January 13, 2026

KENYATAAN MEDIA SETIAUSAHA WANITA KEADILAN

Mengangkat Kepimpinan Wanita dalam Pendidikan: Satu Langkah Strategik ke Arah Tadbir Urus Inklusif

Wanita KEADILAN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Yang Berhormat YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia, serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas pencapaian bermakna dalam memperkukuh representasi wanita dalam kepimpinan sektor pendidikan negara.

Pelantikan empat (4) Pengarah Pendidikan Negeri yang terdiri daripada wanita, serta pencapaian bahawa sembilan (9) daripada lapan belas (18) Ketua Bahagian di KPM adalah wanita, merupakan satu isyarat jelas bahawa prinsip kesaksamaan gender, keterangkuman institusi, dan kepimpinan berasaskan merit sedang diterjemahkan secara nyata dalam struktur tadbir urus KPM dan negara.

Langkah ini sejajar dengan aspirasi global di bawah kerangka Sustainable Development Goals (SDG 5: Gender Equality) dan prinsip gender-responsive leadership, yang menekankan bahawa penglibatan wanita dalam proses membuat keputusan bukan sahaja meningkatkan kualiti dasar awam, malah memperkukuh ketahanan institusi, keadilan sosial, dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Wanita KEADILAN percaya bahawa kepimpinan wanita membawa perspektif holistik, empati dasar, dan keupayaan bekerja sebagai satu pasukan yang padu dalam membina ekosistem pendidikan yang progresif, selamat dan melakar satu hala tuju yang jelas.

Wanita KEADILAN juga melihat pencapaian ini sebagai bukti bahawa transformasi struktur tidak berlaku secara kebetulan ia memerlukan keberanian politik (‘political will’), visi yang jelas, serta komitmen berterusan terhadap agenda reformasi dan keadilan sosial.

Sehubungan itu, Wanita KEADILAN menggesa agar momentum ini diteruskan dan diperluaskan ke semua sektor kepimpinan awam dan politik, agar Malaysia terus melangkah sebagai sebuah negara yang mempraktikkan kepimpinan inklusif, peluang saksama, dan tadbir urus berteraskan nilai kemanusiaan.

Sesungguhnya, pengalaman ini mengesahkan satu kebenaran penting dalam pembangunan negara: apabila wujud kemahuan politik yang tulen, maka jalan penyelesaian sentiasa dapat dibina — bukan sahaja untuk hari ini, tetapi demi masa depan yang lebih adil dan mampan.

SANGETHA JAYAKUMAR

Setiausaha

Wanita KEADILAN Malaysia

Wanita Keadilan

Fadhlina Sidek

Related Posts
crossmenuchevron-up