July 21, 2026

​ MANIFESTO KEKAL HARAPAN NEGERI SEMBILAN RANCANG SEPADU EKONOMI MELALUI PUSAT KORIDOR PEMBANGUNAN HARAPAN MALAYSIA

Pakatan Harapan (HARAPAN) Negeri Sembilan telah membentangkan manifesto Kekal Harapan  Negeri Sembilan semalam dengan membawa idea besar iaitu meletakkan Negeri Sembilan sebagai ‘Central Corridor' atau Pusat Koridor Pembangunan Harapan Malaysia.

Secara ideal, konsep itu akan membina kefahaman bahawa Negeri Sembilan bukan lagi sekadar negeri yang berada di antara Kuala Lumpur dan Melaka, tetapi sebuah pusat pertumbuhan baharu yang menghubungkan teknologi, logistik, industri dan modal insan.

Perancangan itu turut disokong projek yang berimpak tinggi seperti Malaysia Vision Valley 2.0, NS Semiconductor Valley dan Nilai Advanced Photonic AI Manufacturing City.

Inilah mesej yang cuba dibina dengan cukup jelas oleh YAB Datuk Seri Utama Haji Aminuddin Harun iaitu Negeri Sembilan mahu mencipta lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi supaya anak muda tidak lagi perlu berhijrah ke negeri lain. 

Banyak lagi yang boleh dilihat dalam manifesto Kekal Harapan Negeri Sembilan dengan memuat turun Kod QR yang turut memuatkan rekod kejayaan pentadbiran Pakatan Harapan sejak 2018. 

Bilik Gerakan Utama HARAPAN masih menerima laporan perbuatan khianat yang berlaku pada bahan-bahan kempen dan berharap pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat melakukan pemantauan lebih kerap. Aduan yang diterima daripada jentera di Labu, Sungai Lui dan Palong ini akan dilaporkan kepada pihak berkuasa dan HARAPAN menyeru semua penyokong agar mengelakkan diri daripada terlibat dalam sebarang provokasi.

HARAPAN turut menzahirkan rasa prihatin dan simpati terhadap insiden melibatkan keselamatan jalanraya yang telah meragut nyawa seorang petugas jentera pilihanraya dan berharap orang awam yang mempunyai maklumat tentang kejadian agar menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

Biarpun mangsa tersebut bukan daripada jentera HARAPAN kami tetap ingin mengingatkan para petugas untuk sentiasa mengambil langkah keselamatan tambahan bagi menghindari dari sebarang kecelakaan ketika menjalankan tugas. Selamat berkempen untuk semua.

Sekian.

YB DATUK DR FUZIAH SALLEH

YBHG MUHAMMAD FAIZ FADZIL

Pengarah Bilik Gerakan Utama HARAPAN

Related Posts
crossmenuchevron-up