendek sebanyak RM11.98 bilion supaya kewangannya dapat terus bertahan.

Disebabkan kerajaan tidak sempat membayar subsidi kepada PetDag dan TNB, kedua-dua syarikat ini dijadikan kambing hitam dan dibebankan dengan hutang sebanyak hampir RM30 bilion. Hutang ini sepatutnya ditanggung oleh kerajaan. Tindakan kerajaan UMNO/BN ini umpama menyembunyikan hutang di bawah TNB dan PetDag supaya kewangan negara dilihat lebih elok menjelang pembentangan Belanjawan 2023.

Situasi ini memeranjatkan dunia korporat kerana langkah luar biasa tersebut telahpun mengganggu kelangsungan dan prospek kedua-dua syarikat besar yang membiayai kehidupan puluhan ribu pekerja dan kontraktor TNB, serta ribuan stesen minyak yang beroperasi di bawah jenama Petronas.

Sayan menggesa Menteri Kewangan Tengku Zafrul tampil memperjelaskan rasional langkah yang diambil ini, serta bilakah kerajaan akan membayar hutang kepada PetDag dan TNB supaya kontraktor, pekerja dan pemegang taruh lain tidak menjadi tunggangan bawah tindakan yang tidak bertanggungjawab ini.

YB Lee Chean Chung
Pengarah Komunikasi KEADILAN
LEE CHEAN CHUNG |

Related Posts
crossmenuchevron-up