Carian
April 14, 2023

PERUNDANGAN LARANGAN BERTUKAR PARTI HARUS MENJADI DUKUNGAN BERSAMA NEGERI-NEGERI

1. Pelucutan keahlian Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bagi 4 orang ADUN, termasuk ADUN Seberang Jaya, merupakan sejarah yang harus dijadikan pedoman oleh ahli- ahli politik yang dipilih dalam mana-mana pilihan raya untuk tidak mengkhianati amanah serta kepercayaan rakyat dengan sesuka hati bertukar parti demi nafsu politik. 

2. Oleh yang demikian, pindaan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan pematuhan-pematuhan terhadap larangan bertukar parti oleh seseorang ahli Dewan Rakyat harus dijadikan sebagai garis panduan perundangan oleh negeri-negeri yang masih belum memuktamadkan rang undang-undang enakmen sekatan bertukar parti, terutamanya negeri-negeri yang ditadbir oleh PAS iaitu Terengganu, Perlis dan Kedah. 

3. Selain dua negeri tersebut, negeri-negeri lain seperti Johor, Perak dan Melaka juga harus mengikuti langkah negeri-negeri pimpinan Pakatan Harapan seperti Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang telah mempamerkan tekad politik yang jitu untuk memastikan enakmen larangan bertukar parti dijadikan sebagai lunas perundangan negeri sejajar dengan aspirasi yang dipahatkan oleh Kerajaan Malaysia MADANI yang mendukung sepenuhnya agenda pembanterasan lompat parti yang merupakan ‘political crime’ yang jelik dan dibenci oleh rakyat sebagai pengundi. 

4. Sebagai Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan, saya mempunyai wawasan untuk melihat ketamadunan MADANI yang sedang direncanakan di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dibangunkan secara lestari dengan semangat demokrasi yang tinggi. Malaysia MADANI yang kita bangunkan bersama ini tidak boleh dibiarkan daripada terus dicerobohi oleh tengan-tangan ghaib yang sentiasa mahu merosakkan pelan REFORMASI negara. 

5. Menerusi dukungan YAB Perdana Menteri terhadap kelangsungan pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah yang kini dipimpin oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerusi penyatuan politik bersama parti-parti komponen Pakatan Harapan, saya percaya bahawa kerajaan negeri tidak akan melengahkan lagi untuk melaksanakan undang-undang khusus berkaitan larangan bertukar parti yang selama ini dituntut oleh rakyat negeri Sabah yang semakin hari semakin bimbang dengan resam politik negeri tersebut yang tidak henti-henti menyambut ‘katak-katak politik’ yang melompat sewenang-wenangnya dari satu parti ke parti yang lain tanpa rasa berdosa. 

6. Saya juga meletakkan harapan agar YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang- Undang dan Reformasi Institusi) dapat mewujudkan satu mekanisme yang praktikal dan realistik bagi mendorong negeri-negeri yang masih belum memuktamadkan enakmen perundangan mengenai pematuhan terhadap larangan bertukar parti, termasuklah negeri jelapang padi yang dipimpin oleh Muhammad Sanusi Md Nor. 

7. Pembentukan mekanisme yang efektif amat penting bagi memastikan segala intipati serta klausa perundangan larangan bertukar parti yang akan menjadi enakmen undang- undang bertulis bagi setiap negeri bertepatan dengan pematuhan-pematuhan yang tertulis secara zahirnya di dalam Seksyen 7A Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan. 

R. YUNESWARAN 

Ahli Parlimen Segamat

Related Posts
crossmenuchevron-up