Carian
May 5, 2023

30 PERATUS KUOTA PIMPINAN WANITA HARUS DIPERTAHANKAN

Parti-parti politik harus mempertahankan 30% kuota pimpinan wanita dalam Pilihan Raya Negeri untuk enam negeri yang akan diadakan dalam masa kurang dari 3 bulan. 

Wanita membentuk separuh daripada populasi Malaysia dan berhak mendapat perwakilan yang saksama. Namun, menurut laporan Indeks Jurang Gender Malaysia 2018-2022, Malaysia menduduki tempat ke-104 daripada 156 negara dalam skor GGI keseluruhan bagi tahun 2022 dan Malaysia adalah antara negara yang mempunyai kadar penyertaan wanita paling rendah di ASEAN selain Brunei dan Myanmar. 

Di Malaysia, semua parti politik bergantung kepada jentera wanita dan aktivis wanita untuk membuat gerak kerja kempen dan aktiviti lapangan di peringkat komuniti tempatan. Maka, penglibatan wanita dalam politik peringkat akar umbi adalah sangat aktif, substantif dan berpengaruh. 

Wanita juga merupakan tonggak aktiviti meraih undi, kerana pendekatan wanita adalah lebih mesra, lebih intuitif dan kebolehupayaan mereka membina rangkaian (“network”) di peringkat komuniti.  Gerak kerja parti politik tidak akan mungkin berjaya tanpa penglibatan wanita. Walaupun begitu, penglibatan politik pada peringkat akar umbi ini tidak diterjemahkan diperingkat kepimpinan parti politik. 

Menurut kajian “Women’s political leadership in the ASEAN region” oleh University of Sydney and Universitas Gadjah Mada pada November 2022, “Wanita dalam kepimpinan akar umbi menghadapi lebih banyak halangan dalam mengakses kuasa dan kepimpinan jawatan berbanding wanita yang mengejar kepimpinan dalam arena politik formal. Setelah berkuasa, pemimpin politik akar umbi juga menghadapi lebih banyak halangan untuk menekankan pengaruh dan mempengaruhi perubahan.

Ketaksamaan gender boleh dilihat melalui jumlah peluang pencalonan wanita dalam pilihanraya. Pada PRU Ke-15, hanya 127 calon wanita (13.4%) daripada keseluruhan 945 calon yang bertanding merebut kerusi Dewan Rakyat. Mengikut gabungan politik, Pakatan Harapan mencalonkan 40 orang wanita atau 18 peratus, diikuti Barisan Nasional (BN) 22 orang atau 11 peratus dan Perikatan Nasional dengan 16 wanita atau 9.3 peratus.  (sumber Berita Harian 11.11.22)

Daripada kajian yang sama juga didapati “Institusi yang menjadi penghalang terbesar kepada kepimpinan politik wanita adalah parti politik dan agensi keselamatan. Parti politik adalah penjaga pintu (‘gatekeeper’) akses kepada kepimpinan politik jawatan dalam politik formal: boleh bertindak sebagai penghalang atau sebagai pengupaya wanita mendapat kedudukan yang berkuasa.

Pilihan Raya Negeri yang bakal diadakan adalah peluang untuk parti-parti politik memperbaiki kedudukan wanita dalam lanskap politik dan memastikan wanita tidak lagi menjadi golongan ‘underrepresented”. Pimpinan parti politik mesti memastikan lebih ramai pimpinan wanita dicalonkan demi pemerkasaan politik wanita negara dan tahap pencalonan 30% adalah tahap terbaik sebagai permulaan.

SANGETHA JAYAKUMAR

Naib Ketua Wanita KEADILAN Malaysia 

Related Posts
crossmenuchevron-up