
19 Oktober 2025 | Petaling Jaya
Biro Hal Ehwal Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyokong penuh intervensi diplomatik Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung ketegangan antara Pakistan dan Afghanistan.
Kami mengalu-alukan penglibatan langsung YAB Perdana Menteri dengan kepimpinan kedua- dua negara, yang menekankan komitmen Malaysia terhadap keamanan sejagat dan perpaduan Islam. Seruan gencatan senjata serta dialog segera merupakan satu-satunya jalan rasional ke hadapan.
Kepada Kerajaan Pakistan dan Afghanistan: Kami menyeru agar kedua dua negara mengelakkan konflik ketenteraan dan memilih keamanan yang berkekalan. Peperangan hanya membawa penderitaan yang tidak terhingga kepada kedua-dua negara dan mengkhianati tanggungjawab bersama yang dipikul oleh kedua-dua negara sebagai umat Islam. Gencatan senjata baru-baru ini, yang difasilitasi oleh Qatar dan Turkiye, merupakan langkah penting yang mesti diteruskan melalui rundingan diplomatik yang berterusan.
Rakyat kedua-dua negara berhak menikmati keselamatan dan kemakmuran, bukannya keganasan dan ketidakstabilan. Konflik antara dua negara Islam yang bersaudara adalah satu tragedi yang terasa pedih oleh seluruh Umat Islam.
Kami menyeru Pakistan dan Afghanistan agar menyambung semula perbincangan peringkat tinggi, menangani rasa tidak puas hati melalui dialog, dan menjamin masa depan yang aman untuk rakyat mereka. Komuniti global mesti terus menyokong proses penting ini.
DR. MASZLEE MALIK
Biro Hal Ehwal Antarabangsa
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
TAMAT