Carian
November 9, 2021

Syarikat Konsensi Milik Seorang Individu Boleh Dapat RM1Bilion Kontrak Penyelenggaran Jalan?

Merujuk kepada perbahasan Parlimen pada 8 November 2021, saya telah mendedahkan beberapa syarikat konsesi yang membolot kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Johor.

Antaranya adalah:-

Safwa Global Venture (M) Sdn Bhd - Penyelenggaraan Jalan-jalan PBT
Amona Infra Care Sdn Bhd - Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri JKR Zon A
Teto Engineering Sdn Bhd - Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri JKR Zon B
Infra Desa Johor Sdn Bhd - Penyelenggaraaan Jalan-jalan Kampung & Luar Bandar Negeri Johor

Saya juga telah berkongsi bagaimana syarikat Safwa Global Venture (M) Sdn Bhd dikatakan telah dikurniakan sebanyak RM350 juta kontrak bagi tahun 2021 daripada peruntukan MARRIS.

Benarkah dalam tempoh 3 tahun ini, kontrak keseluruhan yang diterima oleh syarikat Safwa Global Venture ini akan mencecah RM 1 bilion?

Walaupun cuba dihubungi oleh pihak media, pihak berkenaan masih belum memberi sebarang maklum balas terhadap perkara-perkara yang saya bangkitkan.

Maka, saya kemukakan beberapa maklumat tambahan supaya perbincangan yang lebih telus dan terbuka, agar kita dapat kurangkan sebarang bentuk pembaziran dan ketirisan.

Berdasarkan semakan yang dibuat melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pemegang saham syarikat Safwa Global Venture (M) Sdn Bhd adalah individu bernama Anuar Bin Hussein dengan pegangan 1,000,002 unit.

Beliau juga merupakan satu-satunya pengarah yang disenaraikan ketika carian SSM dibuat awal tahun ini, menimbulkan persoalan mengenai tadbir urus syarikat konsesi yang menguruskan projek-projek kerajaan.

Siapakah Anuar Bin Hussein dan apakah yang istimewa syarikat Safwa Global Venture (M) Sdn Bhd sehingga memegang konsesi penyelenggaraan PBT di Johor?

Adakah benar tuduhan yang mengatakan beliau dilihat mempunyai hubungan rapat dengan orang-orang politik Barisan dan Perikatan?

Apakah kriteria perlantikan yang digunapakai kerana timbul persoalan mengenai keupayaan modal berbayar berjumlah RM1,000,000 yang dikira tidak memadai untuk melaksanakan kontrak kerja berjumlah lebih RM1 bilion bagi kontrak 3 tahun? Malah, aduan yang diterima juga mengatakan bahawa syarikat tersebut tidak mempunyai tajuk kerja CIDB.

Selain itu, sekiranya ini merupakan langkah penswastaan, kos sepatutnya menjadi lebih efektif serta hasil kerja yang berkualiti.

Namun sebaliknya yang berlaku.

Syarikat konsesi ini dilihat seperti menjadi orang tengah dan membuat keuntungan dengan harga kontrak yang lebih tinggi yang diperoleh daripada kerajaan manakala kerja-kerja yang diberikan kepada kontraktor-kontraktor kecil yang jauh lebih rendah.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, harga penurapan jalan Premix AC14/m3 = RM477.75/m3.

Jika tebal Premix AC14 ialah 40mm maka harga meter per segi ialah RM19.11.
Sebagai perbandingan, harga penurapan jalan (Premix AC14) untuk kontraktor-kontraktor kecil yang diperoleh daripada pihak berkuasa tempatan melalui sebut harga adalah sekitar RM28-RM29 meter per segi.

Manakala, ada sumber memaklumkan bahawa syarikat Safwa Global Venture (M) Sdn Bhd mendapat harga jauh lebih tinggi daripada kerajaan iaitu pada harga RM34 meter per segi.

Keuntungan berganda diperoleh oleh syarikat konsesi boleh mencecah 78% daripada harga kos dengan membayar harga yang lebih rendah kepada kontraktor-kontraktor kecil sedangkan bayaran yang diterima daripada kerajaan adalah lebih tinggi.

Ini juga menimbulkan persoalan mengenai siapakah yang bertanggungjawab terhadap mutu penyelenggaraan jalan yang tidak berkualiti atau apabila kerja yang dibuat tidak mengikut spesifikasi?

Saya merasakan ada keperluan untuk menilai konsesi penyelenggaraan terutamanya yang diberikan kepada syarikat yang berkepentingan peribadi dan biarlah proses yang lebih telus dan berakauntabiliti.

Saya juga mengulangi gesaan supaya dana tambahan diberikan kepada Jabatan Audit Negara yang mana kerajaan telah dipotong untuk tahun 2022 kepada RM154 juta, supaya skop Jabatan Audit Negara diperluaskan kepada syarikat-syarikat yang menguruskan dana kerajaan seperti syarikat-syarikat konsesi.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up