August 18, 2025

𝗨𝗻𝗶𝘁 𝗗𝟭𝟭: 𝗕𝗲𝗻𝘁𝗲𝗻𝗴 𝗣𝗲𝗿𝘁𝗮𝗵𝗮𝗻𝗮𝗻 𝗞𝗮𝗻𝗮𝗸-𝗞𝗮𝗻𝗮𝗸 𝗱𝗮𝗻 𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗣𝗲𝗿𝗹𝘂 𝗗𝗶𝗽𝗲𝗿𝗸𝘂𝗮𝘁𝗸𝗮𝗻

Baru-baru ini, PDRM Bukit Aman telah mengambil kes Allahyarhamah Zara untuk disiasat.

Dalam masa yang sama, mereka juga sedang mengendalikan kes serangan terhadap anakanda Saudara Rafizi.

Kedua-dua kes ini jelas membuktikan bahawa keselamatan anak-anak bukan lagi isu pinggiran, tetapi perkara mendesak yang mesti diberi perhatian serius.

Ramai yang mungkin belum sedar tentang kewujudan Unit D11 di bawah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM. Unit kecil ini memikul beban yang sangat berat - mereka ditugaskan menyiasat kes-kes jenayah s3ksu@l terhadap wanita dan kanak-kanak di seluruh Malaysia. Hampir semua pegawai PDRM dan staf sokongan yang berkhidmat dalam unit ini adalah wanita.

Namun, keadaan mereka serba kekurangan.

Ketika saya melawat unit mereka bulan lalu, mereka hanya bergantung kepada empat komputer lama. Dengan sumber dan anggota yang terhad, mereka tetap cekal menangani jumlah kes yang semakin meningkat.

Bayangkan tugasan mereka.

Mereka perlu meneliti bukti melibatkan bayi seawal enam bulan, termasuk rakaman jenayah kejam yang bukan sahaja meragut maruah, tetapi turut dijual di laman gelap untuk keuntungan.

Pegawai-pegawai D11 ini bukan manusia biasa. Mereka adalah ibu, malah ada yang sudah bergelar nenek. Namun demi mencari petunjuk untuk menangkap penjenayah, mereka sanggup menonton berulang kali setiap rakaman siasatan yang amat menyayat hati.

SAC Siti Kamsiah pernah berkata kepada saya -

“Kebanyakan pegawai di sini adalah seorang ibu. Demi melindungi anak-anak Malaysia, sebagaimana mereka melindungi anak kandung sendiri, mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk memastikan penjenayah dibawa ke muka pengadilan.”

Saya benar-benar terharu, dan merasa terpanggil untuk membantu setakat yang termampu.

Hasil sumbangan insan-insan budiman yang sehaluan dengan misi ini, sebanyak 10 komputer baharu telah diserahkan, dan sebuah bilik temubual khas untuk kanak-kanak mangsa telah diubah suai menjadi ruang yang lebih mesra serta selamat.

Namun, usaha ini masih jauh daripada mencukupi.

Saya menyeru agar Kerajaan menambah peruntukan khusus untuk Unit D11 dalam Belanjawan Oktober ini.

Unit ini perlu diperkasakan dengan kelengkapan, peralatan moden dan anggota tambahan. Jangan biarkan mereka berjuang bersendirian tanpa sokongan yang mencukupi.

Kes Allahyarhamah Zara dan serangan kejam terhadap anakanda Saudara Rafizi adalah isyarat jelas kepada kita semua. Jika kita gagal bertindak hari ini, lebih ramai anak-anak akan menjadi mangsa esok.

Anak-anak Malaysia berhak hidup dengan selamat, tanpa ketakutan. Mereka adalah aset masa depan negara, dan keselamatan mereka tidak boleh dikompromi.

Nurul Izzah Anwar

Timbalan Presiden KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up