Carian
June 5, 2021

Ucapan Dasar Ketua Wanita Pusat Kongres Wanita Nasional 2020

Ucapan Dasar Ketua Wanita Pusat
Kongres Wanita Nasional 2020
4hb June 2021

BERASPIRASI UNTUK MENJADI INSPIRASI
(ASPIRE TO INSPIRE)
Bismillahirrahmanirrahim.
Para Perwakilan, Para-Para Pemerhati, Para Jemputan yang di raikan serta semua para penonton yang mengikuti melalui FB Live sekalian.

Assalamualaikum wbt dan Salam Perjuangan
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
1. PEMBUKA BICARA
1.1 Atas nama Majlis pimpinan Wanita Pusat, kami merakamkan penghargaan hangat dan rasa terharu yang tidak terhingga atas kehadiran para undangan dan perwakilan ke Kongres Wanita Nasional Tahun 2020 pada hari ini 4hb Jun 2021, semuanya di atas talian secara maya dengan perwakilan, pemerhati dan para undangan berada dalam petak-petak di Galeri aplikasi Zoom. Selamat Datang saya ucapkan. Kongres kita pada hari ini merupakan penterjemahan kepada norma baharu, termasuk julung-julung kalinya kita mengendalikan Kongres secara maya dan 100% atas talian seperti sekarang. Buat parti KEADILAN, Wanita mendahului mempelopori norma baharu Kongres atas talian ini, diikuti dengan Angkatan Muda KEADILAN pada esok hari, dan kemuncaknya ialah Kongres Nasional pada 6hb Jun nanti.
Please allow me to extend our heartiest welcome to our distinguished guests who have been very gracious in making time to be with us today in this very important and auspicious event. It is truly an honour for us to be graced by your presence.
Ahlan Wa Sahlan wa marhaban bikum
Para hadirin yang dirahmati,
1.2 Sesungguhnya tahun ini dan tahun lepas menyaksikan kesengsaraan serta kemelaratan dunia akibat pandemik, parti kita pula terpalit dengan episod pengkhianatan dan kini kita diuji dengan suatu isu besar melibatkan krisis kepimpinan negara, kelembapan ekonomi, kesenjangan sosial, layanan tidak adil, wujud dua darjat di antara pemerintah dan rakyat, kemiskinan yang melarat serta pembedilan terhadap umat manusia nun jauh di bumi Palestin. Sesungguhnya, negara kita malah satu dunia benar-benar diuji dengan sebesar-besar ujian.

Para hadirin yang dikasihi,
1.3 Kongres pada hari ini adalah merupakan mekanisme terbaik untuk kita melakukan usaha muhasabah dan penilaian kendiri, melihat kembali perjalanan parti yang kita sayang serta hala tujunya khusus buat pergerakan wanita. Kita menempuh arus centang-perenang yang memerlukan kita cerdas menanggapi keadaan dengan segera di samping mengukuhkan saff kepimpinan serta memperteguh rukun persahabatan dalam wadah perjuangan ini.

1.4 Apapun Wanita KEADILAN telah membuktikan, seperti mana yang dinyatakan oleh yang amat kita kasihi Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Kak Wan) awal tadi bahawa kita mampu melakukan ‘reset’ (memadamkan dan membersihkan yang lama dan menyusun semula dengan fikrah
dan kefahaman baru, erti sebuah perjuangan) kemudian bangkit pula dengan suatu azam yang lebih utuh selepas dikhianati dek langkah Sheraton.

1.5 Kini kebangkitan Wanita KEADILAN telah kita saksikan di seluruh negara termasuk di pedalaman Sabah dan Sarawak, malah kita turut menyaksikan wanita muda, anak-anak dan adik-adik kita dari kalangan Srikandi KEADILAN telah turut serta dalam arus perdana perjuangan parti. Ini bermaksud kita telah bangkit semula dan berjaya ‘reset’ sehingga kepada menyediakan barisan pelapis. Mereka ini nanti lah yang akan diacu dan di tunjuk ajar, dilatih, dibimbing serta di mentor sebagai pewaris untuk meneruskan perjuangan ini kelak. Selama sepuluh bulan sejak saya mengambil alih tampuk kepimpinan kita sudah menyaksikan wanita bangkit semula pasca pengkhianatan di seluruh negara, dari Perlis hingga ke Sabah, dari cabang di kota seperti Ampang sehingga cabang di desa seperti Jerlun pun kita sudah membuktikan bahawa kita mampu bangkit, kita mampu reset dan arah serta hala tuju kita pada hari ini lebih jelas dan lebih utuh berbanding sebelum pengkhianatan. Maka, juga pada hari ini kita boleh katakan “good riddance” atau boleh pergilah kepada yang telah khianat.

Pinggan tak retak
Nasi tak dingin
Kamu tak hendak
Kami pun tak hingin
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
2.TEMA KONGRES WANITA 2020
WANITA: BERASPIRASI UNTUK MENJADI INSPIRASI

Para Perwakilan dan Para Pemerhati yang di Rahmati,
2.1 Kongres wanita kali ini membawa tema yang cukup feminin namun mencerminkan harapan yang besar serta tinggi menggunung. Perkataan aspirasi membawa makna pemilikan kepada cita-cita yang tinggi. Manakala inspirasi pula menyentuh sebahagian daripada keinginan untuk mencapai cita-cita yang tinggi tadi untuk berbuat, melakukan perubahan-perubahan, penambahbaikan secara menyeluruh dan sebaik mungkin, selanjutnya mampu menjadi inspirasi kepada yang lain di sekeliling kita ke arah Islah atau reformasi yang sering kita kumandangkan.

2.2 “Aspire to inspire” atau Beraspirasi Untuk Menjadi Inspirasi ini juga membawa kita kepada agenda yang jauh lebih besar dan unggul. Saya mengharapkan Wanita KEADILAN yang di hadapan saya pada hari ini merupakan wanita yang sentiasa melihat ke hadapan. Wanita yang berazam dan beriltizam untuk memperbaiki diri, mencabar diri untuk menjadi yang lebih baik. Mempercayai bahawa tiada yang mustahil, yakin akan kebolehan kendiri dan mengenali potensi diri, serta mampu pula merealisasikan potensi tersebut.

2.3 Hasrat saya, semoga Wanita KEADILAN merupakan satu kelompok wanita yang tidak mudah mengaku kalah, berjiwa kental dan berhati waja. Kisah pengkhianatan tidak akan bisa merencat kita. berkeyakinan penuh dengan apa yang kita bakal capai dan bangkit untuk mencapai cita-cita.

2.4 Saya sentiasa mahu melihat Wanita KEADILAN mampu menjadi inspirasi kepada mereka yang lain. Itulah antara ciri pemimpin! Seorang pemimpin merupakan mereka yang bukan sahaja dikelilingi pengikut bahkan beliau juga adalah seseorang yang boleh serta mampu melahirkan pemimpin yang lain.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
3.KESAN PANDEMIK COVID-19: IMPAK KEATAS TARAF HIDUP DAN SOSIO EKONOMI RAKYAT
Saudari Perwakilan, dan Pemerhati yang dikasihi,
3.1 Di saat saya menulis ucapan dasar ini, data bertarikh 31hb Mei 2021, menunjukkan seramai 82,341 kanak-kanak di Malaysia telah disahkan positif jangkitan Covid-19. Manakala Lebih setengah juta dari rakyat Malaysia telah dijangkiti dan didapati positif Covid-19 (572,357 jumlah kes)
Kementerian Kesihatan memberi pecahan bahawa 19,851 kes melibatkan kanak-kanak dibawah umur empat tahun; 8.237 kes di kalangan kanak-kanak lima hingga enam tahun; 26,851 kes melibatkan kanak-kanak berumur tujuh hingga dua belas tahun; seterusnya 27.402 kes bagi kanak-kanak 13-17 tahun. Kesemuanya kanak-kanak tersebut merupakan pesakit Covid-19 kategori 1,2 dan 3.

3.2 BERNAMA juga melaporkan berdasarkan data dan tren terkini bahawa risiko pesakit Covid-19 berakhir dengan kematian ialah 0.45% ataupun 45 pesakit daripada setiap 10,000 kes positif.
Laporan juga menunjukkan tren atau arah aliran jangkitan positif Covid-19 di Malaysia melebihi purata yang dilaporkan WHO.
Manakala jumlah kes kematian pada 2hb Jun 2021 mencatatkan 2993 kes kesemuanya, namun apa yang lebih mengerikan ialah kajian WHO yang dilaporkan oleh salah seorang Ahli Majlis Sains WHO Prof Dr Adeeba Kamarulzaman yang mengunjurkan berdasarkan trajektori masa kini bahawa jumlah kematian pesakit Covid-19 di Malaysia boleh mencapai angka 26,000 dalam tempoh masa 3 bulan dari sekarang.

3.3 Empat hari yang lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata bahawa para-para doktor kini terpaksa mengutamakan pesakit Covid-19 yang berpotensi tinggi sembuh bagi menggunakan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) berbanding pesakit yang berpotensi rendah(Berita Harian 30 May 2021) Bayangkanlah sekiranya pesakit yang berpotensi rendah sembuh tersebut merupakan ibu kita yang sudah berumur dan sedia mengalami pelbagai penyakit seperti diabetes, darah tinggi, asthma dan sebagainya. Mampukah kita menerima hakikat di beritahu bahawa beliau tidak terpilih untuk menggunakan fasiliti katil ICU ini? Mampukah kita dan sanggupkah kita melaluinya?

3.4 Satu ketika tidak lama dahulu kita di gegarkan dengan berita di luar negara seperti di Italy bahawa pesakit Covid-19 dibiarkan mati tanpa mendapat rawatan rapi, kini kemungkinan dan kebarangkalian senario tersebut boleh berlaku juga di Malaysia, tanah air tumpah darah kita.

3.5 Senario Pandemik ini bukanlah senario biasa. Ia sangat fenomenal kerana seluruh dunia sedang merasai penderitaan dan keperitan yang sama. Kadar pengangguran negara terus meningkat sehingga 17% dan melibatkan kira-kira hampir 2 juta orang kehilangan pekerjaan.
3.6 Pandemik Covid 19, telah memberikan impak yang besar kepada ekonomi negara yang memang tersedia tidak menggalakkan terutamanya selepas beberapa siri gelombang kenaikan kes Covid -19 yang berlaku di Malaysia.

3.7 Sejak gelombang kedua apabila Kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan, kesan terhadap ekonomi individu dan keluarga telah dapat dirasai. Ini khususnya kepada yang bukan dari kalangan penjawat awam. Samada yang bekerja sendiri atau pun yang bekerja di pihak swasta, begitu ramai yang terkesan. Umum mengetahui antara yang paling terkesan ialah mereka yang berkecimpung dalam industri sederhana dan kecil-kecilan, terutama industri micro. Begitu juga bidang pelancongan serta perhotelan.

3.8 Kesenjangan ekonomi dan pengangguran telah mengakibatkan kemiskinan multidimensi yang semakin menekan kehidupan rakyat. Dalam kajian terbaru oleh UNICEF (United Nations Children’s Fund) dan UNFPA (United Nations Population Fund), menunjukkan bahawa 39% isi rumah telah menggunakan semua simpanan mereka untuk membeli keperluan seisi rumah kerana berlaku ketidakstabilan pendapatan.
60% Responden kajian ini juga mengatakan mereka tidak mampu untuk menyediakan makanan di atas meja- iaitu dua kali ganda peningkatan daripada pre pandemik pada hujung tahun 2019. 58% Responden pula tidak mampu membayar bil utiliti mereka sebagaimana lazim. Dalam masa yang sama 45% responden tidak mempunyai perlindungan sosial/sekuriti sosial kerana kebanyakan mereka bekerja sendiri.

3.9 Akibat dari PKP dan penutupan sempadan negara, ramai yang menerima nasib malang sama ada pengurangan pendapatan bulanan atau yang lebih malang ialah apabila hilang pekerjaan. Ini bukan retorik bahkan ia adalah suatu masalah nyata khususnya di bandar-bandar besar seperti Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Malah dilaporkan di Johor Bahru jumlah gelandangan meningkat akibat penutupan sempadan Malaysia-Singapura. Dilaporkan juga keluarga yang terpaksa keluar dari rumah kerana tidak mampu bayar sewa, sehingga ada yang terpaksa membawa anak-anak tidur dalam kereta selama berhari-hari. Lebih menyedihkan ada yang terus jatuh miskin dan terpaksa mengemis pula.

3.10 Maka tidak hairan sama sekali apabila dilaporkan baru-baru ini sejak 25 Mac 2020 hingga 20 Mei 2021, sebanyak 145,173 panggilan sosial telah diterima oleh agensi kerajaan dan 85.5% adalah yang melibatkan kesihatan mental akibat kemurungan, resah, tekanan perasaan, penderaan bahkan cubaan membunuh diri. Kementerian Kesihatan Malaysia juga melaporkan dari tempoh Januari sehingga Disember 2020 sebanyak 1,080 kes cubaan bunuh diri telah menerima rawatan.
Saya terkesan mengetahui bahawa peningkatan aduan di talian psikososial ini bukan sahaja diterima dari kalangan wanita tetapi juga yang lebih membimbangkan adalah dari kalangan kanak-kanak dan warga emas.
Semua angka-angka ini bukan hanya untuk didengar sebagai suatu laporan dan catatan rekod agensi-agensi kerajaan sahaja, bahkan ia menuntut penyelesaian serius dari pihak kerajaan yang semakin hari kita lihat semakin gagal menangani kemelut rakyat kebanyakan ini.
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
4. KESAN PANDEMIK COVID-19 TERHADAP KESELAMATAN WANITA DAN KANAK-KANAK
Saudari-saudari yang di hormati sekalian,
4.1 Kita juga berdepan dengan kegawatan kes keganasan rumahtangga di musim pandemik ini. Tekanan perasaan, kemurungan dan tekanan mental menyebabkan pelaku hilang pertimbangan dan kawalan sehingga bertindak ganas terhadap ahli keluarga.
Suami melepaskan kemarahan terhadap isteri dan juga anak-anak, ibu juga tidak terkecuali menjadikan anak-anak untuk melepaskan kekecewaan yang menimpa diri dan keluarga. Lebih malang lagi apabila perlakuan ganas ini menimbulkan kecederaan parah sehingga membawa maut.
Setiap hari kita dihidangkan dengan berita-berita seperti ini di dada-dada akhbar dan media sosial. Begitulah kita melihat kesan sosial terbesar terhadap keselamatan wanita dan kanak-kanak. Kes keganasan rumah tangga cukup tinggi menjadikan Selangor dan Johor sebagai negeri utama yang berdepan dengan peningkatan kes sehingga 80%.

4.2 Jenayah-jenayah seksual melibatkan gender juga meningkat. Setakat April, 2021, aduan kes-kes gangguan seksual yang diterima secara atas talian dan secara fizikal dilaporkan paling tinggi setakat ini dan kita juga dikejutkan dengan beberapa kes kematian wanita di tangan pasangan masing-masing.

4.3 Wanita KEADILAN telah mengangkat isu ini dan melakukan kempen “Anti-Keganasan Rumahtangga” dan “Hormat Wanita” di seluruh negara, untuk mengingatkan masyarakat bahawa wanita dan anak-anak adalah mereka yang harus disayangi dan bukan diderai.
4.4 Krisis sosial tidak terhenti di perkarangan rumah tangga, tempat wanita dan khususnya kanak-kanak seharusnya merasa diri mereka selamat dan terpelihara. Pendedahan kisah benar oleh adik Ain Husniza misalnya tentang “rape culture” dan “rape threat” , budaya rogol di sekolah menunjukkan betapa isu ini adalah isu yang serius dan memerlukan jaminan Polisi Perlindungan Kanak-kanak yang lebih serius untuk menjamin ekosistem yang selamat buat kanak-kanak di mana sahaja mereka berada.
Komitmen kita dalam isu ini cukup jelas. Sebab itu RUU Akta Gangguan Seksual yang kita telah usahakan semasa kita menjadi kerajaan di Putrajaya masih konsisten diperjuangkan. Dalam kenyataan-kenyataan media berkaitan isu-isu keganasan berasaskan gender, kita tetap akan mempersoalkan dengan serius, bilakah RUU Akta Gangguan Seksual akan dibentangkan di Parlimen?

4.5 Namun demikian, sehingga kini tiada jawapan yang tuntas diberikan oleh Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat yang nampaknya sangat sibuk dengan urusan lakonan menjadi rider menghantar lemang dan model memperagakan pakaian. Ini amatlah dikesali dalam suasana di mana isu-isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak terus meningkat dan perlu menerima perhatian serius dan penyelesaian yang mengakar umbi dari pihak Menteri dan Kementerian.
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
5.KESAN PANDEMIK COVID-19 KEATAS PENDIDIKAN DAN kewujudan GENERASI YANG HILANG (THE LOST GENERATION)

Para Hadirin yang di rahmati,
5.1 Saya yakin ramai diantara kita di sini merupakan ibu-ibu muda yang masih mempunyai anak-anak yang belajar sama ada di sekolah-sekolah rendah mahupun di sekolah menengah.

Mengikut data Kementerian Pendidikan, jumlah pelajar sekolah menengah dan pelajar sekolah rendah meliputi sekitar 5.4 million orang. Sesi persekolahan yang tidak menentu bukan sahaja menyukarkan kanak-kanak sekolah, bahkan juga ibu bapa dan guru-guru. Pemandu bas sekolah pun mengeluh bila pendapatan mereka turut terjejas. Manakala sistem PdPR pula membawa masalahnya yang tersendiri

5.2 Dalam satu kajian terbaru dari UNICEF , menunjukkan 61% ibu bapa mendakwa anak-anak mereka telah hilang minat dalam pembelajaran. Manakala 78% mendakwa anak-anak mereka kurang fokus serta hilang tumpuan dalam pelajaran akibat perintah kawalan pergerakan yang lama. Dalam masa yang sama 82.5% ibu bapa masih mahukan anak-anak mereka hadir ke sekolah secara fizikal berbanding kelas secara online.

5.3 Di antara impak terbesar pandemik adalah berlakunya kelompangan generasi akibat ketinggalan pendidikan dan pelajaran. Mereka ini digelar generasi yang hilang atau ‘the lost generation’ kerana kehilangan waktu persekolahan akibat pendemik.
Kehilangan mereka juga terkait rapat dengan kehilangan kemahiran untuk membaca dan mengira malah keciciran “essential skills” yang patut mereka belajar dan terokai ketika di waktu persekolahan.

5.4 Dalam tempoh pandemik, jurang keciciran tersebut semakin jelas menyisih tatkala anak-anak ini ada yang tidak mendapat akses internet dan tidak mempunyai gajet bagi tujuan meneruskan pendidikan di atas talian.
Cabaran seperti kekurangan peranti yang sesuai, akses kepada internet serta capaian yang stabil, persekitaran yang kondusif untuk pembelajaran dan bimbingan ibu bapa disebabkan keperluan ibu bapa untuk bekerja.
Kesinambungan sekolah atas talian yang gagal menangani isu-isu yang disebutkan akan menghasilkan “generasi yang hilang” dan meningkatkan jurang ketidaksamaan dalam pendidikan.

5.5 Sudah hampir dua tahun anak-anak kita mengalami gangguan persekolahan dan pendidikan yang merencatkan masa hadapan mereka. Kita perlu tampil dengan modul inovatif dan kreatif bagi memastikan anak-anak dapat meneruskan proses pendidikan dan pembelajaran walaupun berhadapan dengan pandemik yang tidak dapat dipastikan bila ianya akan berakhir.

5.6 Tidak kurang juga ia memberi kesan kepada warga pendidik secara keseluruhannya. Sekejap PdPR sekejap buka sekolah fizikal, dan kemudian PdPR semula.
SOP dan polisi yang sering bertukar-tukar menyukarkan semua pihak yang merupakan pemegang taruh yang terlibat dalam urusan pendidikan dan persekolahan.

5.7 Juga kita tidak boleh lupa jumlah yang begitu ramai kanak- kanak di jangkiti Covid-19 sebahagian dari puncanya ialah kerana dasar kerajaan membuka sekolah pada awal tahun ini. Kanak-kanak di jangkiti ibu bapa yang mendapat jangkitan dari pelbagai kluster, banyak juga daripadanya kluster di tempat kerja. Kemudiannya kanak-kanak tersebut menjangkiti murid-murid lain di sekolah mereka.

5.8 Mahasiswa juga tidak terkecuali dari menerima kesan atau impak dari pandemik Covid 19 ini. Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi juga menjadi tumpuan warga , melihat kepada polisi-polisi yang mereka kemukakan ketika berdepan dengan krisis ini.

Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan sekolah-sekolah, pusat-pusat Pengajian Tinggi awam dan swasta, politeknik serta kolej komuniti seliaan KPT diarah untuk ditutup. Sudah tentu ini memberi kesan secara langsung kepada kehidupan pelajar, ibubapa dan keluarga secara amnya.

5.9 Mengikut perangkaan jumlah keseluruhan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) adalah seramai 1.3 juta orang termasuk 51% daripadanya adalah penuntut swasta ( IPTS). Ini suatu angka yang besar yang memerlukan Kerajaan untuk mengambil keputusan yang besar juga.Kita tidak mahu tindakan acuh tidak acuh kerajaan dalam menangani isu ini, mengakibatkan mahasiswa keciciran dalam pembelajaran mereka.

Mahasiswa ini terjejas pembelajaran bukan sahaja akibat dari tidak dapat hadir ke kuliah secara fizikal di Universiti tetapi mengikuti pelajaran secara online menimbulkan pelbagai masalah kerana kekangan akses kepada internet. Berlebih-lebihlah lagi jika mereka ini tinggal di kampung-kampung yang agak pedalaman yang tiada langsung capaian kepada internet.
5.10 Ini adalah sebahagian kegagalan dasar dan polisi pendidikan yang masih tidak dapat ditangani dengan baik oleh Kementerian Pendidikan.
Adakah Menteri Kanan Pendidikan yang mempunyai lebih dari satu Timbalan Menteri sedar tentang perkara ini. Apakah solusi yang bakal diambil mereka ke atas masalah yang semakin meruncing ini?

Kita lihat Menteri Kanan lebih selesa menyepi dari membuat kenyataan berkaitan dasar yang bernas berkaitan pendidikan anak-anak kita.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
6.KRISIS KEPIMPINAN NEGARA - GAGAL MENANGANI PERMASALAHAN RAKYAT
6.1 Kesemua isu-isu dari impak Covid -19 yang cukup fenomenal ini serta masalah yang sedia ada yang dihadapi oleh negara adalah sangat membimbangkan kita. Rakyat terus menjadi mangsa akibat kepimpinan negara yang lemah, tidak kompeten dan langsung tidak empati kepada keresahan rakyat yang berpanjangan. Dua hari lepas berlaku juga perselisihan faham di kalangan para menteri berkenaan dengan full lockdown yang kemudiannya menjadi partial lockdown. Keputusan berkenaan apa yang di istilahkan sebagai ‘essential service’ atau perkhidmatan asas yang diperlukan dan Kementerian yang bertanggungjawab keatas perkhidmatan tersebut menjadi asas kepada pertelingkahan di antara Menteri-menteri. Apapun rakyatlah yang menjadi mangsa. Sekejap Kilang Arak menjadi sebahagian dari keperluan asas yang di benarkan beroperasi dan kemudiannya ada U -Turn berlaku.
6.2 Kepimpinan negara juga terus goyah, barangkali ini yang dinamakan sebagai leadership crisis during crisis. Parlimen tidak bersidang sedangkan begitu banyak persoalan yang ingin rakyat dan wakil rakyat bangkitkan berkaitan isu rakyat kepada para jemaah menteri.
Banyak persoalan tentang dasar dan polisi mengurus krisis ini menimbulkan pelbagai tanda tanya dan pertelagahan kerana kegagalan pengurusan kepimpinan negara.

6.3 Nampaknya darurat yang dijanjikan oleh pihak pemerintah untuk digunapakai mengurus krisis kesihatan dalam negara telah digunakan dengan wewenangnya untuk mengekalkan koridor kuasa pihak-pihak tertentu dengan tidak bertanggungjawab.

6.4 Menurut kenyataan jurucakap kesihatan parti KEADILAN iaitu Dr Lee Boon Chye, negara perlu memastikan penerimaan vaksin sebanyak 50 dos/100 populasi untuk segera melegakan kita dari “lockdown” atau 160 dos/100 populasi jika negara mahu pulih pada hujung tahun ini. Kita andaikan sekiranya pada hujung tahun ini kita mampu atau kita dapat memberi 80% populasi di dalam negara dengan vaksin tak kira apapun jenamanya, imuniti kelompok itu akan kita perolehi.
Kajian di negara Spain telah membuktikan ini, apabila seramai 5000 orang yang telah menerima vaksin sepenuhnya di letakkan di dalam satu konsert di Barcelona, dan kemudiannya kajian mendapati hanya 6 orang sahaja selepas konsert itu yang dijangkiti Covid 19 dan tidak pula menyebarkannya kepada yang lain.
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
7.KEPRIHATINAN WANITA TERHADAP MASYARAKAT ANTARABANGSA
Hadirin sekalian,
7.1 Ketika ini, kita sedang menyaksikan pertarungan maut akibat Pandemik di seluruh dunia. Dalam masa yang sama, umat di Palesting terus dihenyak tanpa belas oleh rejim Zionis Israel. Pendirian kita cukup jelas dalam hal ini, krisis Pelastine bukanlah isu agama tetapi ia merupakan isu kemanusiaan sejagat.

7.2 Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan negara yang berinteraksi dengan negara-negara lain di peringkat Antarabangsa, apatah lagi dengan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 17hb September 1957 lagi, seharusnya kita bangun dengan berani mempertahankan piagam PBB ini.
Ayuh kita kembali menelaah piagam tersebut, iaitu
(1) Untuk mengelakan perulangan pertikaian yang hebat
(2) Untuk menegaskan hak-hak asasi manusia yang utama
(3) Menjamin rasa hormat kepada undang-undang antarabangsa
(4) Memperbaiki taraf hidup di seluruh dunia

7.3 Peristiwa yang berlaku pada saudara kita di Palestin telah tidak dapat pembelaan sewajarnya dari Malaysia, lantaran Parlimen tidak bersidang sejak Disember 2020 lagi.
Tentu sekali pemberian pelitup muka bagi pihak negara kita tidak boleh dikira sebagai bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

7.4 Sejarah perjuangan Palestin adalah sejarah yang menjangkau lebih 50 tahun. Mereka bukan sahaja dinafikan hak bernegara dengan pecerobohan rejim zionis Israel keatas tanah hak milik mereka, bahkan juga segala hak kemanusiaan termasuk pencerobohan keatas tempat tinggal turun temurun milik keluarga, hak beribadah di Masjidul Aqsa dan masjid-masjid lainnya dan yang lebih dahsyat ialah apabila mereka ditangkap, dibunuh sewenang-wenangnya .
Ini jelas suatu tindakan apartheid dan penghapusan etnik yang perlu dibela oleh negara-negara umat Islam seperti Malaysia.

7.5 Malangnya, negara kita yang ironinya melaungkan demokrasi, melaungkan hak kemanusiaan, melaungkan hak bersuara, tetapi
kerajaannya sendiri bertindak bacul menutup institusi yang menjadi lambang demokrasi negara iaitulah Dewan Rakyat yang mulia ie Parlimen.

7.6 Negara-negara barat yang tidak memartabatkan Islam sebagai agama rasminya pun seperti Ireland telah membentangkan dan menerima usul di Parlimen mereka pada 26hb Mei 2021, menyelar “de facto annexation” ke atas tanah-tanah dan rumah-rumah milik rakyat Palestin oleh Israel. Hatta usul ini pula telah dibentangkan oleh parti Sinn Fein sebuah parti pembangkang dan telah menerima sokongan keseluruhan Ahli-ahli Parlimen Ireland tanpa mengira fahaman politk.

7.7 Rakyat pelbagai latar belakang di kota-kota besar seperti Paris, London, Madrid, Sydney dan Melbourne juga turut keluar ke jalanraya membawa sepanduk dan slogan yang mengutuk kezaliman Israel terhadap Palestin, walaupun mereka tahu mereka berdepan dengan risiko pandemik Covid 19.

7.8 Kehibaan kita melihat serangan dan pembedilan terhadap wanita dan kanak-kanak harus kita terjemahkan dalam mekanisme kecaman yang lebih hebat.

7.9 Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas saya kepada wanita KEADILAN seluruh negara kerana turut serta dalam kempen sokongan kepada rakyat Palestin yang tertindas ini.

Wanita Keadilan mempelopori kempen “You just need to be human to stand for Palestine”.
Kita juga telah turut serta dalam kempen online Wanita seDunia dan Alhamdulillah, saya telah diberi ruang untuk mewakili Wanita dan menyuarakan pendirian wanita KEADILAN dalam beberapa forum antarabangsa ini bagi menunjukkan solidariti kita terhadap umat Palestin dan bantahan secara tegas ke atas kebiadapan rejim Zionis Israel dengan kezaliman yang berbentuk ‘ethnic cleansing’ ini.

7.10 Di samping itu harus dipertegaskan juga di sini,bahawa kita wajib juga membela saudara-saudara kita yang ditindas di seluruh di pelusuk dunia di mana sahaja mereka berada tanpa mengira bangsa atau agama. Isu kemanusiaan merupakan isu sejagat dan kita komited memperjuangkannya.
>>>>>>>>>>>>>>>>
8. KEPRIHATINAN WANITA SEBAGAI IBU UNTUK MEWARISKAN RUMAH TEMPAT TINGGAL YANG MOLEK BUAT ANAK-ANAK - NAHDAH KEPRIHATINAN DAN PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR

Saudari2 para perwakilan dan pemerhati sekalian,
8.1 Negara kita bukan sahaja berdepan dengan budaya serta akhlaq yang tercemar, alam sekitar kita juga sedang mengalami proses pencemaran yang serius. Isu degradasi alam sekitar di peringkat global ternyata sangat mencemaskan sehingga memerlukan sebuah gerakan yang bersifat nahdah atau kebangkitan keprihatinan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

8.2 Saya sering bertanya kepada anak-anak muda generasi pewaris kita samada mereka suka sekiranya ibu bapa mereka mewariskan kepada mereka rumah yang cantik lagi indah, di mana merupakan tempat tinggal mereka sehingga usia tua yang bebas dari bencana alam seperti banjir, yang sejuk dan nyaman untuk di diami. Rumah yang tidak robek disana sini akan tetapi cukup indah dengan tumbuhan menghijau serta fauna dan flora yang diverse Tentu sekali jawapan yang saya terima ialah afirmatif.

Saudari yang dikasihi,
8.3 Sedarkah para saudari sekelian bahawa rumah tersebut yang akan kita wariskan kepada anak cucu kita ialah bumi yang akan menjadi rumah tempat tinggal mereka

Tercatat dalam firman Allah Taala
Terjemahan: Telah tampak nyata kerosakan di daratan dan di lautan, gara-gara tingkah dan oleh manusia sendiri. [ Ar Rum 30: 41]
8.4 Ini juga yang disebut oleh Prof Sayyed Muhammad al-Naqib al-Attas sebagai bencana yang diakibatkan oleh kehilangan nilai kudus pada alam (the sacred value of nature). Beliau menyatakan bahawa, “nature has become desacrilized for modern man” yang membawa maksud, manusia moden telah melakukan proses desakralisasi terhadap alam
( menafikan nilai-nilai kudusnya) lalu dilihat hanya sebagai suatu objek untuk dinikmati dan dieksploitasi semahu-mahunya.
Celakanya, alam yang telah dilacurkan (the condition of prostituted nature) itu telah menjadi rosak sehingga tidak dapat dimanfaatkan lagi dan keadaan inilah yang sebenarnya lebih mengkhuatirkan.

8.5 Saya percaya bahawa sebuah parti yang progresif seperti KEADILAN harus berbuat apa sahaja untuk memperjuangkan kesejahteraan alam sekitar yang merupakan amanah Tuhan kepada umatnya. Kita harus terus mempertingkatkan nahdah keprihatinan dan terus menyertai usaha pemeliharaan alam sekitar dan menyelesaikannya kerana kemusnahan itu berpunca daripada manusia sendiri.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
9. MENDUKUNG AGENDA MEMPERTEGUH KEPIMPINAN WANITA
9.1 Untuk kita maju ke hadapan dan rise to greater heights amat penting buat kita Mengimbau kembali sejarah penubuhan sayap wanita dalam parti. Saya kongsi sedikit perjalanan sayap wanita terutama buat kefahaman adik-adik yang baru turut serta selepas kita menang 2008 dan juga buat para pelapis. Diawal penubuhan parti, kita bukan merupakan satu sayap. Wanita hanya merupakan satu jawatankuasa sama taraf macam biro, dimana ketua wanita di lantik oleh Presiden.
Akan tetapi pada tahun 2000 kita telah berjaya mewujudkan sayap wanita bersekali dengan peraturan tetap dan kemudian berjaya menjalankan pemilihan barisan kepimpinan wanita pusat yang pertama di Kemaman pada tahun 2001. Ini satu pencapaian signifikan yang harus kita iktiraf.
Saya melepaskan jawatan Ketua Wanita pada tahun 2007. Ketika itu serahan tugas dibuat kepada yang mewarisi jawatan tanpa ada pertandingan dengan kepercayaan bahawa beliau akan menjaga wadah ini dengan sebaik mungkin untuk satu penggal. Bahawa beliau akan terus membimbing wanita untuk merealisasi potensi diri. Bahawa beliau akan terus memperkasa dan memberdaya wanita seperti yang telah dilakukan sejak dari tahun 2000 apabila wanita ditubuhkan secara rasmi sebagai sayap parti.
Saya buat keputusan ketika itu bahawa sekiranya saya tidak berani melepaskan jawatan maka wanita akan terus terikat dengan budaya dan kefahaman bahawa peranan wanita hanya berkisar dan terikat dengan penglibatan di dalam sayap wanita dan tidak mungkin diberi peluang memainkan peranan di dalam agenda arus perdana parti.
Setelah hampir satu setengah dekad berlalu, saya kembali menerajui wanita, semata-mata untuk mengembalikan wanita di atas landasan kebenaran perjuangan, dan membimbing wanita kembali kepada Deklarasi Permatang Pauh yang merupakan asas penubuhan Parti KEADILAN. Akan tetapi alangkah sedihnya apabila saya dapati wadah wanita yang ditinggalkan selepas pengkhianatan merupakan wadah yang robek dan tidak nampak kemajuan. Ahli wanita masih meraba-raba cuba memahami asas berorganisasi, masih belum hadam peraturan tetap wanita dan perlembagaan parti.
Arah dan hala tuju juga tidak mantap seperti sepatutnya buat sebuah parti yang berusia lebih dua dekad.

9.2 Namun apa pun ada hikmah disebalik segalanya yang berlaku. Wanita yang tinggal pada hari ini adalah merupakan yang ikhlas berjuang tanpa kepentingan diri. Wanita yang istiqamah dengan prinsip dan kekal tabah menghadapi ujian.
Sudah tiada lagi yang mengejar projek dan keuntungan diri semata. Mereka semua sudah pergi, menghilangkan diri. Turut serta bersama mereka yang mengejar cita-cita buat diri sendiri semata. Syukur Alhamdulillah kita yang tinggal masih berpegang kepada obor perjuangan parti.

9.3 Ini telah terbukti apabila kita berjaya menaja semula semua cabang-cabang yang lumpuh akibat pengkhianatan. Hari ini kesemua cabang tersebut telah bergerak seperti biasa, malah lebih meriah dari dulu, dengan penambahan ahli dan ranting berlipat kali ganda.

Kini Jumlah keanggotaan Parti Keadilan Rakyat sekarang setakat April 2021 ialah sejumlah 1,034,093 orang, dimana jumlah anggota Wanita ialah 408,038 orang manakala jumlah anggota AMK pula ialah seramai 229,006 orang.
Ini petanda bahawa parti kita bukan saja masih relevant, dan masih mendapat tempat di hati rakyat malah ianya bukti bahawa parti kita ialah parti yang punyai masa depan, dimana satu pertiga dari keahlian ialah merupakan anak muda.

Para perwakilan wanita yang saya kasihi,
9.4 Mendepani segala cabaran di atas amat penting bagi ahli sayap Wanita KEADILAN. Dalam memperjuangkan aspirasi politik nilai yang pernah kita angkat sebelum ini, kita meletakkan impian-impian yang ideal dan kita bertekad serta berusaha untuk sedaya mungkin mencapai kepada idealisma itu, iaitu sistem politik demokrasi yang matang serta berteraskan nilai-nilai murni sejagat.

9.5 Pergeseran pandangan dan khilaf dalam perbedaan pandangan politik adalah suatu perkara yang biasa, tetapi ia tidak mewajarkan kita menjadi manusia yang tenggelam dalam permusuhan yang menebal atau syak wasangka yang memusnahkan keutuhan organisasi dan parti. Kita harus bergerak sebagai satu wadah. Tiada lagi team itu atau team ini. Team Kartel atau Team Rafizi. Kesemua yang tetap tinggal dalam parti ialah team Wanita KEADILAN. !!!

Berpencak silat langkah di atur,
Takkan berundur walau selangkah,
Semangat wanita tak akan luntur,
Membujur lalu melintang patah.

>>>>>>>>>>>>>
10. MEMBERI MAKNA KEPADA AGENDA PERJUANGAN WANITA KEADILAN
10.1 Misi dan Visi Wanita KEADILAN perlu diperteguh dan diselaraskan semula dengan prinsip perjuangan parti, apatah lagi apabila kita adalah sebahagian dari organisasi politik yang pernah menguasai Kerajaan Persekutuan dan beberapa kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan termasuklah yang masih dibawah kita kini iaitu Selangor, Pulau

Pinang dan Negeri Sembilan.

10.2 Wanita dari pelbagai latar belakang dan kerenah tetapi punya satu azam dan cita-cita mahu melihat negara yang lebih baik.
Ya! Para perwakilan yang di kasihi,
kita semua mendambakan satu negara dimana ekonominya makmur, tiada rakyat yang kelaparan, negara dimana rakyatnya mendapat kemudahan asas, negara yang mengamalkan demokrasi tulen dimana Parlimen dapat berfungsi sebaiknya dan berlaku semak imbang, negara yang memberi hak dan kebebasan bersuara kepada rakyatnya dimana wujud ‘rule of law’, negara yang menggarap konsep inklusif yang sebenar tanpa ada sifat rasis dan perkauman, negara yang rakyatnya hidup dalam aman dan harmoni hormat menghormati diantara satu sama lain tanpa mengira kaum atau agama, negara yang mampu melahirkan masyarakat yang berupaya mengenepikan segala perbezaan demi mencapai matlamat yang besar ini.

Hasrat dan cita-cita untuk melihat negara yang begini lah yang terus memberikan kita semua semangat dan iltizam untuk berjuang diatas landasan parti KEADILAN yang kita cintai ini. Dan iltizam itu akan kita pertegas serta terus perkukuhkan.

10.3 Oleh yang demikian, perkara pertama yang saya telah melaksanakan ialah penstrukturan semula organisasi Wanita KEADILAN yang sedia ada dengan cara membawa wajah-wajah pemimpin baru dan segar, untuk mengukuhkan kembali organisasi wanita supaya menjadi lebih berfungsi dan bertindak berpandukan matlamat.

10.4 Program demi program, aktiviti demi aktiviti, latihan demi latihan dilaksanakan untuk membina bukan sahaja kepimpinan di semua peringkat sehingga ke cabang-cabang bahkan juga kita telah membawa bersama dan menerima sokongan wanita-wanita yang simpatisan di luar sana yang boleh turut serta mahu memahami intipati perjuangan ini.

10.5 Kepimpinan wanita khususnya telah dapat mengumpulkan cetusan-cetusan ide yang membina dalam beberapa siri pemukiman yang telah dilaksanakan dan kini berjaya menghasilkan dokumen Kenyataan Misi Wanita KEADILAN yang jelas dan tuntas serta bagaimana ia harus dicapai.
10.6 Dalam masa yang sama kami juga telah menggariskan di dalam agenda pengukuhan organisasi ini suatu perisytiharan yang dinamakan Deklarasi Dorsett sebagai pelengkap kepada Deklarasi Permatang Pauh yang menjadi “benchmark” atau penanda aras buat kita sejak awal gerakan Reformasi bermula.

Saya kongsikan sedikit aspirasi “Deklarasi Dorsett” yang menyentuh beberapa garis besar haluan perjuangan sebagaimana berikut yang kita akan sama-sama fahami dan hayati.

DEKLARASI DORSETT
Wanita Keadilan berikrar untuk menjadi tonggak kepada Agenda Reformasi, mendukung aspirasi membela nasib rakyat terbanyak, menjunjung prinsip-prinsip Keadilan sejagat serta menerap politik berteraskan nilai di dalam perjuangan ini. Maka kami akan berusaha
1).Menjadi serta membangunkan wanita yang kompeten melalui latihan dan pembangunan kapasiti.
2).Menggarap dan menggabungkan seluruh potensi wanita untuk melahirkan Wanita Keadilan yang berani, berdaya tahan, kreatif serta inovatif.
3).Memahami, menjuarai dan menerajui isu-isu berkaitan rakyat, gender, wanita, kanak-kanak, keluarga dan komuniti.
4).Memahami dasar, mampu menggubal serta melaksanakan dasar-dasar yang efektif dan peduli rakyat.
5).Melaksanakan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh, komited,amanah, berdedikasi serta berintegriti, atas dasar cinta dan kasih kepada masyarakat dan generasi masa depan.
KAWAN KOMUNITI
10.7 Kita menyedari bahawa tidak cukup untuk kita setakat mempunyai tekad tanpa diterjemah kepada tindakan.
Menginsafi perkara ini Wanita KEADILAN mencetuskan satu konsep Komuniti Alert yang dijenamakan sebagai Kawan Komuniti.
Pada suasana hari ini, kita mahu memastikan persekitaran tempat tinggal kita termasuk rumah, sekolah dan tempat kerja selamat dari segala mara bahaya dan keadaan yang mengancam keselamatan serta keselesaan wanita, anak-anak dan seluruh anggota masyarakat.

Dengan itu Wanita Keadilan telah pun melancarkan sebuah aplikasi yang dinamakan “Kawan Komuniti”. Kita melancarkan ini semasa kita meraikan Hari Wanita sedunia pada bulan Mac baru-baru ini.
Kawan Komuniti adalah satu konsep di mana kita merancang untuk menubuhkan satu kelompok komuniti di setiap kawasan Parlimen, di setiap cabang yang akan melihat pada komuniti di sekeliling mereka. Kita mahu kelompok-kelompok ini, peka kepada persekitaran. Kita mahu mereka mengambil kira, menjaga persekitaran mereka supaya tidak ada anak-anak yang terbiar, supaya tidak ada anak-anak yang didera, supaya tidak ada keluarga yang tidak makan. Inilah konsep “Communiti Alert” yang kita mahu bangunkan di setiap kawasan Parlimen.
Kita juga pergi selangkah kehadapan dengan membina sebuah aplikasi yang boleh dimuat turun melalui talipon pintar samada menggunakan sistem android ataupun sistem ios.

Aplikasi ini akan membolehkan sesiapa pun dari anggota komuniti membuat sebarang aduan tentang perkara-perkara yang mengancam keselamatan tetangga sama ada ianya dicurigai atau sesuatu yang benar-benar berlaku.
Mudah-mudahan program Kawan Komuniti ini akan dapat membantu masyarakat dengan meningkatkan kewaspadaan mereka sebagai “the caring society” dalam mewujudkan komuniti yang marhamah dan ekosistem yang lebih selamat untuk semua.

>>>>>>>>>>>>>
11. Srikandi KEADILAN dan Wanita Muda Pelapis Kepimpinan Masa Hadapan
11.1 Saya amat sangat menitik beratkan golongan pelapis. Maka sebab itulah Srikandi KEADILAN dekat dihati saya, kerana mereka adalah merupakan pemimpin muda dan masa depan negara.

11.2 Kita semua wajib memastikan mereka diacu dengan acuan yang molek. Kita wajib memastikan mereka mewarisi dari kita sesuatu perjuangan yang jelas arah tujunya, politik yang berteraskan nilai, sikap yang betul, kemahiran dan ilmu yang bermanfaat serta siapkan mereka untuk bina perasaan penuh rasa tanggungjawab serta empati terhadap rakyat yang memerlukan pembelaan.

11.3 Srikandi KEADILAN kini sudah separa berjaya mencapai sasaran dari segi jumlah. Sekarang tiba masa untuk menumpu kepada pengisian dan menyiapkan mereka dengan ilmu serta segala persiapan untuk berjuang demi negara.

11.4 Saya yakin dalam masa terdekat Srikandi KEADILAN akan mampu menyusun organisasi wanita muda dalam sayap Wanita KEADILAN dengan lebih baik dan teratur, serta mampu mewujudkan struktur organisasi

11.5 Saya juga ingin menyampaikan rasa tanggungjawab dan keprihatinan saya atas dasar kasih sayang terhadap wanita muda dalam sayap Angkatan Muda KEADILAN (AMK) yang satu hari nanti akan bersama kita di dalam sayap pergerakan wanita apabila tiba masanya kelak. Saya ingin berpesan, sekiranya anda semua perlukan perhatian seorang kakak dan seorang ibu, perlukan bimbingan dan tunjuk ajar kami akan sentiasa berada di sini buat kalian. We will always be here for you.

>>>>>>>>>>>>>
12. PERWAKILAN SUARA WANITA YANG BERMAKNA - ‘MEANINGFUL REPRESENTATION’
12.1 Ketidaktentuan suasana politik tanah air menjadikan Malaysia berdepan dengan krisis kepimpinan negara yang parah. Rakyat mula resah, apatah lagi kita selaku aktivis parti. Tidak sabar sebenarnya untuk mengembalikan mandat rakyat dan sudah tentu pilihanraya adalah jawabannya.

12.2 Jawatankuasa Pilihanraya Wanita Pusat ( JPRWP) telah mengambil beberapa langkah dan pendekatan untuk memastikan Wanita memberi sumbangan yang besar dalam memenangkan parti khususnya dan Pakatan Harapan secara umumnya dalam Pilihanraya ke15 nanti.

12.3 Selain mengenal pasti bakal-bakal calon yang berpotensi untuk diketengahkan baik di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri, Wanita Pusat juga telah mengeluarkan memo Terma Rujukan yang telah dipersetujui di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan diedarkan kepada Majlis Pimpinan Negeri serta juga Ketua-ketua Cabang seluruh negara.
Di antara kandungan terma rujukan itu ialah, supaya kerusi-kerusi sedia ada (incumbent) yang telah dimenangi oleh calon wanita dikekalkan terus sebagai kerusi Wanita dengan menambah lagi beberapa kerusi untuk memberi laluan kepada calon-calon wanita yang telah kita kenalpasti .
Setakat ini kita ada 11 kerusi Parlimen yang telah dimenagi oleh calon wanita.Hasrat kita di Pilihanraya Umum yang akan datang akan memastikan bahawa 11 kerusi ini dikekalkan sebagai kerusi wanita dan di samping itu kita sudah pun mengenal pasti 9 lagi kerusi-kerusi Parlimen yang akan ditandingi wanita.Hasrat dan perancangan kita adalah supaya selepas pengumuman Pilihanraya Umum ke15 kelak, kita mampu mendapat 20 orang Ahli Parlimen wanita yang akan mewakili parti.

12.4 Tindakan advokasi seperti ini perlu dilakukan dengan tegas dan bersungguh-sungguh. Telah lama angka lantai 30% kedudukan wanita di posisi membuat keputusan ini dilaung-laungkan, malah telah pun termaktub di dalam perlembagaan parti. Kita tidak mahu ia hanya tinggal menjadi catatan dan retorik semata-mata, tetapi kita akan memastikan ia benar-benar ditepati perlaksanaannya.
Jadi, Wanita semua kena selalu bersedia. Jangan pula jadikan diri kita sebagai penghalang kepada pencapian hasrat besar ini!!

12.5 Selain dari mengutamakan dasar-dasar Mengarusperdanakan Gender (Gender Mainstreaming) dan Keterangkuman Gender ( Gender Inclusivity ) serta mengangkat polisi Gender Responsive Budgetting (GRB) , kini Pulau Pinang telah selangkah lagi ke hadapan dengan memperkenalkan cadangan TWOAS ( Topup Women Only Additional Seats) yang akan memastikan kuota dasar atau lantai 30% ( bukan siling) yang saya sebut di awal tadi benar-benar terlaksana.

Saya di maklumkan, mereka sedang membuat kajian dan meneliti kemungkinan untuk meminda perlembagaan Negeri Pulau Pinang dalam sidang DUN akan datang demi memastikan perkara ini dapat dilaksanakan segera.
Kita tidak harus berpuashati dengan setakat mencapai 30% namun saya ucap tahniah kepada negeri Selangor kerana dalam lantikan Ahli Majlis baru-baru ini berjaya mencapai sekurang-kurangnya 30% wanita dalam perlantikan Ahli Majlis negeri Selangor. Tahniah!!

12.6 Wanita Pakatan Harapan juga telah dapat kembali diperkasakan dan kita melihat kehadapan dan bersama memperkukuhkan agenda masa depan Wanita Malaysia khususnya.

12.7 Hasrat saya supaya wanita bukan setakat wujud dari segi jumlah. Bukan setakat mengisi kuota, akan tetapi mampu menjadi suara yang bermakna, ataupun “meaningful representation”.

12.8 Oleh sebab itulah kita terus menerus menitik beratkan latihan, latihan dan latihan. Tidak mustahil kita mencapai situasi ideal iaitu representasi 50% di dalam setiap tahap proses membuat keputusan. Mengapa 50% kerana itu berpadanan (proportionate) dengan populasi penduduk Malaysia. Mengimbangi jumlah wanita dalam proses membuat keputusan akan mengimbangi keputusan dari segi perspektif gender di dalam keputusan atau dasar yang kita akan laksanakan kelak.

12.9 Alhamdulillah, setakat ini parti cukup responsif , parti cukup memberi sokongan ke atas dasar yang digariskan oleh sayap wanita ini, dan saya yakin In Sha Allah sekiranya kita bekerja keras, sekiranya kita bantu membantu, terus dengan latihan kita, kita akan dapat mencapai apa yang kita rancangkan.

>>>>>>>>>>>>>

13. PENUTUP
Saudari Perwakilan dan Pemerhati yang di kasihi sekalian,
13.1 Perjuangan parti ini lahir dari semangat yang membulat, serta tekad yang sungguh- sungguh mahu melakukan proses Islah dengan sedaya kudrat yang kita ada. Sebagaimana saya sering mengingatkan wanita, bahawa perjuangan kita ini adalah untuk anak cucu kita kelak. Maka wanita dengan naluri keibuan dan kasihnya terhadap anak-anak harus ditempatkan sebaris dengan kepimpinan utama negara yang akan menentukan polisi bagi menjamin nasib generasi akan datang.

13.2 Dengan itu saya mengharapkan agar semua yang mendengar ucapan saya pada hari ini dapat menggarap segala intipati dan mesej yang bermanfaat demi kelangsungan pergerakan wanita dan masa depan parti yang kita kasihi.

13.3 Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah, syabas kepada pasukan kerja yang telah bertungkus lumus bekerja keras menjayakan Kongres Wanita yang fenomenal dan luar biasa ini. Satu-satu parti yang berjaya menjayakan kongres atas talian 100% dan Wanita mempelopori . Tahniah kepada Pengarah Kongres Wanita, YB Rodziah Ismail dan pasukan beliau yang luar biasa. Saya difahamkan ramai juga kaum lelaki yang terlibat sama sebagai sebahagian dari pasukan beliau.
Tahniah juga kepada pasukan sekretariat yang diketuai oleh YB Nurin Aina. Tidak dilupakan tahniah kepada semua pasukan dan sub komitee dasar, strategi, pembimbing, para pembahas, multimedia dan sebagainya .

Juga penting bagi saya menyatakan ucapan tahniah saya kepada saf kepimpinan wanita di setiap negeri di bawah kepimpinan dan seliaan Ketua Wanita Negeri masing-masing. Seluruh EXCO Majlis Kepimpinan Wanita Pusat yang bertungkus lumus untuk menjayakan kongres yang luarbiasa ini. Saya lihat usaha yang cukup luar biasa untuk menjayakan Kongres yang luarbiasa ini. Tahniah dan syabas semua. Indeed all of you fulfill the description of Extraordinary leaders during extraordinary times. I am proud of all of you. Dengan izin Puan Pengerusi Tetap

13.4 Saya akhiri dengan doa agar kita semua dalam keadaan selamat dan terpelihara dari jangkitan covid 19 yang melanda bukan sahaja negara kita bahkan seluruh dunia. Mudah2an negara kita akan segera keluar dari segala bentuk krisis dan kemelut pandemik ini dan kita akan segera dapat menjalani kehidupan kita seperti sediakala.
Saya juga mendoakan kelak kita dapat bertemu di Kongres yang akan datang dalam suasana Pandemik sudah reda dan Covid-19 sudah tiada. Saya yakin kita semua merindui untuk berpelukan di antara satu sama lain menzahirkan rasa ukhuwah kita. Semoga pertemuan kita di Kongres akan datang dlm keadaan secara fizikal penuh mahabbah dan kasih sayang.
Sehingga waktu dan saat tersebut, jaga diri, jaga keluarga, jaga persekitaran dan terus berbakti kepada masyarakat
#StaySafe #StayStrong
Sekian

Wabillahitaufiq wal hidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.
REFORMASI !

Related Posts
crossmenuchevron-up