April 26, 2026

Kenyataan Media

26 April 2026 | Petaling Jaya

Pelantikan Dato’ Sri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bukan sekadar tajuk berita. Pelantikan ini satu ujian dan pada masa yang sama satu peluang, bagi institusi kita, bagi kepimpinan kita, dan bagi tekad kolektif kita sebagai sebuah negara. Kerana hakikat yang tidak boleh disangkal: integriti bukanlah suatu gelaran. Ia melangkaui istiadat dan kenyataan media. Integriti terpancar dalam keputusan yang dibuat secara rahsia, dalam siasatan yang diteruskan tanpa gentar, dalam panggilan yang tidak dijawab kerana keadilan tidak boleh dirunding atau diperdagangkan.

Pelantikan ini, yang dilaksanakan melalui peruntukan perlembagaan dengan peranan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, membawa ruang yang jelas untuk perubahan. Namun, beban tanggungjawab semata-mata tidak akan menggerakkan perubahan. Yang menggerakkannya adalah keberanian. Yang menggerakkannya adalah iltizam. Yang menggerakkannya adalah rakyat.

Bertahun-tahun lamanya, ramai yang telah menzahirkan desakan demi desakan. Kita mendesak tatkala ia tidak selesa. Kita mendesak ketika disaran menunggu, disaran bersabar, disaran mempercayai proses. Kita tetap terus mendesak kerana rakyat Malaysia berhak kepada sebuah badan pencegah rasuah yang tunduk kepada undang-undang, bukan kepada yang berkuasa, bukan kepada jaringan kepentingan, dan bukan kepada sesiapa yang namanya disiasat.

Meskipun usaha ini tidak pernah mudah, tidak pernah singkat, tetapi percayalah, ia tidak pernah sia-sia. Pelantikan seorang Ketua Pesuruhjaya baharu tidak dengan sendirinya melahirkan sebuah SPRM yang baharu. Kita telah menyaksikan hal ini sebelum ini. Kita melihat pelantikan yang diraikan dengan penuh gemilang, namun kemudiannya disusuli dengan keraguan, dengan kompromi yang senyap, dengan keadilan yang ditangguhkan sehingga akhirnya dinafikan.Kita tidak boleh dan tidak mampu mengulangi kegagalan itu.

Reformasi sebenar kadangkala tidak lantang. Ia tidak semestinya menarik perhatian. Ia berlaku melalui semakan terhadap Akta SPRM. Ia berlaku melalui pengukuhan perlindungan institusi. Ia berlaku melalui kebertanggungjawaban yang sebenar kepada Parlimen, bukan sekadar formaliti, tetapi sebagai asas yang kukuh.

Tanpa perubahan struktur ini, segala kemajuan yang diraikan hari ini berisiko runtuh pada hari esok. Justeru, seruan saya kepada setiap rakyat Malaysia yang pernah melahirkan kemarahan terhadap rasuah, yang pernah merasai ketidakadilan dalam sebuah sistem yang melindungi segelintir dan menzalimi yang lain. Jangan berpaling. Jangan biarkan detik ini berlalu begitu sahaja. Teruslah melibatkan diri. Kerana perubahan tidak berlaku ke atas kita, ia berlaku kerana kita, insya-Allah.

Semoga Malaysia terus teguh mendepani cabaran zaman.

NURUL IZZAH ANWAR

Timbalan Presiden

Parti Keadilan Rakyat

Related Posts
crossmenuchevron-up