Carian
April 12, 2023

MB Kedah tidak wajar berbohong

1. Saya merasa terpanggil untuk menegur pimpinan utama negeri iaitu Menteri Besar Kedah Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar berhenti untuk melakukan pembohongan terkait Kerajaan Perpaduan termasuklah Perdana Menteri ke 10 iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

2. Menteri Besar adalah figura penting dalam sebuah negeri bukan sahaja mewakili rakyat negeri Kedah secara keseluruhannya bahkan merangkumi pelbagai lapisan masyarakat termasuk parti politik yang menyokong atau tidak menyokong kepadanya sekarang diwakili oleh beliau di peringkat Persekutuan. Justeru, sosok ini harus menenangkan semua pihak agar urusan kepentingan rakyat dapat dilaksanakan sejajar dengan slogannya Kedah negeri orang miskin boleh berteduh, tempat orang kaya menabur bakti. 

3. Pesanan dari titah baginda Tuanku Sultan Kedah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14 pada Mac yang lalu berbunyi “Elak berpolitik secara berlebihan dan sentiasa berusaha menjaga hubungan di antara satu sama lain khususnya antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan. Negara, negeri dan rakyat memerlukan kestabilan politik untuk memperoleh manfaat melalui pembangunan projek ekonomi dan program kesejahteraan rakyat yang dirancang”. Jelas menunjukkan harapan yang tinggi agar mengekalkan profesionalisme demi rakyat Kedah.

3. Namun, hujung Mac yang lalu ini telah viral isu beliau memuat naik tulisan di Facebook terkait keputusan terbaru Kabinet yg dipimpin DSAI melarang Menteri Besar Kedah di mana-mana majlis kerajaan persekutuan termasuk LIMA’23 di Langkawi. Namun melalui respon Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri menafikan  tiada arahan sebegitu bahkan beliau menyarankan agar MB Kedah menyebarkan bukti Pekeliling yang menyatakan seperti apa yang beliau dakwa. Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari turut menyatakan Menteri Besar Kedah turut dijemput ke Majlis Pelancaran LIMA’23 dan beliau hadir baru-baru ini di Kuala Lumpur.

4. Terkini, tular lagi isu Menteri Besar Kedah dalam ucapannya di satu majlis ada usaha terancang untuk menggantikan beliau dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dalam Majlis Kewangan Negara. Walhal di dalam Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Majlis Kewangan Negara perlu diketuai Perdana menteri atau mana-mana Menteri dilantik, manakala setiap negeri diwakili individu diperkenan Sultan atau Yang Di-Pertua Negeri.  Jelas menunjukkan tiada Kuasa Perdana Menteri untuk menamakan orang lain selain individu yang di perkenan Sultan jika mengambil konteks dalam negeri Kedah.

5. Saya yakin Yang Amat Berhomat Menteri Besar amat memahami bahawa Islam mengajar umatnya agar sentiasa berlaku jujur dalam apa jua perbuatan termasuklah pertuturan.  Memetik pandangan Imam Al-Nawawi Rahimahullah, dalam Syarah Sahih Muslim, Al Nawawi (1/69) bohong ini didefinisikan sebagai “Mengkhabarkan sesuatu berbeza dengan keadaan sebenarnya, samada dengan sengaja atau tidak dan sama ada perkhabaran itu akan perkara yang telah berlaku atau akan datang.” 

6. Dari pandangan di atas jelas menunjukkan bahawa pembohongan seperti itu tidak wajar dilakukan meskipun bertujuan berjenaka untuk menarik perhatian atau sokongan orang. Saya mengharapkan agar kepimpinan Menteri Besar Kedah mampu menterjemahkan kebenaran dalam ruang lingkup tindakan dan juga perkataan meskipun berdepan dengan sesuatu yang dianggap permusuhan.

7. Saya memilih untuk menyatakan kebenaran meskipun adakalanya kebenaran ini adalah suatu yang paling kejam dalam hidup. Kebohongan tidak wajar dijadikan kebiasaan kerana akhirnya ia akan membina ketamadunan yang tempang kepada rakyat kebanyakan.

Nor Azrina Surip @ Nurin Aina

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (KEADILAN) 

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Kedah

Related Posts
crossmenuchevron-up