November 14, 2025

AMK SABAH KECAM SEKERAS KERASNYA KENYATAAN HINA TERHADAP RAKYAT SABAH OLEH ADUN PERIKATAN NASIONAL (PN) DARI KEDAH

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah menzahirkan rasa marah, kesal dan kecewa yang amat mendalam terhadap kenyataan biadab dan tidak beradab yang didakwa dibuat oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) dari Kedah, yang menyebut bahawa “Orang Sabah kempen dia bagi roti Gardenia ja.”

Kenyataan dangkal dan menghina ini bukan sahaja menyinggung perasaan rakyat Sabah secara keseluruhannya, malah mencerminkan sikap angkuh, tidak berakhlak dan tiada rasa hormat terhadap rakyat di negeri ini. Ucapan seperti ini tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang wakil rakyat yang diamanahkan untuk menjaga keharmonian dan perpaduan nasional.

Rakyat Sabah adalah sebahagian daripada keluarga besar Malaysia yang bermaruah, berpendidikan dan menyumbang besar terhadap kemajuan negara. Kenyataan sebegini memperkukuh stereotaip negatif serta berpotensi menimbulkan rasa terhina, marah dan terpinggir dalam kalangan masyarakat Sabah yang telah lama menunjukkan kesetiaan dan komitmen terhadap pembangunan negara.

AMK Sabah mengingatkan setiap wakil rakyat bahawa tanggungjawab mereka bukan sekadar membangunkan ekonomi dan fizikal negeri, tetapi juga memupuk perpaduan, rasa hormat dan keharmonian antara wilayah serta kaum, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang berteraskan nilai kemanusiaan dan saling menghargai.

AMK Sabah tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana bentuk penghinaan atau perlecehan terhadap rakyat Sabah. Kami menyeru seluruh anak muda Sabah untuk terus bersuara, bangkit dan mempertahankan maruah negeri ini daripada dijadikan bahan sindiran politik murahan oleh mana-mana pihak.

Kami juga menyeru agar budaya politik matang dan beradab kembali menjadi asas dalam wacana nasional iaitu politik yang menyatukan, bukan menghina; politik yang membina, bukan memperlekeh.

Cukuplah penghinaan terhadap rakyat Sabah. Kami rakyat Sabah berdiri teguh, bermaruah dan tidak akan tunduk kepada politik sempit yang memperkecilkan negeri kami.

Harapan Urang Sabah

MOHD NUR HILMIE BIN MILUS

Ketua Penerangan AMK Sabah

EXCO AMK Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up