
Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik langkah Kerajaan Persekutuan meneruskan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi kategori bujang, yang jelas membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan belia dan anak muda yang menjadi tulang belakang masa depan negara.
Dalam realiti semasa, majoriti golongan bujang khususnya belia sedang berada pada fasa awal pembinaan kehidupan iaitu dalam membina kerjaya, meningkatkan kemahiran, serta berusaha mencapai kestabilan ekonomi. Justeru, pemberian STR ini bukan sekadar bantuan sementara, tetapi satu isyarat jelas bahawa kerajaan tidak meminggirkan suara dan keperluan belia dalam merangka dasar negara.
AMK melihat pendekatan Kerajaan MADANI sebagai satu langkah progresif dan bersasar, yang mana golongan bujang diiktiraf sebagai kumpulan yang memerlukan sokongan sistematik agar mereka kekal berdaya tahan, produktif dan berdaya saing sekaligus membuktikan kesungguhan kerajaan tidak bersifat retorik semata- mata.
AMK menegaskan bahawa usaha seperti STR ini perlu diteruskan dan diperkasakan dengan penambahbaikan berterusan, selari dengan aspirasi anak muda yang mahukan sebuah kerajaan yang mendengar, memahami dan bertindak.
Kami berdiri teguh menyokong langkah kerajaan dan akan terus memainkan peranan sebagai suara anak muda bagi memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada belia dan golongan bujang di seluruh negara.
NURHANANI DHAMIRAH
Pengarah Komunikasi
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia