May 26, 2026

PENYUSUNAN SEMULA GERAK KERJA PILIHAN RAYA, FOKUS KEPADA PENYELARASAN DAN LATIHAN JENTERA

Biro Politik KEADILAN telah bermesyuarat pada hari 25 Mei 2026 dan bersetuju dengan beberapa penyusunan strategik bagi memperkukuh kesiapsiagaan parti menghadapi pilihan raya akan datang.

Sehubungan itu, KEADILAN mengumumkan pelantikan Saudara Amiruddin Shaari sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama di samping Saudara Saifuddin Nasution Ismail. 

Selain itu, Saudara Azman Abidin turut dilantik sebagai Pengarah Bilik Gerakan Utama Pilihan Raya (War Room ), dibantu oleh Saudara Ruji Ubi, bagi memperkukuh penyelarasan strategi, operasi lapangan dan pemantauan gerak kerja pilihan raya.

Pelantikan ini merupakan sebahagian daripada penyusunan semula strategik parti bagi memastikan gerak kerja pilihan raya KEADILAN terus diperkemas, diselaraskan dan digerakkan secara lebih menyeluruh di semua peringkat.

Penyusunan ini juga merupakan kesinambungan kepada asas gerak kerja yang telah dibina sebelum ini, termasuk pengukuhan struktur pilihan raya, penyelarasan antara negeri dan cabang, serta peningkatan penggunaan data, sistem dan teknologi dalam operasi lapangan melalui pengenalan sistem pilihan raya TERAS.

Dalam fasa seterusnya, Saudari Nurul Izzah Anwar akan terus memainkan peranan strategik dengan memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan kapasiti jentera dan gerak kerja parti ke arah yang lebih kukuh dan tersusun. 

Tumpuan ini merupakan sebahagian daripada pelaburan parti terhadap setiap anggota akar umbi, supaya kekuatan KEADILAN terus dibina secara menyeluruh, berterusan dan berakar di semua peringkat.

KEADILAN sedar bahawa kekuatan parti tidak hanya terletak pada pimpinan di peringkat pusat, tetapi pada ribuan anggota di lapangan yang terus bekerja, mendengar, menyantuni dan membawa suara rakyat setiap hari. 

Dalam semangat yang sama, KEADILAN merakamkan penghargaan kepada semua anggota baharu yang telah menyertai parti, dengan jumlah keanggotaan baharu dari April ke Mei mencecah seramai 5,936 orang.

KEADILAN kini bergerak ke fasa seterusnya dengan tekad untuk merapatkan saf parti, memperkukuh keupayaan akar umbi dan memastikan seluruh jentera bergerak sebagai satu pasukan yang fokus, tersusun dan bersedia menghadapi cabaran pilihan raya akan datang.

DR. FUZIAH SALLEH

Setiausaha Agung

KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up