August 5, 2026

KENYATAAN MEDIA | 05 OGOS 2026 KONGRES NASIONAL KEADILAN 2026: MEMUGAR REFORMASI MEMBINA MADANI 15-16 OGOS 2026 DI MELAKA, BANDARAYA BERSEJARAH

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan menganjurkan Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Centre, Ayer Keroh, Melaka pada 15-16 Ogos 2026, manakala persidangan Angkatan Muda Keadilan dan Wanita Keadilan akan berlangsung sehari lebih awal. Ucapan dasar dan perasmian akan disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Presiden KEADILAN.
Sekretariat Kongres Nasional Keadilan 2026 mengalu-alukan kehadiran para pimpinan pusat dan negeri yang turut merangkumi 2500 orang perwakilan serta sekurang-kurangnya 3000 orang pemerhati anggota Keadilan.
Selain itu, Kongres turut menjangkakan kehadiran duta-duta negara asing seperti Amerika Syarikat, China, Jepun dan Australia yang telah mengesahkan kehadiran bersama kedutaan negara-negara yang lain. Pimpinan parti-parti politik juga turut dijemput hadir untuk menjadi saksi kepada keutuhan simbol perpaduan dan kecemerlangan Malaysia Madani.
Tema “Memugar Reformasi, Membina MADANI” adalah tema yang dipilih pada tahun ini membawa makna yang besar dan mendalam. Ia menuntut kita bukan sahaja mengimbau kembali roh perjuangan reformasi yang menjadi asas penubuhan parti, tetapi juga memperkukuh dan memperbaharuinya agar terus relevan dalam mendepani cabaran semasa.
Perbahasan akan bertumpu kepada isu-isu rakyat seperti ekonomi, pendidikan dan politik dengan enam belas orang pembahas akan membahaskan ucapan dasar YAB Presiden KEADILAN, dengan masing-masing mewakili sayap parti serta negeri-negeri akan mengambil bahagian.
Kongres ini akan menjadi medan untuk meneruskan semangat dan keazaman anggota KEADILAN untuk teguh menjadi benteng perjuangan Reformasi serta mempertahankan integriti, menegak keadilan sosial, menyantuni golongan yang tidak berupaya dan yang lemah, dan juga memperkukuh perpaduan serta semangat kebersamaan antara kaum di negara ini.
Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, Kongres kali ini juga akan menyampaikan Anugerah Bill Kayong kepada lima buah keluarga yang mana ahli keluarga mereka diiktiraf kerana memberi khidmat jasa bakti bersama parti sehingga hembusan nafas yang terakhir.
Kongres Nasional Keadilan 2026 turut melaksanakan kerjasama strategik dengan beberapa kementerian dan agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) selain Karnival Rahmah Mega anjuran KPDNKK Negeri Melaka khusus bagi menyediakan perkhidmatan terus kepada perwakilan, pemerhati dan terbuka untuk semua rakyat Negeri Melaka.
Justeru menjadi harapan kami agar Kongres Nasional Keadilan 2026 akan berhasil mencipta momentum kesepaduan di kalangan pimpinan dan anggota parti, mencari titik persamaan dan meneruskan ikhtiar membina Malaysia yang lebih bermaruah, lebih makmur dan lebih adil untuk semua.
‘Memugar Reformasi, Membina Madani’
‘Membujur Lalu Melintang Patah’
SAIFUDDIN BIN SHAFI MUHAMMAD
Pengarah Kongres Nasional KEADILAN 2026
Related Posts
crossmenuchevron-up