
Malaysia adalah sebuah negara berdaulat yang termaktub terhadap undang-undang. Oleh itu, setiap warga perlu menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan mengelakkan sebarang tindakan yang bercanggah dengan peraturan negara.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab yang mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman ketika beliau sedang menjalankan tugas di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
AMK ingin menegaskan bahawa:
1. Polis hanya menjalankan tugas mengikut undang-undang dan keputusan mahkamah. Sebarang tindakan mencederakan penjawat awam yang bertugas adalah tidak boleh diterima sama sekali dan perlu dihentikan segera.
2. Negara ini menjamin hak rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat secara aman, namun hak tersebut tidak pernah memberi ruang untuk keganasan, provokasi atau mencederakan mana-mana pihak, apatah lagi anggota keselamatan yang menjaga ketenteraman.
3. AMK menyeru semua pihak menghormati undang-undang dan prosedur, serta menggunakan saluran yang sah untuk menyatakan bantahan atau pendirian masing-masing.
4. Keganasan bukanlah jalan penyelesaian. AMK menegaskan bahawa budaya demokrasi yang matang hanya dapat dibina melalui perdebatan rasional, demonstrasi aman, dan penghormatan terhadap penjawat awam yang menggalas tanggungjawab negara.
Sehubungan itu, AMK mendesak pihak berkuasa melakukan siasatan segera terhadap insiden ini dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terbabit.
AMK juga mendoakan agar ACP Sulizmie Affendy Sulaiman segera pulih daripada kecederaan yang dialami.
OMAR MOKHTAR A MANAP
Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN