Carian
September 26, 2022

Zahid Batu Api, Perbalahan BN-PN Usah Libatkan PH

Umum tahu bahawa keluarga BN-PN telah berpecah-belah, ingin saya ingatkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak perlu libatkan Pakatan Harapan (PH) dalam urusan keluarga BN-PN yang gagal dengan membuat fitnah bahawa PH hendak bekerjasama dengan PN.

Selepas Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin mengumumkan BN sebagai musuh utama, tiba-tiba Zahid menuduh PH nak bekerjasama dengan PN. Orang ramai yang ikut perkembangan politik semasa di tanah air tahu bahawa sebelum ini KEADILAN/PH telah menolak idea bekerjasama dengan PN yang sibuk mengejar kuasa sehingga mengkhianati mandat rakyat pada tahun 2018.

Sebenarnya UMNO, Bersatu dan PAS telahpun bersama-sama membentuk kerajaan sejak tahun 2020. Namun setiap kali apabila berlaku perbalahan dalaman, BN/PN akan kaitkan PH dalam isu dalaman mereka untuk mengalih perhatian dan menutup kesilapan mereka.

Sebelum ini Bersatu tiba-tiba "melamar" PH tetapi ditolak, PAS pula nak kafirkan PH, sekarang sampai UMNO yang membuat fitnah yang tidak berasas. Saya ingin menegaskan di sini bahawa tugas kerajaan adalah untuk menjaga kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Jangan sesekali jadikan PH sebagi "punching bag" kepada ketiga-tiga parti yang saling bercakaran ini.

Selama ini pendirian KEADILAN dan Pakatan Harapan adalah untuk terus fokus kepada isu-isu yang kait rapat dengan rakyat biasa dan menolak gabungan BN-PN yang sibuk mengejar kuasa dan tidak prihatin terhadap nasib rakyat. Tidak percaya? Merenung dan meneliti sikap dan pendekatan mereka:

1.Apabila Jawatankuasa Pasukan Jihad Tangani Inflasi gagal dalam tugasan mereka, Perdana Menteri Ismail Sabri dan Muhyiddin sibuk menuduh siapa lebih gagal.

2.Waktu nilai ringgit jatuh daripada RM3.90 pada tahun 2019 kepada RM4.50 sekarang dan barang import naik mendadak, Menteri Kewangan Tengku Zafrul “tumpang gembira” dengan penambahan hasil pengeksport besar.

3.Pilihanraya umum (PRU) sewaktu banjir akan menelan kos lebihan sebanyak RM100 juta. MetMalaysia memberi amaran bahawa banjir bakal melanda pada bulan November, tapi Zahid sibuk nak minta bubar parlimen untuk mengadakan PRU.

Atas perkembangan politik dan ketidakstabilan yang ditimbulkan oleh gabungan gagal BN-PN ini, Pakatan Harapan jelas adalah pilihan yang lebih boleh diterima oleh rakyat pada PRU15 nanti.

LEE CHEAN CHUNG
Pengarah Komunikasi KEADILAN
ADUN Semambu

Related Posts
crossmenuchevron-up