July 24, 2026

PEREBUTAN KUASA JALALUDIN ALIAS PUNCA NEGERI SEMBILAN TERPAKSA MENGHADAPI PRN

Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung hari ini bukan berlaku kerana rakyat mahukan pilihan raya, sebaliknya berpunca daripada kerakusan politik segelintir pemimpin yang lebih mengutamakan cita-cita peribadi berbanding kestabilan negeri.

Dalam hal ini, YB Dato' Jalaludin Alias perlu bertanggungjawab terhadap kemelut politik yang tercetus. Beliau dilihat lebih ghairah mengejar jawatan Menteri Besar daripada memastikan pentadbiran negeri terus stabil demi kepentingan rakyat.

Krisis berkaitan institusi adat yang berlaku sebelum ini sepatutnya diselesaikan melalui saluran dan mekanisme yang telah diperuntukkan mengikut adat serta undang-undang. Malangnya, isu tersebut telah dipolitikkan sehingga mencetuskan ketegangan yang akhirnya mengheret Negeri Sembilan ke dalam ketidakstabilan politik yang tidak sepatutnya berlaku.

Lebih mendukacitakan, rakyat kini terpaksa menanggung akibat daripada percaturan politik tersebut. Tumpuan kerajaan yang sepatutnya diberikan kepada usaha memperkukuh ekonomi negeri, menangani kos sara hidup, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat telah terganggu akibat perebutan kuasa yang dicetuskan oleh pihak tertentu.

Seorang Menteri Besar bukan sekadar perlu lantang berpolitik atau bijak memainkan sentimen. Negeri Sembilan memerlukan seorang pemimpin yang mampu menyatukan rakyat, menghormati institusi, menjamin kestabilan pentadbiran dan mempunyai rekod perkhidmatan yang terbukti. Malangnya, tindakan Jalaludin Alias sepanjang kemelut ini gagal mencerminkan ciri-ciri tersebut.

Jika Barisan Nasional benar-benar serius mahu menawarkan kepimpinan baharu kepada rakyat Negeri Sembilan, parti itu seharusnya mengetengahkan calon Menteri Besar yang lebih berwibawa, berintegriti dan benar-benar bersedia berkhidmat, bukannya seorang pemimpin yang dikaitkan dengan episod ketidakstabilan politik negeri.

Pilihan raya kali ini bukan sekadar memilih parti politik. Ia adalah pilihan antara kestabilan atau perebutan kuasa. Negeri Sembilan telah membuktikan bahawa pentadbiran di bawah Dato' Seri Aminuddin Harun atau Tok Min mampu membawa kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

Justeru, rakyat Negeri Sembilan perlu menolak politik yang menggadaikan kestabilan negeri demi memenuhi cita-cita individu. Masa depan negeri ini mesti ditentukan oleh kepimpinan yang mengutamakan khidmat kepada rakyat, bukannya perebutan kuasa.

HAQQIM NAZARUDDIN
Ketua AMK Jelebu
EXCO Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up