Carian
February 26, 2022

Wanita KEADILAN Fokus Tawan Tiga Kerusi

Wanita Keadilan Pusat menawarkan tiga calon wanita yang tekun dalam aktiviti kemasyarakatan, menyantuni dan mengangkat isu rakyat dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Johor 2022. Meskipun ini bermakna kaum hawa mewakili hanya 15 peratus dari kesemua 20 calon Keadilan, Wanita Keadilan Pusat berbesar hati kerana ketiga-tiga calon wanita ini diyakini dapat menyumbang kepada kemenangan Keadilan dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN ini. Ini bertepatan dengan pendekatan Keadilan dan PH kali ini untuk menampilkan calon berpotensi tinggi tanpa mengira usia atau jantina.

Lebih manis lagi, ketiga-tiga calon wanita Keadilan ini merupakan anak Johor yang dikenali rakyat secara dekat setelah sekian lama bergiat aktif di lapangan, mengangkat dan menyelesaikan isu-isu kemasyarakatan.

Selain dikenali sebagai perunding kewangan yang telah banyak menempa kejayaan demi kejayaan, Puan Napsiah Khamis Maharan, calon DUN Kempas N47 juga seorang aktivis sosial dan masyarakat tersohor di samping menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Wanita Keadilan Johor. Bagi Puan Zulinah Johari, calon DUN Tenggaroh N33 pula, kesibukan beliau sebagai pemimpin persatuan dan masyarakat tidak menghalang beliau menjadi seorang ahli perniagaan berjaya yang banyak berjasa mengembangkan bisnes keluarga. Puan Haryati Abu Nasir, calon DUN Semarang N20 juga tidak kurang hebatnya dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan pelbagai persatuan yang diseimbangkan dengan tugasan mencabar beliau sebagai pembantu kejuruteraan, suatu bidang yang selalunya didominasi oleh lelaki.

Berdasarkan pengalaman dan prestasi mereka selama ini dalam semua bidang diceburi atau amanah diberi terutama sebagai pemimpin Wanita Keadilan di peringkat Pusat, Negeri dan Cabang, Wanita Keadilan Pusat yakin ketiga-tiga calon wanita ini mampu mencipta kejutan dan seterusnya memberi khidmat terbaik kepada rakyat sekiranya diberi mandat. Wanita Keadilan Pusat juga berbangga kerana parti keramat ini mengetengahkan calon-calon wanita yang benar-benar layak dan terbukti mampu memantapkan lagi gerakan wanita di setiap peringkat.

YB RODZIAH ISMAIL
Pemangku Pengarah Pilihanraya Wanita Keadilan Pusat

Related Posts
crossmenuchevron-up