Carian
March 7, 2024

NIK NAZMI - ISU PENCEN : HADI KELIRUKAN RAKYAT

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ucapannya di Dewan Rakyat telah mengelirukan orang ramai mendakwa Kerajaan Persekutuan akan mengurangkan atau menghentikan pencen untuk penjawat awam. Hakikatnya, cadangan kerajaan adalah untuk menyemak semula saraan semua penjawat awam sedia ada dan mengkaji opsyen pengambilan penjawat awam baharu dengan faedah persaraan baharu

seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggantikan skim pencen sedia ada. Cadangan ini tidak menyentuh penjawat awam sedia ada. Malah ucapan Hadi telah cuba memberi gambaran bahawa caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah tidak Islamik. Adakah mantan Menteri Besar Terengganu dan mantan Duta Khas Timur Tengah ini tidak faham KWSP juga suatu perlindungan persaraan?

Kalau nak dikatakan KWSP tidak Islamik atau mengikut ajaran Rasulullah SAW, pada tahun 2022 Yayasan Islam Kelantan (YIK), agensi Kerajaan Negeri Kelantan, telah melihat skim baharu yang dinamakan Skim Jawatan Tetap Bercarum. Skim ini menggantikan skim pencen dengan caruman KWSP. Mengapa ketika YIK mengumumkan cadangan ini, tiada bantahan daripada PAS? Adakah Hadi tidak tahu KWSP memiliki pilihan Simpanan Syariah yang diuruskan dan dilaburkan mengikut prinsip syariah? Untuk memastikan prinsip-prinsip syariah dipatuhi, suatu rangka kerja tadbir urus syariah diwujudkan untuk mentadbir urus aspek pematuhan syariah bagi Simpanan Shariah para pencarum. 

Apabila bercakap soal keselamatan pekerja seperti sistem perlindungan sosial dan persaraan, saya percaya PAS memiliki banyak kerja yang perlu dilakukan. Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang telah ditubuhkan pada tahun 1989 hanya mencarum PERKESO pada tahun 2021, selepas lebih 30 tahun beroperasi. Sehingga hari ini, wujud dakwaan guru-guru di PASTI tidak dicarum KWSP, tidak memiliki apa-apa pelan persaraan, malah dibayar gaji bawah gaji minimum RM1,500. Setiap kali isu ini dibangkitkan, mereka akan mengatakan guru-guru PASTI bukan bekerja tetapi bersifat sukarelawan. Soalan saya, selepas 30 tahun beroperasi, bukankah PAS memiliki tanggungjawab moral untuk memastikan kebajikan guru-guru PASTI terjaga? Sebagai seorang yang mempunyai ilmu agama, Hadi tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan jahil sebegini yang tidak memberi gambaran sebenar cadangan Kerajaan Persekutuan, malah pada masa yang sama kenyataannya bertentangan dengan tindakan Kerajaan Kelantan dan institusi PAS sendiri.

Related Posts
crossmenuchevron-up