Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia telah membuat satu laporan polis di IPD Dang Wangi pada Jumaat lalu diikuti dengan laporan polis oleh AMK negeri di setiap negeri masing-masing bagi menggesa siasatan dijalankan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ini adalah susulan kontroversi pengakuan Azam Baki bahawa Akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) Saham miliknya tetapi menggunakan wang adiknya untuk pembelian saham dan waran yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit.
Mengambil kira pendirian Perdana Menteri yang acuh tidak acuh dalam krisis SPRM ini, semalam sekali lagi AMK meneruskan desakan melalui ‘Konvoi Selamatkan SPRM’ bagi menyampaikan bantahan ke ibupejabat SPRM di Putrajaya.
Ekoran konvoi bantahan ini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memanggil beberapa orang kepimpinan AMK untuk hadir ke IPD Putrajaya esok (Rabu 12 Januari) untuk disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman.
Antara yang dipanggil adalah saya sendiri, saudara S.Thiban iaitu Naib Ketua AMK, saudara Syukri Razab iaitu Setiausaha AMK serta saudara YB P.Prabakaran iaitu Ketua AMK Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Batu.
Sementara kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis, initimidasi terhadap pemberi maklumat mahupun kumpulan pendesak perlu dihentikan segera dan sebaliknya Azam Baki perlu dicutikan untuk siasatan rapi dapat dijalankan.
Malangnya pada masa yang sama, kerajaan terutamanya Perdana Menteri dilihat masih pasif dan tidak menghiraukan gesaan orang ramai agar ‘darurat integriti’ ini segera dipulihkan.
AMK mengambil pendirian untuk meneruskan desakan sehingga krisis integriti ini ditangani dengan lebih serius oleh pihak Kerajaan. Justeru AMK akan menyerahkan ‘Memorandum Rakyat’ di hadapan Bangunan Parlimen ketika Persidangan Khas Parlimen pada 20 Januari 2022.
Bagi menjadikan serahan memorandum ini sebagai referendum kebimbangan rakyat, AMK akan mengadakan konsultasi bersama para aktivis, kumpulan masyarakat sivil, NGO-NGO, Aktivis Mahasiswa, serta kumpulan-kumpulan pendesak yang lain.
AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia