Susulan rombakan menyeluruh struktur jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Perlis bulan lalu dan amanah yang diberikan kepada saya sebagai Ketua AMK Perlis yang baharu oleh Ketua AMK Malaysia, YB Akmal Nasir, sukacita saya ingin mengumumkan pembentukan jawankuasa baharu bagi Majlis Pimpinan AMK (MPAMK) Negeri Perlis.
Pembentukan MPAMK Perlis dibuat setelah proses perbincangan secara ‘syura’ dibuat yang mana melibatkan anggota-anggota berdaftar di peringkat akar umbi yang meliputi ketiga-tiga Cabang AMK yang ada di negeri ini iaitu AMK Cabang Padang Besar, AMK Cabang Kangar dan AMK Cabang Arau.
Oleh yang demikian, berdasarkan peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat dan Peraturan Tetap AMK 2014, maka saya dengan ini mengumumkan senarai jawatankuasa Majlis Pimpinan AMK Negeri Perlis baharu, berkuatkuasa mulai hari ini, Khamis, 22 Julai 2021.
Alhamdulillah, barisan kepimpinan MPAMK Perlis ini dibentuk dengan merangkumi kepelbagaian daripada kalangan anak muda dari seluruh pelusuk negeri Perlis dalam lingkungan usia mereka sekitar 18-35 tahun dengan purata umur 27.4 tahun.
Mereka ini terdiri daripada pelbagai latar belakang, kaum dan agama serta kelayakan professional. Ada di antaranya adalah merupakan peguam bertauliah, ahli physio, ahli perniagaan, mahasiswa universiti termasuklah pekerja dari sektor swasta, serta turut melibatkan penyertaan kalangan aktivis kemasyarakatan.
Memandangkan AMK merupakan satu sayap penting dalam memperkasakan Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat Negeri Perlis, justeru itu, MPAMK Negeri Perlis yang dibentuk ini akan memfokuskan kepada tiga paksi utama, iaitu kepedulian terhadap Rakyat terutamanya dalam aspek kebajikan dan pembangunan ekonomi anak muda serta pembangunan pendidikan dalam usaha bersepadu demi melahirkan insan yang berakhlak mulia dan penuh dengan integriti, yang mana ianya akan menjadi agenda penting yang akan diperjuangkan oleh AMK di negeri ini dalam merealisasi iltizam kami untuk membantu Rakyat di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, demi memastikan imej KEADILAN senantiasa positif di mata Rakyat Perlis khas dan Malaysia amnya, di samping membantu Parti ke arah persiapan yang lebih rapi bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 kelak.
Tahniah diucapkan kepada semua anggota yang telah terpilih untuk berganding bahu bersama kita berjuang dalam kepimpinan MPAMK Negeri Perlis. Sekalung penghargaan dan terima kasih tak terhingga turut dirakamkan kepada seluruh kepimpinan MPAMK Negeri Perlis yang lalu di atas komitmen dan semangat juang teman-teman dalam usaha demi memperkasakan Parti tercinta di negeri bertuah ini. REFORMASI!
AMAR ABD JALIL
Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri Perlis