
Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Pemilihan KEADILAN 2025 telah mencatat penyertaan yang luar biasa dengan lebih 17,500 pencalonan diterima daripada 222 Cabang di seluruh negara. Kejayaan ini mencerminkan komitmen tinggi anggota parti dalam mengukuhkan proses demokrasi dalaman yang matang dan inklusif.
Penutupan proses penamaan calon pada 16 Mac 2025 menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan pemilihan parti. Kini, pemilihan akan memasuki fasa seterusnya, iaitu proses bantahan terhadap calon-calon, yang akan berlangsung mulai 18 Mac 2025 (12.00 tengah hari) hingga 20 Mac 2025 (11.59 malam). Selepas itu, proses rayuan terhadap bantahan akan dibuka dari 24 hingga 25 Mac 2025 untuk memastikan ketelusan dan keadilan kepada semua calon yang bertanding.
Bagi calon yang memilih untuk menarik diri atau membatalkan pencalonan, mereka diberi ruang untuk berbuat demikian sebelum 20 Mac 2025. Selepas melalui semua proses ini, senarai muktamad pencalonan bagi Cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang dan Wanita Cabang akan diumumkan pada 28 Mac 2025.
JPP ingin menzahirkan penghargaan kepada semua anggota parti yang telah menyertai proses ini dengan penuh semangat dan dedikasi. Penyertaan besar ini membuktikan bahawa KEADILAN terus menjadi wadah perjuangan yang demokratik, inklusif dan terbuka kepada penyertaan akar umbi.
Sehubungan itu, JPP mengingatkan semua calon dan penyokong agar terus mematuhi tatacara pemilihan bagi memastikan proses ini berjalan dengan lancar, telus dan harmoni.
Untuk maklumat rasmi berkaitan Pemilihan KEADILAN 2025, sila layari pemilihan.keadilanrakyat.org serta ikuti media sosial rasmi Facebook dan TikTok Pemilihan KEADILAN 2025.
๐๐ฎ๐๐๐ธ ๐ฆ๐ฒ๐ฟ๐ถ ๐๐ฟ. ๐ญ๐ฎ๐น๐ถ๐ต๐ฎ ๐ ๐๐๐๐ฎ๐ณ๐ฎ
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti