Carian
August 17, 2021

Masa Depan Kita

Minggu ini merupakan minggu yang mendebarkan buat rakyat Malaysia. Semalam kita telah melihat turunnya seorang Perdana Menteri yang telah gagal menangani krisis pandemik serta krisis ekonomi.

Kerajaan Perikatan Nasional bukanlah kerajaan yang dipilih rakyat sebaliknya kerajaan yang terbina daripada pengkhianatan untuk berkuasa. Namun telah ditentukan oleh yang Maha Kuasa kerajaan pengkhianat ini diberi dugaan maha berat sehingga mereka menuju kegagalan yang nyata.

Sudah tentu tiga hari mendatang ini waktu kritikal buat negara. Dan selepas itu negara akan mendapat sebuah pentadbiran baharu yang perlu memandu negara ini keluar dari krisis pamdemik dan krisis ekonomi.

Di peringkat Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, sudah tentu kami ingin kerajaan yang memimpin selepas ini mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.

Negara perlukan kepimpinan yang ada integriti cekap dalam urus tadbir. Kita boleh ambil contoh bagaimana Itali yang berjaya mengurus pandemik selepas menukar kepimpinan negara yang pada ketika itu lumpuh akibat pandemik.

Kerajaan yang ada sebelum ini gagal secara total. Selain kegagalan menangani wabak dan ekonomi, kerajaan tiada inisiatif jelas berkait pendidikan, pengangguran, kesihatan mental rakyat dan sebagainya.

Oleh itu, dalam proses penukaran kepimpinan negara ini kita tidak boleh mengulangi perkara sama dengan mengangkat seseorang dari kalangan kerajaan yang telah gagal.
Ini kerana dengan menukar Perdana Menteri namun kekal dengan jemaah Menteri yang sama tidak akan mengubah bahawa negara masih ditadbir oleh sebuah kerajaan yang gagal.

Kerajaan seterusnya haruslah daripada pasukan yang telah siap dengan pelan perancangan menangani wabak dan memulihkan sistem kesihatan negara. Kita telah melihat bagaimana sistem kesihatan dan keselamatan negara lumpuh akibat ketidak cekapan kerajaan Perikatan Nasional sedangkan sistem kesihatan negara perlu berada dalam tahap terbaik ketika berdepan dengan pandemik.

Pada pandangan AMK, Program Imunisasi perlu dilaksanakan dengan "Reach Out" kepada Komuniti dengan menggunakan Jentera Kerajaan. Perlunya mempertingkatkan kemudahan dan fasiliti di Hospital Kerajaan bagi mengurangkan kadar kematian. Jawatankuasa Kesihatan perlu diimbangi dengan penglibatan MMA dan Hospital Swasta.

Pelaksanaan "lokckdown" bersasar dalam tempoh 14 hari perlu dilaksanakan bagi mengurangkan penularan wabak agar negara boleh kembali kepada pelan pemulihan ekonomi.
Isu ekonomi juga sangat penting kerana ia mempengaruhi proses pemulihan negara. Industri ekonomi di semua peringkat terkesan samada industri besar, sederhana apatah lagi industri kecil. Puluhan ribu perniagaan gulung tikar dan mengakibatkan hampir sejuta rakyat Malaysia menganggur serta hilang punca pendapatan.

Oleh itu usaha yang lebih kritikal perlu dilaksana bagi menangani kadar pengangguran selain memperkenalkan rebate tax kepada beberapa sektor bagi memastikan lebih banyak pekerjaan diwujudkan. Pengenalan skim bantuan yang lebih munasabah kepada peniaga kecil selain penangguhan bayaran sewa dan utiliti serta skim 'rebate' gaji untuk pekerja.

Selepas 17 bulan memerintah Kerajaan Perikatan Nasional masih gagal menangani isu pendidikan. PdPR yang dilaksana gagal memberikan pendidikan yang baik kepada para pelajar kerana tiada inisiatif serta pelan perancangan yang teliti bagaimana PdPR dapat dilaksana dengan lebih berkesan. Pemberian 150,000 buah laptop yang dijanjikan juga sehingga hari ini masih tidak selesai.

Pengurangan yuran pengajian juga perlu dilaksana memandangkan pembelajaran dilakukan secara atas talian. Ini mampu mengurangkan beban ibubapa yang terkesan dari segi ekonomi selain meringankan beban pelajar untuk membeli isian semula kredit bagi melanggan internet.

Reformasi institusi harus digerakkan segera bagi memungkinkan pengurusan yang bertanggungjawab serta tidak mengkhianati amanah dan mengabaikan kepentingan rakyat.
Antara yang perlu dilaksana termasuklah mengurangkan birokrasi dalam pengurusan, pengurangan kuasa ahli politik dalam pengurusan serta pengisytiharan harta kepada semua wakil rakyat.

Negara perlu keluar daripada sistem pentadbiran lama. Dana yang besar telah dikeluarkan kepada setiap kementerian namun tidak sampai 50% daripadanya digunakan untuk rakyat.

Namun apa yang paling penting adalah kerajaan seterusnya mampu menjaga kebajikan rakyat. Kebajikan yang menyeluruh dari segi ekonomi, keselamatan dan kesihatan termasuk kesihatan mental. Ini penting kerana semua rakyat terkesan dengan pandemik terutama mereka yang mengalami masalah kewangan serta kehilangan orang tersayang akibat wabak Covid-19.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua AMK Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up