KONGRES KEADILAN PLATFORM MENGGILAP IDEALISME

KONGRES KEADILAN PLATFORM MENGGILAP IDEALISME

logo 20th

 

KENYATAAN MEDIA
4 Disember 2019

Kongres Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) kali ini adalah kongres yang pertama yang akan dihadiri dan dirasmikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden KEADILAN. Justeru, saya menyeru semua anggota KEADILAN untuk bersama-sama menjadikan kongres kali ini sebagai platform terpenting menggilap idealisme, memperkukuh organisasi dan membentuk halatuju yang lebih jitu.

Kemenangan parti dalam PRU ke 14 yang lalu adalah salah satu dari detik-detik kejayaan bagi satu perjuangan yang panjang. Bagi para pelopor dan pejuang parti dari bawah hingga ke peringkat kepimpinan, semua kita boleh menyatakan dengan penuh keyakinan bahawa perjuangan yang bermula dua dasawarsa yang lalu bukanlah perjuangan yang mudah. Kita telah melalui sebuah perjalanan yang getir dan penuh dengan ujian. Tidak perlu saya sebut satu persatu pengorbanan yang terpaksa dilalui sebahagian daripada kita. Namun wajar untuk kita paling tidak, mengingati dan menghargai ujian terbesar yang dihadapi oleh Presiden. Apapun kepayahan yang kita lalui, tidak ada pengorbanan yang lebih besar daripada itu.

Jadi janganlah dengan sedikit kemenangan yang kita kecapi, kita melupai jasa insan yang telah mengorbankan kebebasan dirinya sendiri dan keluarganya demi memastikan masa depan yang lebih adil untuk semua. Tidak usahlah kita memperbesar-besarkan pengorbanan sebahagian dari kita tetapi menafikan kepayahan dan ujian yang lebih besar yang terpaksa dilalui Presiden kita. Pertelingkahan politik dan peribadi antara kita jangan sampai menghilangkan rasa hormat dan penghargaan kita kepada sosok yang telah membolehkan kita menikmati sedikit kejayaan ini.

Kemenangan di PRU bukanlah kemenangan hakiki bagi perjuangan KEADILAN. Agenda kita adalah agenda yang lebih besar dan berterusan bagi memastikan negara yang lebih adil, masyarakat yang lebih terbela dan kedudukan insan yang lebih mulia. Perjuangan kita memerlukan pemimpin dan anggota yang berjiwa besar, yang mampu memahami kerangka dan gagasan besar perjuangan yang kita cintai ini dan tidak terpedaya dengan sengketa di tepian yang akan menjauhkan kita dari prinsip asal perjuangan. Perjuangan ini tidak terhenti di titik kemenangan pilihanraya. Mengisi kemenangan berkenaan adalah lebih penting dalam perjuangan KEADILAN.

Atas dasar ini, saya mengajak rakan-rakan dari semua peringkat untuk merapatkan saf dan bersama-sama hadir menjayakan Kongres KEADILAN pada 7 dan 8 Disember ini di Melaka Bandaraya Bersejarah.

Datuk Seri Shamsul Iskandar Bin Mohd Akin
Ketua Penerangan
Parti Keadilan Rakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *